KOTA KINABALU: Mungkin tidak ramai ahli politik seperti Datuk Seri Rahim Ismail,77, mempunyai pengetahuan yang meluas tentang selok-belok isu perhutanan dan amat mengambil berat tentang pemuliharaan hutan.
Beliau berkhidmat selama 22 tahun dengan Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) sebelum melibatkan diri dalam bidang politik dengan menyertai UMNO pada tahun 1991.
Walaupun aktif berpolitik, bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah (2002 hingga 2007) ini terus menyantuni isu berkaitanan perhutanan dengan menyertai bengkel pengurusan hutan anjuran SFD dengan kerjasam agensi perhutanan antarabangsa dan Malaysia.
JABATAN HUTAN SABAH
Jawatan akhir yang beliau sandang di SFD sebelum berhenti pada tahun 1991 adalah pegawai hutan wilayah atau renjer hutan kawasan.
Dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini, Rahim yang berasal dari Papar berkata, beliau sebenarnya tidak pernah bercita-cita untuk menjadikan bidang perhutanan sebagai karier.
Beliau bagaimanapun menukar fikiran selepas selepas menghadiri satu syarahan di Kota Kinabalu oleh seorang sarjana Eropah yang menekankan pentingnya mengekalkan hutan semula jadi.
Setahun selepas selepas peperiksaan Sijil Persekolahan Seberang Laut pada tahun 1968, beliau mendapat kerja sebagai pembantu rendah pertanian dengan Jabatan Pertanian Sabah. Selepas lapan bulan, beliau ditawarkan jawatan renjer hutan di SFD di Kota Kinabalu dan sudah tentu menerima tawaran berkenaan.
MELAPOR DIRI
Pada awal permulaan kariernya, Rahim di tempatkan di Lamag, Kinabatangan dalam bahagian Sandakan. Beliau mengambil penerbangan dari Kota Kinabalu ke Sandakan untuk melapor diri di ibu pejabat SFD di Sandakan.
Keesokan harinya, beliau meneruskan perjalanan dari Sandakan ke Lamag dengan bot selama 17 jam. Bot dengan kuasa enjin 25 kuasa kuda itu dikenali sebagai jongkong, dan beliau adalah satu-satunya penumpang tunggal.
Perjalanan ke Lamag melalui Kampung Memiang yang terletak berhampiran Kuala Kinabatangan, di muara Sungai Kinabatangan, kedua terpanjang di Malaysia.
“Perjalananan dengan bot begitu perlahan dan kami berhenti beberapa kali untuk makan dan berehat. Kami juga melalui beberapa penempatan di sepanjang sungai, iaitu Sukau, Batu Putih, Tenegang Besar, Tenegang Kecil dan Sungai Piau. Bila sampai Lamag, sudah tengah malam, ” katanya.
Keesokan pagi, Rahim berjumpa dengan pegawai hutan daerah Lamag, M.P Udarbe. Selepas beberapa minggu di Lamag, beliau ditempatkan di pejabat SFD di Sungai Pin, yang terletak di hulu Sungai Kinabatangan, sebagai renjer hutan kawasan (RFO).
PEGAWAI RENJER HUTAN
Sebagai RFO, tugas Rahim termasuk membantu pegawai hutan daerah dalam pengurusan asas hutan, di samping memantau kegiatan sebuah syarikat pembalakan iaitu Nabahu Sdn Bhd.
“Syarikat itu diberi kawasan pembalakan kira-kira 2,833 hektar di Bukit Kopi dan Sungai Koyah II (dua kawasan penempatan di bawah penguatkuasaan pejabat daerah hutan Sungai Pin, terletak kira-kira 12.9 kilometer ke dalanm hutan simpan Kinabatangan.
“Di samping kegiatan pembalakan Nabahu, saya juga bertanggungjawab untuk memantau kegiatan empat buah kilang papan yang mendapat bekalan balak dari Nabahu dan syarikat konsesi lain, “ katanya.
Menurut Rahim, Nabahu menggunakan traktor untuk mengangkut balak dari hutan ke kereta api menggunakan kuasa wap – membawa empat hingga enam batang balak – pada satu-satu masa ke pusat pengumpulanb, terletak kira-kira 11 km dari tebing Sungai Kinabatangan.
Tiada isu pembalakan yang tidak dikawal ketika itu kerana pembalakan dibuat berasaskan sistem pemilihan yakni hanya balak berukuran diameter yang besar ditebang.
SUNGAI KINABATANGAN
Tidak sampai seminggu di Sungai Pin dan Bukit Kopi, Rahim melalui satu pengalaman yang mencemaskan apabila banjir besar melanda rumah papan, tempat tinggal beliau dan beberapa orang kakitangan SFD. Meskipun tiada kemalangan jiwa, kesemua barangan milik beliau termasuk beberapa dokumn penting hilang dibawa arus banjir.
TUGASAN BARU
Untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang perhutanan, Rahim mengikuti kursus diploma tiga tahun(Oktober 1969-1972) dalam bidang perhutanan di Forest Research Institute and Colleges at New Forest di Dehradun, India.
Sekembalinya ke Sabah, beliau melapor diri di ibu pejabat SFD di Sandakan dan diberi tugas baharu sebagai penyelia lapangan, projek inventori hutan di seluruh Sabah. Ia adalah inisiatif usahasama antara Kerajaan Malaysia dan Kanada.
“Sebagai sebahagian daripada projek itu, kami juga melawat Gunung Rara, Kalumpang dan Hutan Simpan Lembangan Maliau Basin di daerah Tawau, termasuk hutan simpan paya bakau.
“Untuk melaksanakan kerja inventori hutan, kami menggunakan pelbagai jenis pengangkutan seperti helikopter, kenderaan pacuan empat roda, kapal serta bot dan adakalanya turut melibatkan badan swasta. Di samping peta, kompas dan teropong, kami juga membawa pistol untuk keselamatan. Kami mempunyai permit untuk membawa senjata api itu, ” katanya.
Menurut Rahim, beliau juga pernah meredah hutan ketika melaksanaan projek inventori hutan, mengetuai sepasukan 24 orang kakitangan SFD yang diterbangkan dari Sandakan ke kemah pangkalan di dalam hutan Kinabatangan, sekitar enam kilometer dari Lamag.
Tugasan di lapangan itu hampir berakhir dengan musibah akibat cuaca buruk dan kerana mereka perlu ke sebuah lagi kawasan di daerah Pensiangan iaitu terletak di kawasan bersebelahan hutan di mana mereka berada.
“Kami sepatutnya pulang ke Sandakan dengan helikopter tetapi tapak mendarat di kem pangkalan dilanda banjir kerana ia terletak di kawasan rendah dan bersebelahan sungai. Kalau nak berjalan kaki ke Sandakan memanglah mustahil kerana jarak yang jauh.
“Ikut peta dan dapati Kampung Pandewan di daerah Pensiangan adalah kawasan penempatan terdekat jadi kami memaklumkan kepada ibu pejabat di Sandakan tentang rancangan kami berjalan kaki ke Kampung Pandewan. Kami minta mereka hantar pengangkutan ke Pandewan untuk membawa kami pulang ke Sandakan,” katanya.
Memandangkan tidak ada seorang pun pernah meredah hutan ke Kampung Pandewan, mereka terpaksa bergantung kepada kompas dan peta dan perjalanannya bukan mudah, kerana terpaksa melintasi gunung dan sungai.
“Sepanjang perjalanan kami bertembung dengan banyak haiwan liar, seperti tembadau (spesies lembu liar), rusa yang menyalak, khinzir liar dan ular. Pacat memanglah banyak dan kami tak yakin penuh dapat sampai ke kampung Pandewan.
“Selepas dua hari dan dua malam meredah hutan, sampai juga kamiu ke Pandewan. Kami juga dapat tahu tempat di mana kami membuat kem pada malam terakhir rupanya tanah perkuburan Murut!” kata Rahim.
BANYAK KENANGAN
Seperti yang diminta, sebuah van menunggu Rahim dan kakitangan SFD yang lain di Kampung Pandewan. Memandangkan, van berkenaan tidak boleh menampung semua yang ada, terpaksalah menyewa sebuah lagi kenderaan untuk pulang ke Sandakan.
Jalan dari Pandewan ke Keningau “amat teruk. Sepanjang perjalanan, terasa hentakan kuat dan badan berasa terlalu sakit.
“Sebaik tiba di Keningau, kami ke hospital daerah untuk menjalani pemeriksaan perubatan. Kami berehat sehari di Keningau sebelum meneruskan perjalanan ke Sandakan, melalui jalan Keningau-Tambunan dan kemudian dari Tambunan ke Ranau, sebelum ke Tulid, gerbang masuk ke Sandakan.
“Jalan Ranau-Tulid-Sandakan memanglah teruk juga kerana pembinaan jalan untuk menghubungkan ketiga-tiga daerah masih belum dijalankan,” tambahnya.
Menurut Rahim, tugas beliau sebagai renjer hutan kawasan di Sungai Pin dan Sungai Koyah terutamanya banyak menyimpan kenangan danm sehingga kini masih jelas terbayang memori pertembungan dengan buaya, gajah Borneo dan monyet proboscis ketika menaiki bot sepanjang Sungai Kinabatangan dalam menjalankan tugasnya.
PEJABAT PERHUTANAN KENINGAU
“Namun paling penting, saya ingin mendedikasikan semua kenangan dalam perkhidmatan perhutanan kepada arwah Mohamad Kamdi Arawon @ Bukah Arawon (renjer hutan di Sandakan) yang banyak mengajar saya tentang selok belok hutan serta menggunakan kompas dan membaca peta, ” katanya.
Rahim berkhidmat di pejabat SFD di Sandakan sehingga beliau dipindahkan ke Pejabat Perhutanan Keningau pada tahun 1984. Pada tahun 1988, beliau dipindahkan ke pejabat SFD di Kota Kinabalu.
Apabila beliau menyertai bidang politik pada tahun 1991, beliau diletakkan bertanding sebagai calon UMNO-BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri di Buang Sayang (kemudian dikenali sebagai Pantai Manis) pada Pilihan Raya Umum 1994. Beliau menang kerusi berkenaan.- Oleh Emin Madi (Bernama).