Keberanian Adalah Ketakutan Yang Tertangguh

Lumrah kehidupan manusia sebelum menjadi lebih dewasa.Tentu ramai yang tidak sabar merasai kerseronokan bercinta, kemanisan bersama orang tersayang, hingga terlupa hendak bertanya pada diri sendiri, adakah betul-betul sudah bersedia untuk menghadapi bercinta? Jangan pula “love when you’re ready, not a when you’re lonely”.

Oleh RAMLEE JALIMIN JAININ  (TINTA DEWATA)

PERASAAN cinta tidak selalunya pada titik bahagia. Ada waktunya akan jatuh terperosok ke dalam ngarai yang dalam, sakitnya seperti dihempap batu-batu runyuh, bagai menempuh lautan api, badai merempuh layar lalu bertebaran di sepanjang pesisiran. Mahu saja meranduk gelora merentasi lautan, justeru ingin melempar kesemua bongkah-bongkah batu itu ke tengah lautan.

Apakah berdaya menongkah batu itu? samalah juga, dapatkah menjinjing hati yang penuh asap berkepul-kepul dibawa ke udara. Bagai dilihatnya Gunung Kinabalu itu seperti akan runtuh oleh hembusan nafas hampanya. Perasaan sejati tidak akan pernah berhenti berusaha meskipun telah jatuh berulangkali.

Telefon bimbit bergetak disusuli melodi begitu menyentuh hatinya. Amri membiarkan lagu ‘Kenangan Bercinta’  nyanyian Ria Angelina memenuhi ruang hatinya yang sepi, sediam seketika,mentafsir setiap lirik lagu dari penyanyi jelita itu.

Sehabis lagu itu berkumandang, wajah semerak Amri bertukar menjadi renyuk. Seraya fikiran Amri begitu jauh mengembara, perasaannya sedang berlari-lari di pergunungan di rimba raya, dilihatnya Shah Rukh Khan sedang berlari-lari bersama Kajol menyanyikan Kuch Kuch Hota hai sambil mengelilingi beberapa pokok rhu di tengah pergunungan, rohnya  turut berterbangan ke awang-awangan,gumpalan kecewanya merona angkasa yang limbur. Amri berlari seolah-olah sedang mengejar orang yang pernah ada dalam hidupnya, ternyata kosong, hilang di antara pawana dan gelap malam yang sabur.

Mengejar khayalan dan bayang-bayang yang bermain dalam lewat mimpi-mimpinya, rerama sediam sesaat, tika  mesra mengucup manisan kudup bunga kekwa yang tumbuh meliar di perbatasan hutan.

Lumrah kehidupan manusia sebelum menjadi lebih dewasa.Tentu ramai yang tidak sabar merasai kerseronokan bercinta, kemanisan bersama orang tersayang, hingga terlupa hendak bertanya pada diri sendiri, adakah betul-betul sudah bersedia untuk menghadapi bercinta? Jangan pula “love when you’re ready, not a when you’re lonely”.

Tiga puluh tahun  begitu panjang untuk diharungi,  tiga puluh tahun itu bukan halaman kertas,bukan juga lembaran kalendar,masa begitu panjang tidak pernah menjadi boyak buat Amri untuk sebuah penantian, walaupun usia Amri sudah menjangkau enam puluhan tahun, bagi seorang lelaki ia masih kelihatan otai atau mancho, seperti pelakon Scorpion King   Dwanye Johnson yang sasa.

“Andai angin itu aku, akan aku sejukkan tubuhmu dengan gemersik hembusan lembutnya, dan aku bisikkan di telingamu, bahawa bintang itu mencintai sang rembulan” suara Amri dengan bahasa figuratif  buat mencelur jiwa Jaida.

“tidak semuanya angin boleh menyejukkan tubuh manusia, dan tidak semestinya angin sentiasa berada dalam diri kita, angin sering beralih tempat dan angin kadangkala begitu bahaya jika ia bertukar menjadi taufan” balas Jaida manja. Wajah Amri tertegun dengan kata-kata Jaida yang penuh metafora itu.

“aku bukan taufan, atau bukan angin yang sering berubah-ubah untuk mencari tempat…aku udara yang nyaman, mendamaikan suasana dan harmoni” sambil Amri mengutip daun-daun kering yang jatuh menimpa kakinya, membelai daun-daun itu dengan lembut.

Jaida ketika itu baru mencecah tujuh belas tahun dan  menunjukkan kematangannya menampilkan gaya dan trendi penuh classy mengikut musim kontemporari, cantik dan anggun. Amri ketika itu sedang mengajar di sekolah tempat kelahiran Jaida. Jaida ketika itu masih dalam tingkatan lima, menjadi  pingitan setiap jejaka di kampungnya. Siapa tidak tergigit bibir melihat keayuannya umpama memeluk batang pokok keruing tidak tercapai tangan.

Kehilangan Jaida  telah mengundang tanda tanya dalam hati Amri. Apakah kesilapan yang telah dilakukan hinggakan Jaida menghilang tanpa  berita? Mungkinkah Jaida sudah bertemu dengan lelaki idamannya yang lebih segak atau lebih berada berbanding Amri sendiri, atau kecewa kerana keluarganya menghalang cintanya terhadap Amri.?

– GAMBAR HIASAN

Angin juga tidak kedengaran derunya, Amri tidak merasa kedinginan bila dihembus taufan yang melanda jiwanya yang tengah kemaruk. Amri melihat awan yang kelabu, langit yang biru tidak lagi kelihatan sebagai lumrah pancaronanya. Amri memandang langit sekali lagi, ia berharap ada wajah Jaida mewakili dirinya menjadi jurucakapnya, apa yang Amri nampak burung camar balik ke sarang kerana hari sudah petang.

Burung Cucak Rowo yang sering berbunyi di belakang rumah, seolah-olah menyampaikan rindu dari Jaida kepada Amri. Amri tidak tahu sejauh mana burung itu boleh menyampaikan kerinduan Jaida kepadanya. Adakah Jaida turut merinduinya? Mencari entah di mana? Mungkinkah Jaida sudah berkeluarga kini. Atau sudah bercucu sepertinya.

Cinta terhalang  kerana keluarga Jaida tidak merestui hubungan mereka alasannya masih ada hubungan kekeluargaan, itu sekadar kepercayaan adat,  kalau sekadar tidak digalakkan itu bukan  haram namanya. Hati Amri mendesis menaakul hukum agama. Sedang dalam sudut perkahwinan itu lebih menambah hubungan sesama manusia lebih akrab lagi.  Amri tidak suka adat kepercayaan sukunya dijadikan satu pegangan. Amri amat kesal atas kefahaman budaya yang terus mengekang hubungan antara dia dengan Jaida.

Amri masih teringat ketika mereka bersama rakan-rakan pergi berkelah, waktu itu hujan turun begitu lebat, Amri memberikan Jaida sehelai jaket hitam kesayangannya yang sering dipakainya ketika keluar rumah untuk mengelak dari tujahan hujan, jaket itu lambang keremajaannya ketika itu, memakai jaket itu dia terasa seperti Shah Rukh Khan atau seperti pakaian baju kulit Robert Redford dalam filem Spy Game.

“ Kelak akan kau temukan bahawa perpisahan hanyalah sebuah jalan untuk kembali untuk dipertemukan malah di waktu yang tepat dan di tempat yang seharusnya” Seperti suara angin membisik ke telinga Amir, Amri melihat sekelilingnya, mencari suara itu.

“tepatlah kata-kata Jaida, angin tidak selalu bersama kita untuk menyejukkan..pasti angin juga akan berada di tempat lain” gemersik jiwa Amri.

Tiga puluh tahun bukanlah suatu waktu yang singkat, namun sepanjang itu Amri telah cuba melupakan Jaida. sekaligus dalam lipatan jiwanya, nama Jaida itu sudah tidak berada dalam sisipan kain kenangannya. Baginya Jaidah sudah lama mati, Jaida sudah lama luput dalam memorinya. Suatu ketika nama yang begitu harum bermain dalam hatinya.

Ketika Amri dihantar berkursus ke Miri, Sarawak selama seminggu, dia sempat berkunjung ke pasar eksesori tempat dia membeli sehelai jaket hitam dan seutas gelang getah bertatahkan manik jenis kaca permata dan batuk akik merupakan manik tradisional Sarawak yang berwarna warni yang pernah dibelinya ketika dihadiahkan kepada Jaida. Sekembalinya ke Sabah, Amri  akan menyimpan jaket hitam dan seutas gelang getah itu sebagai kenangannya.

“wah…cikgu lama betul mengelamun..kenapa sorang-sorang saja duduk di sini…apa yang menarik tentang Sungai Sarawak ni” sapa  Cikgu Mait Anak Alang keturunan suku Iban dari Samarahan. Amri tersentak dari khayalannya.

“tidak ada apa-apa Cikgu Mait…saja aku memerhatikan perahu tambang mudik ke hulu ke hilir” Amri cuba berselindung wajahnya yang bermain kenangan silamnya.

“mesti tentang awek nikan…napa, awek lari ke? Cikgu Mait cuba serkap jarang. Namun dari riak air muka Amri terbias dengan kata-kata kawannya itu yang sudah setahun Amri kenal semenjak mereka sama-sama berkursus di Tenom Sabah dahulu.

“Kuching ni…banyak indu  yang bajik-bajik …mana-mana cikgu pilih, orang Iban, Kenyah, Bidayuh, Lung Bawang, Penan, Kelabit dan semua ada di kawasan Negeri Sarawak ni” sengih Cikgu Mait, Amri teringat rakan sekampungnya di Sabah ketawa dan tersengih sebiji seperti Cikgu Mait. Amri  merenung Astana Sarawak di atas bukit di tepi Sungai Sarawak. Mata suram Amri sesekali memandang ke langit mungkin ketika ini dia cuba melenyapkan sesaat ingatannya sambil menahan gelodak yang mencubit-cubit  hatinya. Amri bagai ditendang gelisah.

“Cikgu,kalau cinta terputus tu.. biarkan kenangan itu berlalu..inilah saat kita menemukan keberanian untuk menyerahkan hidup pada seseorang yang sudah jauh dari kita, ia akan menjadi saat di mana kita akan memahami erti cinta sebenar”  ungkap Cikgu Mait membangkitkan jiwa Amri agar bersemangat kembali. Amri menghembus nafas panjang sambil menyambut nguapan kecilnya dengan tapak tangan menaakul kata-kata  sahabatnya itu.

“untuk menjadi hidup yang terbaik, engkau harus memiliki mimpi yang besar dan semangat untuk mewujudkan sesuatu yang besar pula” lanjut Cikgu Mait lagi. irama melodi Lagu Sayang Sarawak meruntun hati Amri.

– GAMBAR HIASAN

“Sungai Sarawak sungainya sempit,

nahkoda kapal bersusah hati,

hendakku bawa perahuku sempit

hendakku tinggalkan

tak sampai hati…

“hei..cukuplah lagu tu..kalau  Dato Hajah Sarbanun Marikan yang nyanyi sedap lagi aku dengar… bukan aku terhibur..bikin aku jadi tambah resah, gundah-gulana dengar suara kamu yang rosak melodi” usik Amri. Sesekali memandang ke skrin handfon.

Kembalinya dari mengikuti kursus selama seminggu di Sarawak. Amri sudah bertekad untuk melupakan Jaida dari terus dibayangi akan kehilangannya dan bermain di dalam hatinya. Sebelum Amri berkahwin memang jiwanya begitu sental untuk mengingati peristiwa dan kenangan itu.

Kenangan bersama Jaida dalam beberapa hal-hal yang berlaku antara mereka ketika bersama. Amri sudah tidak mahu mengingatinya lagi. Itu tiga puluh tahun dahulu. Dia dengan kehidupan sekarang bersama isterinya yang dikahwininya sepuluh tahun lalu.Hampir tiga puluh tahun beza umur mereka. Ertinya sepuluh tahun sebelum ini, jika Jaida wujud kembali dalam hidup Amri barangkali tiada pilihan bagi diri Amri lagi.  Namun Jaida entah ke mana. Selepas tiga puluh tahun menghilang kabar berita Jaida sudah tidak ada lagi.

“ Assalamualaikum…hai Apa khabar Cikgu?lama tidak dengar berita..masih kenal saya lagi kah? berderau hati Amri membaca kata-kata di dalam whatsapp handfonnya.  Mata Amri menujah ke skrin handfonnya agak lama. Fikirannya merandai sekejap.

“siapakah dia ni? Hati Amri berdetik bertanya. Amri sama sekali tidak kenal siapa yang menghantar pesanan itu. Dalam masa yang sama satu lagi pesanan dengan kata-kata yang sama di dalam peti sembang facebook. Amripun cepat-cepat membuka profil empunya facebook itu, avatarnya sekadar sekuntum mawar putih.

Amri begitu hampa tidak dapat memastikan pemilik akaun facebook tersebut. Amri jadi keliru hatinya bagai serpih-serpih bertaburan. Amri bagai berbisik, bahawa gambar bunga mawar dalam status itu pernah dia nampak suatu ketika dulu.  Benak Amri cuba meristah apa kenangan bunga itu pada dirinya. Kerana bunga mawar itu bunga kesukaannya dan bunga kegemaran Jaida tiga puluh tahun dulu.

“ah..takkan..Jaida ini? desis hatinya, bagai gementap perasaannya menatap bunga mawar itu. Pesanan dalam peti sembang dalam facebook menguja jiwanya. Bagai kembali berbunga. Amri tidak membalas pesanan itu, dia hanya membiarkan begitu sahaja. Amri menanti pesanan seterusnya. Dalam getus jiwanya bertanya, mengharapkan ada susulan pesanan seterusnya.

“assalamualaikum? bunyi ton handfonnya berbunyi kembali. Kali ini pesanan yang begitu santun. Hati Amri seperti kudup putik bunga yang berkembang segar.

“walaikum salam” balas Amri tenang. Jiwanya menjadi gemuncup seperti semalu yang malu untuk memberi reaksi. Amri terbayang tiga puluh tahun lalu, ayat seperti itulah setiap pagi  Jaida akan menghantar kepadanya. Ingatan kepada kekasih dalam setiap helaan nafas, kerinduan pada orang yang disayangi walaupun sudah luput dalam ingatan namun setiap degup jantungnya.

Perasaan rindu sememangnya sering berkecamuk dalam fikiran seseorang ketika berjauhan dahulu. Meskipun tatkala berjauhan membuat perasaan jadi sedih seperti burung-burung akan terbang ke mana sahaja ada ranting untuk bertenggek, merenggek mencari kedamaian hati sendiri.

Merindu seperti hujan yang datang tiba-tiba bahkan hujan akan reda walaupun rindu masih terasa.

“Amri kau dah lupa saya” kata-kata itu bagai mencantas hatinya. Amri tambah keliru setelah Amri berkahwin dengan isterinya sepuluh tahun lalu, dia tidak pernah ada hubungan mana-mana perempuan lain selain isterinya sahaja. Amri sudah bertekad untuk tidak berkahwin lagi, umurnya sudah melangkau lima puluh tahun. Jiwanya bukan seperti muda- muda dahulu.

“sapa ni ya..maaf, saya tak kenal siapa saudari” ucap Amri kemas. Fikirannya menjadi landau. Hatinya semakin tertanya-tanya.

“lama saya tidak dengar berita Amri, Amri berapa anak sudah sekarang? Tanya Jaida. Lunak sekali suaranya, seperti suaranya seperti tiga puluh tahun lalu tiada yang berubah. Amri lama berfikir. Fikirannya mulai menggamit masa-masa lalu. Kenangan masa silam seperti terbayang kembali dalam fikirannya. Barangkali tanggapannya tidak silap, detak jantungnya kian bergetup, suaranya bagai tersekat sementara.

– GAMBAR HIASAN

Bagai tercicir dari genggamannya, bertebaran menjadi kersik pasir, dinding hatinya menjadi merekah, merajuk pada dirinya, cinta bagai dihembus ke udara berkepul-kepul, mencari langit yang cerah seperti mencari jalan penuh keliru,kerana  lalu kenangan  enggan lenyap bersama peristiwa silam,meluncur kemas ke udara, satu persatu lenyap di pandangan mata di celah-celah awan, dibalik hatinya yang terluka, mencari cinta di atas kertas namun cintanya tidak pernah mati. Umpama lautan yang tidak pernah kering selagi muaranya di susuri sungai dari kuala kalbunya. Meskipun kertas itu telah luntur namun cinta Amri masih bersuara.

Jika sang pria menemui seseorang yang menyentuh hatinya, pasti pria itu akan teruja untuk mengenalinya bagai burung Merpati dapat dijebak dengan tangan atau terbang bersamanya sambil mendakapnya, lalu menebeng bersama di dahan pokok.

Samalah juga memikat seorang gadis hanya senyuman dan salam perkenalan dengan kata-kata penuh metafora. Segalanya bagai puing-puing kenangan. Hatinya ibarat jatuh dalam hujan ribut Mungkin kehadiran Jaida bukanlah pelengkap pencariannya meskipun cintanya masih mekar, namun tidak mungkin akan berbunga lagi. Amri telah berada pada jalannya sendiri, melangkah tanpa ada perasaan takut untuk menyesal.Cintanya turut hilang dibawa lembayung merah semalam. Keberanian baginya adalah ketakutan yang tertangguh.

Glosari:

Indu- gadis

Bajik-bajik—cantik-cantik

Peti sembang—messenger/inbox

Boyak—tidak selesa

“love when you’re ready, not a when you’re lonely”- Cinta ketika anda bersedia, bukan ketika anda kesepian.

Sabur/limbur– suram

Mustaid-selesai

Lengai—tidak cergas

 

*****RAMLEE JALIMIN JAININ atau nama penanya  Tinta Dewata dilahirkan di Kampung Bayangan Keningau pada  1959. Bergiat dalam penulisan sejak 1979. Karya  pertamanya berbentuk cerpen tersiar di akhbar Sabah Times pada tahun 1983 berjudul di Lembah Sepi .Lulusan Sarjana Pendidikan dari Universiti Malaysia Sabah ini pernah memenangi Hadiah Penghargaan Sayembara Menulis Novel 2015 dan pernah memenangi hadiah Cerpen anjuran YADIM-Daily Express. Jawatan terakhirnya sebelum bersara ialah Guru Besar di SK Maninipir, Keningau.Hampir 500 puisinya tersiar di akhbar tempatan manakala kira-kira 300 yang lain tersiar dalam pelbagai antologi.

scroll to top