Oleh BERLIAN ZIE-YAH
“MANA ada sudah tu kak Yah, mungkin sudah hancur!”
Hancur? Jawapan Sam itu membuatku rasa cemas, risau kalau ketipung itu benar-benar hancur.
Sejak kebelakangan ini, aku selalu teringatkan ketipung itu. Bila teringatkan ketipung, aku teringatkan Pak Tua. Ketipung itu adalah hasil tangan Pak Tua sendiri. Beliau sendiri yang menukang, memahat dan mencari kulit kambing untuk dibuat Ketipung.

GAMBAR HIASAN
Ketipung itu adalah warisan Pak Tua,atuk yang pergi meninggalkan kami ketika usianya menjangkau hampir 90 tahun. Ketipung yang sering mengingatkan kami mengenai diri kami sendiri.
Kalau benar kata Sam bahawa ketipung itu sudah hancur, apa lagi yang dapat aku lakukan untuk menyelamatkannya?. Menyelamatkannya dari kehancuran. Menyelamatkan kenangan yang melekat di badan ketipung, yang apabila dipalu selalu meriwayatkan sejarahnya yang panjang.
Ketipung, adalah sesuatu yang berkaitan dengan diri kami. Alat muzik yang biasanya digunakan untuk mengiringi muzik-muzik Melayu. Gendang kecil yang memiliki dua sisi tabuh, berbentuk bulat dengan bahagian tengah yang berukuran sederhana, tinggi lebih kurang sejengkal. Ketipung lebih kecil jika dibandingkan dengan gendang, Ketipung biasanya dimainkan untuk mengiringi tari zapin atau apa apa saja majlis keraian di kalangan keluarga kami.
Soalnya di mana ketipung itu sekarang? Jawapan Sam sama sekali tidak melegakan bahkan membuat hatiku risau.
“Macam mana ketipung itu boleh hancur? Macam mana Sam tahu? “ Aku menyoal Sam bertubi-tubi soal Ketipung itu. Sam, adik nombor empat, yang sejak dulu suka memalu ketipung atau dia sendiri suka menari zapin. Sebenarnya kami sepuluh adik beradik tetapi yang masih hidup, tinggal kami berlima. Ain, adik kedua tak menaruh minat yang banyak soal ketipung itu. Shaari, adikku yang ketiga, seorang yang agak pemalu manakala Mutahar, adik yang paling bungsu, tak mungkin tahu kerana sewaktu Pak Tua meninggal, dia masih kecil. Sam lah yang banyak tahu kerana dia adalah cucu kesayangan Pak Tua, dan sering mengekori ke mana saja Pak Tua pergi.Sam tentu tahu ke mana ketipung itu. Tapi jawapan yang kuterima dari Sam, benar-benar tidak kuduga sama sekali.
Kalau sudah hancur, dari mana pula Mudin mendapat ketipung. Mudin, seorang pengurus zapin di kampung kami, masih ada kaitan keluarga kerana kakaknya kahwin dengan keluarga kami.
“Cuba tanya Mudin!”
Dulu Mudin suka memakai ketipung itu. Tapi sekarang tidak lagi. Aku tidak pernah lagi melihat Pak Mudin menggunakannya. Kata Sam,kalau ada majlis-majlis zapin , Mudin dan kumpulan yang dipimpinnya menggunakan kompang. Sam tahu kerana dia sendiri selalu ikut menari zapin dan bermain kompang di majlis-majlis perkahwinan keluarga kami. Sam agak pemalu sedikit. Majlis keluarga terdekat saja dia akan menari zapin dan bermain kompang. Begitu juga adik bongsuku, 21 tahun dari umurku, Muhammad Mutahar yang kami panggil Taai. Hanya mereka berdua saja adikku yang masih mewarisi kompang dan zapin Seorang lagi adik, Shaari yang beza tiga tahun saja saja dariku, dari dulu memang paling malu menari zapin.,walaupun dia tahu menari zapin.

…Mungkinkan Pak Tua sebahagian dari Jalur Rempah? Jalur Rempah, tidak mungkinlah kerana jalur Rempah itu adalah sesuatu berhubungan dengan zaman bahari. Apakah Pak Tua sebahagian dari peradaban maritim itu?… (Gambar Hiasan).
“Cuba-cuba lah tanya”, kataku mendesak. “ Kan belum tanya lagi. Berusahalah sikit. Jangan pula nak hentikan kak Yah mencari ketipung tu,”
“ Usahakanlah bercakap dulu dengan si Mudin tu. Ketipung tu arwah Pak tua yang buat. Kak yah dan semua cucu-cucunya nampak pak Tua buat ketipung tu. Kalau ada orang yang mengaku ngaku ketipung itu, orang itu pasti menipu.
Aku menahan perasaanku yang mula bercampur baur, menahan rasa marah dan sedih.
Aku masih ingat, ketika Sam masih kecil, dia selalu bersama pak tua. Ke mana Pak Tua pergi, di situlah Sam pergi. Dia manja sekali dengan Pak Tua. Aku pula hanya memerhati Pak Tua sehingga aku tahu sedikit mengenai cara membuat ketipung itu.
Bila ada kulit kambing, Pak Tua akan menjemurnya di tengah-tengah terik matahari hingga kering. Pak Tua akan menjemurnya kulit kambing itu berhari-hari. Setelah betul-betul kering baharulah Pak Tua menggunting bulu kambing hingga pendek supaya mudah untuk dikikis dengan pisaunya yang diasah tajam, sehingga tak kelihatan lagi bulu-bulu kambing, yang tinggal hanya kulit kambing yang licin seperti kertas tebal.
Setelah itu, kulit kambing yang telah dibersihkan dari bulu itu akan dikeringkan lagi. Dijemur lagi berhari-hari. Pak Tua mengikatnya dengan kayu untuk menegangkan kulit kambing.
Badan ketipung pula sudah pun Pak Tua siapkan awal-awal lagi sebab badan ketipung pun mengambil masa yang lama untuk membuatnya. Batang kayu berukuran sepemeluk kecil akan dipahat di tengah-tengahnya, dan mengeluarkan bahagian tengah sehingga membentuk lubang yang luas, hanya seinci atau lebih sikit sahaja bahagian keliling badan ketipung disisakan untuk mendapatkan bulatan.
Badan ketipung berdinding setebal 1 inci dan setinggi lebih kurang sejengkal. Bahagian luar dan dalam kayu yang sudah dipahat akan diketam hingga tidak kelihatan lagi kulit kayu, kemudian akan dibersihkan dengan kertas pasir. Badan ketipung yang membulat berukuran tinggi sejengkal itu akan terus digosok dengan kertas pasir sehingga permukaan dalam dan luar ketipung menjadi licin.

GAMBAR HIASAN
Kemudian Pak Tua akan mula memotong kulit kambing membulat untuk bahagian atas dan bawah ketipung. Kulit kambing diukur lebih sedikit di bahagian luar. Kemudian Pak Tua akan melilitkan tali rotan yang dibuat oleh Pak Tua sendiri di sekeliling dinding badan ketipung bahagian atas, dan begitu juga dibahagian bawah ketipung, akan ditutup dengan kulit kambing, kemudian tali rotan dililit bersilang-silang, berpangkah-pangkah sekeliling badan ketipung kemas-kemas. dan akhirnya membuat tali untuk mudah menyangkutkan ketipung itu nanti.
Aku mula merasa geram bila Sam seperti tidak mahu menolongku mencari-cari kemana perginya ketipung Pak Tua.
“Usahakan lah dik” , suaraku bergetar menahan sebak yang terkumpul.
“Ketipung tu kita punya. Kitalah pewaris ketipung itu. Tapi entah bagaimana mak boleh bagi begitu sahaja dengan si Mudin tanpa kita tahu. Tiba-tiba saja kita tengok ketipung tu dimainkan si Mudin “
Aku sengaja memutuskan percakapan kami kerana aku ingin bercakap dengan mak, mahu tanya pasal ketipung pak Tua tu. Apakah Mak yang bagi Ketipung itu dengan si Mudin?.
Selepas memberi salam, aku terus bertanya Mak soal ketipung itu.
“Ooh..lama sudah tu Yah, berpuluh-puluh tahun sudah ketipung tu dengan dia” kata Mak. Kalau boleh aku ingin mendapatkan semula ketipung itu, ketipung pak Tua.
Ketipung itu menjadi perlambang jati diri kami, Identiti kami. Sepanjang ingatanku, dan sepanjang yang kutahu, hanya Pak Tua saja yang pandai membuat ketipung di Tawau. Bahkan dahulu pernah dimainkan di majlis-majlis anjuran PKMT atau Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau, salah satu persatuan yang meniupkan semangat nasionalisme di kalangan bumiputera Sabah khususnya di Pantai Timur.
Ketipung salah satu muzik, biarpun kecil daripada gendang yang menunjukkan jati diri bahawa kami ini Melayu, walaupun mempunyai sedikit darah Arab. Pada zaman bahari, lebih dua kurun yang lalu moyang kami Muhammad Arif Syafie,tiba di Tanjung Selor, sebuah pelabuhan penting di sebelah timur Kalimantan setelah berlayar dari Pontianak yang terletak di sebelah barat Kalimantan.
Menurut cerita, moyang kami dari sebelah ayah, pernah dilantik sebagai Qadi kerajaan. Bahkan dikurniakan sebidang tanah seluas seribu meter yang dipanggi Tanah Seribu. Aku tidak tahu dengan pasti kerana ia berdasarkan cerita yang pernah diceritakan arwah ayah kepadaku. Sejak dari moyang kami, bahasa pertuturan di rumah kami hanya bahasa Melayu, kerana Moyang kami memang keturunan Melayu. Sebab itu, bila ada orang yang mengatakan di negeri kami tidak ada Melayu, perkara itu perlu diteliti kembali. Bagaimana orang Melayu dinafikan kehadirannya di pulau yang terletak di alam kepulauan Melayu? Mengamalkan adat dan budaya Melayu termasuklah muzik ketipung ini.
Sebenarnya aku tidak mahu berpanjang panjangan lagi soal ketipung ini. Cuma aku terasa tiba-tiba ada sesuatu yang hilang. Sesuatu yang memiliki hubungan akrab dengan masa silam kami. Sesuatu yang berbunyi-bunyi dan bergetar dalam hatiku. Jiwaku menjadi lebih hancur lagi bila dikatakan bahawa Ketipung itu hancur. Bahawa ketipung itu di tangan si Mudin, bahawa ketipung itu sudah tidak ada lagi, bahawa kesenian kami sudah hilang. Tapi mana satu yang benar?
Kalau ada ketipung itu, aku beritahu Mak, sekurang-kurangnya kami anak cucunya tahu mengenai keturunan kami. Aku cuba merekonstruksi sejarah. Bagaimana Ketipung itu boleh sampai kemari? Bagaimana Pak Tua boleh mahir membuat ketipung kalau itu tidak berhubungan dengan dirinya.
Pak Tua adalah sebahagian dari Ketipung itu sendiri, atau sebahagian daripada kehidupan Pak Tua digunakan untuk mempelajari dan akhirnya kemudian membuat ketipung. Tapi untuk apa ketipung itu? Kalau bukan ketipung itu, bagaimana keluarga kami dikenal sebagai keluarga yang ada kesenian, ada peradaban, ada warisan yang punya pertalian panjang dengan orang-orang di Nusantara ini.
Mungkinkan Pak Tua sebahagian dari Jalur Rempah? Jalur Rempah, tidak mungkinlah kerana jalur Rempah itu adalah sesuatu berhubungan dengan zaman bahari. Apakah Pak Tua sebahagian dari peradaban maritim itu?
“Kalaupun ketipung itu, tidak dapat diambil kembali, kalau boleh digambar sajapun cukuplah,” Kataku. Tiba -tiba aku diserang rasa bimbang kerana sekarang zaman pandemik Covid-19.
Bagaimana pula mama boleh membantu untuk mencari ketipung itu sedangkan kes covid sedang meningkat. Bukan senang-senang mahu keluar, kata mak melalui telefon selular yang makin tidak jelas suaranya kerana gangguan talian.
“Kalau begitu, telefon sajalah si Mudin tu mak. Manalah tahu ketipung tu dapat dipinjam sekejap, ambil gambar dan videonya sekali”
“Payahlah macam tu,” kata Mak. “Manalah dia mahu bagi pinjam,”. Kudengar suara mak seperti tidak berminat soal ketipung itu.
Lagi pula khuatir Mudin salah sangka.Nanti panjanglah pula fikirannya soal ketipung itu.
Pasti nanti diingatnya ketipung tu boleh dijual dengan harga tinggi. Jika dia fikir begitu, mungkin Mudin akan beri seribu satu alasan untuk tidak melepaskannya atau meminjamkannya.
“Lagipun, kan itu punca pendapatannya. takkan dia mahu bagi pinjam ketipung tu” jawab Mak.
Selama ini, Mudin adalah antara orang yang mempertahankan tarian Zapin atau dipanggil Jepin di kampung kami. Beliau dan kumpulannya sering diundang untuk memeriahkan sesuatu majlis, bahkan sempat diundang ke luar daerah untuk mempersembahkan Jepin.
“Kenapa pula Ketipung itu jatuh ke tangan Mudin?”” Kan ketipung tu Pak Tua punya?,” Aku bertanya Mak.

…Aku masih ingat, ketika Sam masih kecil, dia selalu bersama pak tua. Ke mana Pak Tua pergi, di situlah Sam pergi. Dia manja sekali dengan Pak Tua. Aku pula hanya memerhati Pak Tua sehingga aku tahu sedikit mengenai cara membuat ketipung itu…. (Gambar Hiasan).
“ Kan Ketipung tu kita yang punya mak. Mak yang bagi ketipung tu kenapa?” Aku hampir-hampir menangis mengatakannya pada Mak.
“Itu saja satu-satunya peninggalan Pak Tua mak. Hasil tangan Pak Tua. Pak Tua yang bersusah payah tanpa lelah membuat ketipung berbulan- bulan. Bukan sebuah ketipung yang dibuat, malah banyak lagi yang dihasilkan”.
Aku terkenangkan lagi Pak Tua, yang dikelilingi cucu-cucunya membuat ketipung di kaki lima rumah yang bersebelah saja dengan rumah kami. Beliau bukan saja mahir main Ketipung, bahkan banyak lagi alat muzik. Kompang, gambus, biola dan banyak lagi, aku hanya tahu menyebutnya.
Aku seolah-olah terlihat lagi kelibatnya. Biasanya ketika matahari turun melewati asar, Pak Tua bergegas mengambil kulit kambing dari jemuran,mengibas-ngibas kulit kambing yang dijemur sepanjang hari, risau dibasahi hujan yang tak pernah diketahui hujung pangkalnya.
Anak-anak kampung berlari-lari di jambatan dan sesekali memanggil nama Pak tua. Pak Tua! Pak Tua!,. Pak Tua tak pernah endahkannya. Pak Tua asyik menekuni kulit kambing dan tak lama kemudian menyimpannya dalam kotak perkakas. Begitulah Pak Tua dengan rutin petangnya. Sekali-sekali anak-anak kampung yang berlarian di jambatan singgah melihat Pak Tua menggosok-gosok badan ketipung. Kadang-kadang ada sepupu kami , Syed Gassim, yang kami panggil Om tu kerana rambutnya kerinting datang selalu bertanyakan itu ini kepada Pak Tua.
. Pak Tua tak menjawab. Si Om pun tak kisah, kemudian meninggalkan pak Tua berlari-lari di jambatan bersama kawan-kawan yang lainnya. Adikku Sam adalah teman sepermainan si Om. walaupun Sam tak pergi jauh dari rumah tapi sepupu-sepupu dan kawan-kawan yang lain akan selalu datang bermain di kawasan dekat rumah kami.
Kebetulan di situ padang berpasir iaitu hanya selang sebuah rumah saja iaitu di hadapan rumah Bik Laila, sepupu sekali mak. Ayah Bik Laila, Syed Yahya adik beradik dengan nenek kami Sharifah Jeribok. Di hadapan rumah makcik Giah, sepupu sekali Mak.Sebelah kanan pula rumah Yak Noi, Kakak Mak.
. Rumah Makcik Giah dan Bik laila yang berhadapan betul-betul dengan padang berpasir tu.
Begitulah keadaan kampung kami dahulu, setiap orang ada kaitan keluarga dan saling mengenali. Setiap petang, ramai kanak-kanak bermain di padang berpasir tu. lebih-lebih lagi permainan bola sepak sangat digemari oleh anak-anak kampung tidak kira anak-anak remaja atau dewasa.
Di hadapan rumah kami, ada jambatan kecil dan panjang. Ada pokok kelapa yang sentiasa berbuah lebat. Sekeliling rumah kami dipenuhi bunga teh. Ada juga pokok bunga Kertas yang tinggi dan sebahagiannya ayah jadikan bonzai. Ayah suka mengurus tanamannya. Pokok limau sebelah tingkap. kami petik dari tingkap saja kalau mahu ambil limau. Di hadapan kaki lima rumah kami ada pokok mangga. Di bawah pokok kelapa itulah makcik Giah, membuka warung pisang gorengnya.
Tapi Pak Tua asyik membuat ketipung tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekitarnya,

GAMBAR HIASAN
Tidak seperti kanak-kanak lain, kami hanya boleh bermain di rumah saja, tidak boleh bermain di jambatan. Ayah tak benarkan kami berada di luar rumah sekalipun di kaki lima. Walaupun umurku menginjak 12 tahun aku sudah dipesan tak boleh berjalan-jalan di jambatan. Jambatan inilah yang menghubungkan rumah ke satu rumah yang lain di kampung kami, yang entah kenapa terkenal dengan nama Ice Box. Mungkin kerana ,ada kilang ais yang besar berdiri disitu. Ikan-ikan yang dieksport ke kawasan Timur Jauh seperti Jepun, akan disimpan dahulu di Ice Box .
Kampung kami kemudian bertukar nama Kampung Titingan kerana kampung itu dirasmikan oleh Allahyarham Datuk Abu Bakar Titingan, seorang yang sangat berjasa, bukan saja di kampung kami malah di seluruh daerah Tawau yang dulu kami panggil Tanjung.
Di sinilah pak Tua hidup bersama Ketipungnya. Pak Tua tidak kisah siapa yang melihatnya. Pak Tua selalu tenggelam dengan dunia pekerjaan yang dicintainya. Dunia yang membuatkan Pak Tua selalu bersemangat walaupun usianya ditambah lima tahun lagi mencecah satu abad.
Bagi Pak Tua, Ketipung adalah rasa cintanya. Di dalamnya terkandung rasa berbangsa dan cinta kepada negara. Itulah dunia Pak Tua dengan ketipung. Beliau selalu tekun dengan pekerjaan, kecuali kalau Sam datang minta dibuatkan layang-layang. Pak Tua juga tak sampai hati membiarkan kawan-kawan Sam tidak ada layang-layang. Lalu Pak Tua pun buatkan mereka layang-layang tapi layang-layang itu kecil sahaja.
Sebab itu, bila saja aku teringat soal ketipung itu, aku terus menghubungi Sam. Sebab Sam pasti tahu.
‘Tapi Kenapa mak bagi ketipung tu dengan si Mudin tanpa pengetahuan kami? Kalau Mak bagipun pada Mudin, sekurang-kurangnya kami diberitahu. Tiba-tiba saja ketipung tu ada di tangan orang lain” kataku merajuk.

GAMBAR HIASAN
“Sebenarnya Yah, bukan Mak yang bagi ketipung tu dengan si Mudin tapi Mak Tua , nenek kamu yang bagi ketipung tu dengan bapa si Mudin. Mudin pun mungkin tak pernah tahu bahawa ketipung tu Pak Tua yang punya.”
“Mak Tua tak mahu ketipung itu terbiar begitu saja, kehilangan bunyi. Ia mahu selepas pemergian Pak Tua, ketipung itu terus mengeluarkan bunyi, dipalu orang, dimainkan orang. Ia lebih baik daripada terbiar, sunyi tanpa bunyi “ kata Mak.
Aku terhenyak mendengar penjelasan Mak. Ketipung itu Pak Tua yang punya dan tentu Mak Tua yang lebih berhak memberikan ketipung itu kepada siapapun yang dia mahu.
Ketipung itu bukan kepunyaan kami lagi. Aku sudah salah sangka kepada Mak. Mulanya kufikir Mak yang berikan ketipung itu pada orang lain, rupanya Mak Tua yang menghadiahkan Ketipung itu kepada orang lain bagi memastikannya terus dijaga dan digunakan. Terus berbunyi walaupun si empunya sudah lama pergi.
Apa lagi yang boleh kubuat. Aku menangis teresak-esak mengenangkan semuanya. Seperti baru sahaja Pak Tua meninggalkan kami bersama ketipungnya.
Kini Ketipung itu benar-benar bukan kepunyaan kami lagi. Kulihat ketipung itu dalam kesamarannya, menjauh dan makin menjauh.***
BERLIAN ZIE -YAH adalah nama pena Fauziyah Nurdin, penulis yang dilahirkan di Tawau pada 30 April 1970.Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK St Patrick Tawau dan seterusnya SM St Patrick Tawau hingga 1987.Pernah bertugas selama 18 di Klinik Chong dan kerja separuh masa di Borneo Post Tawau selama 9 bulan sebelum berpindah ke Kota Kinabalu mengikut suaminya. Mula menghadiri program sastera sejak Perkampungan Sasterawan 1992 di Tawau dan menulis dalam genre cerpen.