Menyinari Hati Yang Hitam

Karya FIONA FLORISCA JOMINIS 

“SALLEH sudah banyak kali ayah cakap, jangan terlibat dengan mat rempit lagi!”kata ayah Salleh, Zizan. Zizan menjatuhkan dompet tebal Salleh, dan memandang ke luar jendela. Zizan kecewa dengan anak satu-satunya itu. Tidak bekerja dan menggunakan motosikal pemberian Zizan untuk perlumbaan haram. Duit dalam dompet langsung tidak menarik perhatian Zizan, sebab dia tahu duit itu sungguh haram. Namun di sebalik penunggang motosikal itu, terlerai suatu bebanan yang harus dirasai setiap hari. Ibu Salleh sudah lama meninggal dunia, sejak dia di bangku sekolah lagi. Dia tiada tempat meluahkan perasaan, selain mengikuti perlumbaan motosikal yang mengghairahkan dia, tanpa perlu tertekan mengenai wang belanja setiap hari, dalam menanggung hutang ayahnya itu. Zizan tidak dapat memberhentikan perbuatan anaknya itu, kerana dia tahu, Salleh berbuat demikian untuk melangsaikan hutang Zizan.

“Anak, kerjalah di Kota Kinabalu, hentikan perlumbaan haram malam-malam, ayah takut kamu ditangkap polis! Dengarlah cakap ayah ni,”kata Zizan berlembut. Salleh dari pagi, mencebik bibir merekahnya. Tidak ingin dia menyusahkan ayahnya membiayai perjalanan dia ke Kota Kinabalu bagi mencari kerja halal. Perlumbaan motosikal dalam beberapa hari sudah memberikan dia beribu-ribu wang belanja. Sebab itu, dia tidak akan berhenti.

“Saya tak nak menyusahkan ayah,”kata Salleh dengan air mata gugur ke pipi. Zizan menggelengkan kepala, dengan Salleh masuk ke bilik, melayan perasaannya.

Salleh membenamkan diri dikatil empuk dan mencapai telefonnya. Dia ingin menelefon Karim, untuk membawanya ke lorong jalan raya bernama lorong Pinawantai. Di situ, motosikal akan disusun mengikut nombor giliran, dan akan berlumba sejauh 8 km. Mereka akan menentukan pemenang dan diberi wang sebagai hadiah, oleh itu, Salleh ingin motosikalnya siap dibaiki di bengkel kereta.

“Sudah siapkah?”kata Karim di telefon.

“Rasanya siap jam 5 ni, saya akan ke sana,”kata Salleh mengharapkan Karim memahami keadaannya itu. Dengan Zizan berada di rumah itu, dan tidak pergi ke rumah bapa saudaranya, membuatnya sukar untuk keluar malam. Tentu asyik dimarahi sahaja oleh Zizan, namun dia harus mencari wang bagi melunaskan hutang dan membiayai rawatan kemoterapi ayahnya, selepas mendapat kanser setahun lalu, di peringkat awal.

Zizan selalu bertemu janji dengan doktor di hospital Sentosa setiap bulan, dan memakan jumlah belanja yang banyak. Hasil perlumbaan setiap malam memberikan Salleh sejumlah duit yang cukup membiayai perubatan ayahnya. Zizan faham benar gaya anaknya itu. Salleh seorang yang sensitif dan tidak meminati sebarang bidang pekerjaan yang selalu disarankan ayahnya.

“Saya keluar dulu ayah,”kata Salleh kepada Zizan. Zizan hanya mengelengkan kepala, dan tunduk sayu. Dia tahu, dia tiada kudrat menghalang anaknya. Kakinya yang selalu kebas menyebabkan dia tidak dapat bergerak laju mendapatkan tangan Salleh. Salleh sudah berada di ambang pintu rumah, dengan kunci motosikal pada tangannya.

Salleh keluar, dengan mendapat jeritan marah Zizan di ruang tamu. Namun dia harus keluar, dia tidak ingin terlepas sebarang perlumbaan biarpun motosikalnya sedang dibaiki. Dia menaiki teksi menuju ke bengkel, dan menyapa Budin, yang sudah meletakkan motosikal berwarna perak itu di luar bengkel.

“Terima kasih Budin,”kata Salleh. Salleh menaiki motosikalnya membawanya ke lorong Pinawantai lewat petang itu, ketika jalan raya sedang sepi tanpa kereta yang banyak. Kawasan itu sering menjadi tapak perlumbaan motosikal dengan kumpulan wanita memegang bendera bagi menandakan masa untuk mereka mulai menunggang motosikal bagi memulakan perlumbaan.

Salleh membawa motosikalnya pada suatu ruang perkumpulan, dan tidak sedar, seseorang telah mengikutinya dari belakang.

“Salleh!”kata seorang lelaki 50-an yang sangat marah kepada Salleh.

“Jadi di sini kamu berlumba? Mencari wang haram untuk ayah!”kata Zizan. Salleh tunduk, malu dengan jeritan ayahnya di tengah-tengah kumpulan orang yang mendiamkan diri melihat pertelingkahan mereka.

“Mari pergi, ayah tak perlukan duit kamu!”kata Zizan, menarik tangan anaknya yang keras kepala itu. Namun Salleh, melepaskan genggaman ayahnya, dan berlutut.

“Maafkan saya ayah, saya buat ini demi ayah, tiada sesiapa dapat menolong kita kecuali Salleh,”kata Salleh dengan air mata gugur di pipi. Zizan juga menitiskan air mata, tidak sanggup lagi bertahan dengan kenyataan dia menyebabkan anaknya berusaha mencari duit haram.

“Ayah, berikan saya peluang, selepas hutang ayah selesai saya akan berhenti berlumba, saya janji,”kata Salleh, meminta maaf berkali-kali dengan Zizan, yang berdiri seperti batu keras tidak bergerak di tepi jalan.

TIba-tiba, tanpa mereka sedari, sebuah motosikal melanggar badan Salleh, dan dia terhumban ke tepi jalan. Zizan berteriak dan meraung. Darah mencurah-curah keluar dari kepala Salleh. Polis dan ambulan datang mengambil Salleh dan menghantarnya ke hospital terdekat. Zizan meracau seperti kehilangan pedoman hidup. Dia tiada hala tuju. Sallehlah satu-satunya harapan di dalam hidupnya, namun Tuhan ingin memberi mereka dugaan besar. Ohh Salleh, maafkan ayah! Bentak hati Zizan.

Sesampai di hospital, Salleh diletakkan dalam unit kecemasan sehingga dirawat di bilik wad lelaki. Salleh tidak sedarkan diri, dan Zizan semakin risau dengan keadaan anaknya itu. Doktor menyatakan Salleh bakal dibedah bagi mengeluarkan darah beku pada bahagian kepalanya. Dari hari itu, Zizan tidak pernah berhenti berdoa, dan sentiasa melawat anaknya.

Tiba-tiba, pada suatu hari, datang seorang lelaki melawat Salleh. Zizan masuk ke bilik wad, melihat lelaki itu membacakan buku buat Salleh. Zizan seperti kenal akan orang itu namun dia tidak ingat apa-apa.

“Kamu siapa?”kata Zizan, dengan sapu tangan pada tangannya untuk mengelap peluh pada dahinya.

“Saya, Rosni, saya bekas guru sekolah Salleh,”kata Rosni, tersenyum ke arah Zizan.

“Saya tahu, Salleh buat apa sepanjang tahun ni,”kata Rosni, dengan Zizan tidak serik mendengar hujahan guru itu.

“Kamu tahu? Dan kamu tidak menghalangnya?”kata Zizan dengan mata merah mulai bergenang air mata.

“Saya tahu, dan saya telah menghalangnya, namun Salleh berkeras, dia perlukan duit banyak untuk membayar hutang dan untuk….kamu, sebagai ayahnya,”kata Rosni, tunduk layu,

“Saya faham sebab Salleh berlumba haram, dan saya sangat salahkan diri saya kerana menjadikan anak saya bernasib malang begini,”

“Dan saya sedia membantu,”kata Rosni.

“Apa?”

“Saya akan bantu kamu lunaskan hutang, dan membiayai perbelanjaan rawatan kometerapi kamu, dengan syarat, Salleh berhenti berlumba,”

“Terima kasih tuan!”kata Zizan menangis teresak-esak. Tidak dia sangka kedatangan guru itu memperlihatkan kebesaran Tuhan kerana segalanya ada hikmahnya, segalanya indah pada waktunya.

“Encik.. Rosni?”kata Salleh selepas membuka matanya melihat mereka. Zizan memegang tangan anaknya, dan bergembira seketika mengetahui Salleh sudah sedar.

“Saya akan bantu kamu,”kata Rosni, lalu berdiri, dan melihat Salleh yang mulai menangis teresak-esak.

“Berhentilah berlumba, ingat ayah kamu,”kata Rosni.

“Cikgu, saya akan cari kerja lebih baik, saya janji!”kata Salleh, bersyukur kepada Tuhan jalan penyelesaian bagi hatinya yang hitam telah muncul sebagai sinaran baru dalam dirinya. Tiada lagi penderitaan mencari duit melalui duit haram. Tiada lagi kata-kata kecewa daripada ayahnya. Sinar harapan itu mulai menampakkan kegembiraan yang jelas pada wajah mereka, dengan senyuman Rosni kepada mereka anak-beranak.

 

FIONA FLORISCA JOMINIS  berasal dari Pinawantai Kudat, Sabah. Anak keempat dari lima adik beradik ini mendapat Pendidikan awal di SRK Pinawantai dan Pendidikan menengah SMK Pinawantai. Lulusan Universiti Malaysia Sabah (UMS)   pada bulan Oktober 2019 . Meminati dunia penulisan semasa di bangku sekolah lagi . .Mula menulis sejak  2018, iaitu semasa di ruang belajar universiti lagi. Karya cerpen penulis pernah diterbitkan di dalam akhbar Utusan Borneo dan New Sabah Times pada tahun 2020. Manakala, karya penulis pernah disiarkan di dalam majalah E-Wadah. Penulis mempunyai nama pena, dengan Fiona FJ. Bukunya yang pertama bertajuk  “Peristiwa Sazline Watie” terbit  September 2020, penulis merasa begitu gembira dapat memulakan perjalanan sebagai penulis muda yang masih belajar. Kemudian dalam bulan Oktober 2020, penulis berjaya menghasilkan kumpulan sajak sebanyak 50 untuk dijadikan buku bertajuk “Dilemma Cinta Terbiar”. Seterusnya, penulis aktif membuat novel berlainan genre. Pada bulan December 2020, penulis berjaya menghasilkan tiga buah buku, bertajuk “Poems of Floweriss and Evylinda with Her Sixth Sense”, kemudian, “Bidadari Perisik”dan “Cahaya Cinta Mariposa”.

 

scroll to top