PENAMPANG: Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) yang masih menular dalam komuniti tidak menjejaskan usaha untuk meningkatkan kemenjadian murid, terutamanya dalam bidang akademik.

INDANG KASI HAJI SIBIN
Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Indang Kasi Haji Sibin, berkata dedikasi dan pengorbanan para guru, ibu bapa dan murid telah sedikit sebanyak membolehkan sesi persekolahan tetap berjalan dalam bentuk pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).
Peningkatan prestasi negeri Sabah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020, terutamanya di daerah Penampang, sedikit sebanyak membuktikan keberhasilan PdPR walaupun dalam suasana pandemik COVID-19.
Justeru, Indang Kasi mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada peningkatan prestasi tersebut.

AWANG ABDUL MUIZZ AWANG MARUSIN

MAHADIR AMBOALA
Indang Kasi turut menyampaikan penghargaan kepada semua guru, ibu bapa dan murid atas komitmen yang ditunjukkan dalam menjayakan PdPR sepanjang sesi persekolahan 2021.
Beliau berkata demikian ketika membuka Bicara Santai: Pengorbanan, Cinta yang Agung sempena Istiqbal Aidiladha 1442 Hijrah Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang secara dalam talian menerusi saluran YouTube ‘BADAR SMK Tansau’ pada Jumaat malam.
Bicara Santai yang dianjurkan oleh PPD Penampang, Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Sabah (PEKDIS) Cawangan Penampang, Ikatan Penulis Sabah (IPS) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru) Sabah menampilkan Penolong Pengarah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Mejar (PA) Nasrullah Mohamad Nadzir dan Ahli Jawatankuasa, Biro Pembangunan Pelajar, i-Guru Sabah, Mahadir Amboala.

MOHILIS
Bicara Santai yang dipimpin oleh Ketua Dua IPS, Awang Abdul Muizz Awang Marusin, turut menampilkan Mohammad Hilmi Ismail (Mohilis) sebagai Pembaca Puisi.
Tokoh penyair Sabah yang berasal dari Kota Belud ini merupakan johan Pertandingan e-Deklamasi Sajak sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021 anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia.
Turut diraikan dalam Bicara Santai itu ialah peserta-peserta yang mewakili daerah Penampang dalam sembilan buah acara Program Pengukuhan Kurikulum Pendidikan Islam (PEMANIS) 2021 anjuran Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. Seramai lebih kurang 500 penonton ikut serta menonton Bicara Santai dari dalam dan luar negeri Sabah.