Pensyarah UPSI, IPD Temerloh Kaji Tragedi Serangan Balai Polis Kuala Kurau

GAMBAR LAMA…. Tiga orang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Kuala Krau 1948 bersama isteri dan anak-anak mereka. Mata-Mata 2648 Mohamad Yusof berdiri (paling kanan dalam bulatan merah) Sumber: Tuan Haji Osman Mohamad Yusof (November 2020).

IGAUAN kekejaman komunis di tanah air sukar dilupakan dan perasaan marah tetap terpahat pada hati sanubari rakyat terutamanya anggota keselamatan dan keluarga mereka.

Serangan terhadap balai polis oleh pengganas komunis umumnya sinonim dengan peristiwa kekejaman komunis yang menyerang dan membakar Balai Polis Bukit Kepung, Muar pada 23 Februari 1950.

Baru-baru ini empat akademia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalankan kajian ilmiah tentang serangan dan kekjaman komunis terhadap anggota Balai Polis Kuala Krau, Temerlong, Pahang.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menganggap kajian itu dapat menyemarakkan semangat patriotik terhadap tanah air.

SRIKANDI… Mahani Konel, Srikandi Kulau Krau. Sumber: Foto simpanan Tn Hj. Osman, (2020).

“Kekejaman terhadap rakyat oleh pengganas komunis sukar dilupakan dan pada setiap kali sambutan kemerdekaan tanah air, kita akan terbayang tentang derita yang dilalui pejuang-pejuang negara yang berkorban nyawa, “ katanya.

Menurut Prof Md Amin kajian yang baharu siap dilakukan oleh akademia UPSI itu bertepatan dengan semangat Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

Penyelidikan dijalankan oleh Profesor Madya Dr Azhar Wahid (ketua), Prof Dr Abdul Halim Ali dan Profesor Madya Dr Abdul Ghani Abu dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi manakala Profesor Madya Dr Ramli Saadon dari Fakulti Sains Kemanusiaan.

Dr Azhar berkata kajian bertajuk ‘Kajian Pendokumentasian Peristiwa Serangan Balai Polis Kuala Krau’ itu mengisahkan peristiwa serangan Balai Polis Kuala Krau yang berlaku pada tahun 1948 dan 1949 .

Beliau berkata kira-kira 18 tahun beliau bertemu dengan Sarjan 126892, Mohd Naim Jaafar yang banyak membantu mengumpul bahan-bahan bukti yang membawanya bertemu Penghulu Kuala Krau, Datuk Zainal Azman Bidin bagi mengukuhkan bahan bukti.

Dalam kajiannya , Dr Azhar mendapati bagi tempoh 1949 hingga tahun 1952 adalah tahun-tahun di mana banyak serangan berlaku ke atas balai polis sebagai usaha pihak komunis menguji kekuatan anggotanya bagi menjadikan misi mengalah kolonial British mencapai matlamatnya.

Kisah serangan Balai Polis Kuala Krau yang berlaku 73 tahun lalu antara 26 Jun 1948 dan 11 September 1949 adalah antara kisah duka perjuangan wira yang tidak boleh dipinggirkan dan menjadi kisah tragik pengorbanan wira negara.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Yusri Othman; Sarjan 126892 Naim Jaafar serta Osman, iaitu anak kepada Mata-mata 2648 Mohamad Yusof yang terlibat mempertahan Balai Polis Kuala Krau ketika diserang,” katanya.

Hasil kajian, katanya, diterbitkan buku berjudul Naratif Peristiwa Kuala Krau 1948-1949.

DI PUSARA….Tuan Haji Othman di sisi pusara Allahyarhamah ibunya Mahani Konel yang telah ditembak oleh komunis.

Osman, 87, yang kini menetap di Johor Bahru berada bersama ibunya, Mahani Konel ketika kejadian serangan.

Mahani sendiri menggunakan rafel bersama suaminya Mohamad Yusof mempertahankan Balai Polis Kuala Krau.

Ketika kejadian Mohamad Yusof berpesan agar isterinya menggulung anak-anak di dalam tilam agar percikan tembakan senjata api tidak terkena kepada anak-anak mereka.

Osman berkata ibunya ditembak dan mengenai dada ketika keluar daripada rumah untuk bertemu bapanya yang berada di balai polis.

“Dianggar jumlah komunis yang terlibat dalam serangan itu adalah lebih kurang 15 hingga 25 orang Melayu dan Cina, manakala hanya empat mata-mata mempertahankan serangan.

Dalam serangan itu, ibunya yang sedang sarat mengandung tujuh bulan ditembak pada bahagian dada dan Osman memeluk ibunya dalam keadaan dada ibunya dipenuhi darah.

Osman berkata jasa ayah dan ibunya perlu dikenang kerajaan sebagai wira dan sri kandi walaupun di peringkat Kuala Krau.

DI TEMERLOH…Dari kiri Tim.Ketua Polis Daerah Temerloh Tuan Supt Mohd Azhar Mohd Yusof, Dato’ Hj.Ahmad Wahid, Dr Azhar dan Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Tuan Mohd Yusri Othman.

Ahli Dewan Undangan Negeri, Kawasan Jenderak, Kuala Krau, Temerloh, Pahang, Dato’ Sri Haji Mohamed Haji Jaafar menganggap usaha menulis dan menjalankan kajian oleh beberapa orang ahli akademik berkaitan peristiwa serangan ke atas Balai Polis Kuala Krau sewaktu masa dahulu perlu disokong dan diberi pengiktirafan, kerana jika tidak dikaji dan ditulis, maka sejarah yang penting ini tidak lagi dapat diketahui dan dihayati oleh generasi akan datang.

Ketua Polis Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Yusri Othman menganggap dua peristiwa ini mencatat sejarah penting dalam sejarah polis Pahang, kerana ia melibatkan serangan pengganas komunis yang besar dan mengorbankan banyak jiwa. Daripada peristiwa ini juga masyarakat dapat melihat dan memahami tugas kepolisan yang perlu berdepan dengan kematian tatkala berlaku serangan pihak musuh.

scroll to top