Oleh FRANCO MORROW
“KAMULAH sebiji telur yang telah datang dari reban sumpahan. Berbungkuskan tempurung kulit yang berwarna-warni namun sayang sumpahan ini perlu kamu pecahkan sendiri dari dalam. Keluarlah dengan membawa makna kegembiraan.”
( Mei Lan )
Di ruang sudut paling belakang bilik kuliah, seorang gadis paling pendiam dan jarang bergaul dengan rakan-rakan sekuliahnya yang lain, sedang mengamati sesi penerangan mengenai pembentangan hasil kerja kursus daripada Pensyarah. Seorang gadis biasa pada kebiasaanya tanpa mengenakan sebarang alat solekan yang berlebihan, sederhana penampilan diri dengan mengenakan ikatan reben merah di atas kepalanya. Kesederhanaan personaliti dan sifat pendiamnya itu membuatkan semua orang tertarik untuk merungkai rahsia sebenar di sebalik dirinya.

GAMBAR HIASAN
Hanya saya, masih setia di sebelah sisinya. Kami masih perlu lagi mendaki tangga-tangga perkenalan. Kira-kira beberapa jam lagi, persiapan persembahan teater yang diberikan oleh Pensyarah sepanjang 21 hari sebelum ini telah mencapai titik penamatnya. Persembahan teater Kumpulan Jurusan Seni Halus akan diadakan di Mini Auditorium pada malam ini.
Akina masih menampakkan dirinya sekali di dalam suasana yang tidak menyenangkan. Hilang dan tenggelam dalam bongkahan dunia ciptaan dan sekali lagi ia berlaku sepertimana pada waktu latihan kira-kitra beberapa minggu yang lalu.
#21 hari menuju ke pementasan drama
21 hari itu diibaratkan sebagai proses penetasan telur menggunakan mesin inkubator. Dia seolah-olah sungguh terasing dari pandangan rakan sekuliah. Dia meletakkan dirinya di dalam tempurung telur dimana ada dunia yang memisahkan komunikasi verbalnya dengan orang lain. Dia melafazkan kalimat sumpahan diri sambil mempenjara asingkan pemikiran dirinya sendiri ke dalam siri masa lampau. Sungguh sedih dan ia melarat berpanjangan. Sebiji telur dengan pelbagai warna yang unik. Semua ingin mengkajinya dari segi tekstur tempurung, daya ketahanan, corak luaran kulit dan kesempurnaan isi dalamannya.
Tersentak dan cemas. Akina turut terpilih menjadi salah seorang ahli jawatankuasa persembahan teater di penghujung bulan ini. Dia berdiri lalu keluar dari bilik kuliah. Kepermergiannya meninggalkan tanda tanya buat semua orang. Semua tercengang kehairanan. Suasana bilik kuliah menjadi dingin seketika.
#20 hari menuju ke pementasan drama.
Namanya sebiji telur. Reban habitatnya masih selamat terpelihara. Reban yang bersulamkan kerahsiaan diri. Berdiameterkan puluhan jarak badan. Bertiang tongkatkan pagar kata. Pagar kata yang selari dengan kehendak hati. Pemikiran bertindak untuk lebih menyendiri. Terbinanya tembok komunikasi yang belum teruntuh. Akina sendiri tidak kekok pada permulaannya. Namun, konsep pementasan teater itu sendiri memerlukan kerjasama dan komitmen padu dari semua ahli kumpulan. Akina terdesak untuk mendapatkan mata kredit sepanjang tempoh kursus ini. Sebiji telur ini perlu digolekkan sedikit, diperiksa sebelum dimasukkan ke dalam mesin inkubator. Ini bagi memastikan kualiti telur ini nanti akan memberikan manfaat kepada semua orang.
#19 hari menuju ke tempoh pementasan drama.
Kajian mengenai sebiji telur ini telah dijalankan. Hampir kesemua lapisan luaran telur ini berjaya dikaji. Kedua-dua ibubapa Akina telah bercerai sewaktu Akina masih berada di kelas Tadika lagi. Emaknya merupakan ibu tunggal dan tidak pernah berkahwin sehinggalah ke waktu sekarang. Hanya membuat hipotesis awal bahawa ibunya merupakan seorang Pegawai Kastam dengan berdasarkan cara pemakaian pakaian yang dikenakan oleh ibunya semasa di sesi pendaftaran semester pertama pada awal tahun ini. Kewujudan Akina sebagai rakan sebilik serba sedikit membuatkan suasana tegang itu bertukar menjadi lebih baik pada akhirnya.
#18 hari menuju ke pementasan drama
“Puteri yang datang daripada sebiji telur yang unik” adalah cadangan judul drama asal. Judul yang dipersetujui sendiri oleh Akina. Idea asalnya akan menarik perhatian semua orang. Susun alur dan plot cerita yang dipilihnya amat senang difahami. Tiada bantahan isi cerita. Sebuah cerita lewat remaja yang mengisahkan diri Akina sendiri. Cerita yang saya cadangkan pada hari pertama kami berbicara seketika di bilik asrama. Tidak lama, ia berlanjutan ke dalam mesej pesanan ringkas whatsapp.

GAMBAR HIASAN
#17 hari menuju ke pementasan drama.
Namun dia sedar. Mengamalkan pendekatan sebegini, memungkinkan sebuah kejayaan di dalam komunikasi semua orang mahupun di dalam sebuah persembahan teater itu nanti. Olahan skrip cerita didongengkan. Sebiji telur itu merangkumi personaliti Akina yang telah diterjemahkan. Dia harus keluar dari tempurung telur sumpahannya. Dia harus memiliki senjata ampuh dari dalam kotak pemikirannya. Sekurang-kurangnya memiliki kemahiran psikologi dan komunikasi berkesan dalam menanggani konflik emosi diri. Ia amat baik bagi menggantikan ubat PTSD dan depresi yang meruntun sepi pada keseluruhan kisah remajanya.
#16 hari menuju ke pementasan drama
Dalam kumpulan, dia amat terhibur dengan gelagat semua orang. Walaupun pada awalnya, ramai yang menafikan kemampuannya untuk berkerjasama. Lihatlah keadaannya sekarang. Dia perlahan-lahan mengecap nikmat kebahagiaan hasil daripada usahanya sendiri. Dia sebenarnya mampu meruntuhkan pegangan pemikirannya namun rentak hatinya masih tersekat. Seperti jarum peniti yang sentiasa bergerak-gerak di dalam salur pernafasanya. Kesakitan kisah masa lampaunya itu amat meninggalkan kesan. Depresinya berpanjangan sehingga ke masa kini.
#15 hari menuju ke pementasan drama.
Melalui perbualan kami, Akina lahir sebagai seorang kanak yang menceriakan. Akina yang suka berceloteh dan menarik perhatian semua orang. Sampai suatu ketika, dia terpenjara kata. Malah ayahnya sendiri memahat tinggalkan kalimat sumpahan yang menyakitkan. Kata-kata kesaksian benar. Akina telah menjadi dasar sumpahan ke atas penceraian kedua-dua ibubapanya. Modal idea yang digunakan oleh ayahnya menampakkan hasil yang lumayan. Alasan ayahnya dengan keceluparan mulut Akina sendiri menyebabkan perkelahian di antara kedua-dua ibubapanya terhasil. Rahsia kecurangan ayahnya terbongkar. Ayahnya berlalu pergi dengan membina mahligai baharu bersama permaisuri skandalnya. Lebur harapan dunia riang kanak-kanak Akina di dalam serba-serbi yang tidak tahu menahu.
#14 hari menuju ke pementasan drama
Dia membawa tempurung kesedihan itu berpanjangan. Sungguh menyakitkan. Sisi dingin dan sepinya berlanjutan ke alam remaja. Dia sendiri adalah sumpahan penceraian. Sumpahan sebiji telur yang bergolek sambil memecahkan sepapan telur yang lain. Sesekali kedengaran tangisannya seakan tersekat-sekat ritma bunyi ketika waktu tidurnya. Mimpi meruntun hati. Memori kegembiraannya semasa latihan drama pada hari ini semakin tenggelam dalam kolam airmata kesedihannya.
#13 hari menuju ke pementasan drama.
Setelah lama terkurung di dalam tempurung, sebiji telur ini mulai menampakkan kematangan isi dalamannya. Gadis yang datang dari tempurung telur sumpahan itu kini bangkit perlahan-lahan seperti fajar pagi. Dia mulai menghirup udara segar dengan memperindahkan suasana sesi latihan pementasan drama kumpulan yang diadakan. Besarlah harapannya agar pementasan kali ini tidak mengecewakan semua orang. Dia meletakkan komitmen yang begitu tinggi terhadap tugasan yang diberikan. Pensyarah kursus yang telah menyedari personaliti diri Akina pada awalnya. Dasar arahan autokrasi di dalam pemilihan ahli jawatankuasa kumpulan perlu dilaksanakan.
#12 hari menuju ke pementasan drama.
Beberapa brosur dan poster telah ditampalkan di papan-papan utama. Surat-surat rasmi sudah diedarkan. Latihan masih diteruskan berdasarkan skrip asal. Skrip penamatnya masih tergantung. Menunggu sentuhan idea akhir daripada Akina. Susunan lagu telah diubah. Tinggal beberapa lagu di pertengahan dan penutup persembahan masih lagi dimurnikan. Kostum dan latar hias pentas telah dimurnikan.
#11 hari menuju ke pementasan drama.
Akina tidak kelihatan pada latihan kali ini. Dia tidak memberitahu semua orang. Tidak meninggalkan sebarang nota malah mesej pesanan ringkas seperti mana pada kebiasaannya. Dia tidak kelihatan di Kafeteria. Malah di asrama dan perpustakaan. Dia tidak kelihatan dimana-mana. Ketidakhadirannya, membuatkan kesemua ahli kumpulan berasa tidak senang. Masing-masing menimbulkan syak wasangka yang tidak baik. Masing-masing ingin berputus asa dengan persembahan ini. Ini adalah kerana Akina sendiri menjadi watak utama wanita di dalam cerita ini. Babak-babak tertentu terpaksa digantikan. Emosi para pelakon pentas semakin diselubungi angin dingin. Sesekali berkeadaan tegang. Pelakon watak lelaki utama semakin meroyan.
#10 hari menuju ke pementasan drama.
Apabila masyarakat mula sibuk memperkatakan wanita isu ibu tunggal dan status janda di papan iklan cacian, jiwa Akina sendiri terluka dan hanya menerima kewujudan klausa makna status ibunya. Dia tidak akan meranapkan impian dan cita-cita hanya kerana berpunca daripada hinaan dan cacian masyarakat di sekelilingnya. Dia sudah mampu menerima segala liku-liku diskriminasi dan persepsi yang pernah dialaminya dahulu. Akina sebenarnya dibesarkan di dalam kesibukan ibunya. Dia sememangnya tabah dan terlalu awal mengecapi makna erti berdikari berbanding gadis-gadis yang sebaya dengannya.
#9 hari menuju ke pementasan drama.
Bilik kuliah yang tadinya riuh kembali menjadi diam seketika. Akina telah muncul dan menghampiri semua orang. Dia hanya meminta maaf. Kehilangannya semalam masih menjadi tanda tanya. Dia membalas kebimbangan semua orang dengan sekuntum senyuman. Para pelajar semakin kehairanan dengan tingkahnya. Dia kembali ke latihan drama. Seolah-olah bahawa kehilangannya semalam tidak membawa sebarang kesan terhadap kemunculannya di sepanjang latihan. Sebenarnya, kemarin dia keluar bersama ibunya. Ada temujanji bersama Doktor Pakar Psikiatri dan mengambil kesempatan tersebut untuk tidur di rumah sempena hari jadi ibunya. Manusia dan orang sekeliling itu sendiri merupakan faktor penyembuh tambahan di dalam menjayakan sesi rawatan emosi Akina.
#8 hari menuju ke pementasan drama.
Akina mulai memecahkan sedikit demi sedikit kulit tempurung dari dalam pemikirannya. Mulai mendekati semua orang. Memberi fokus dan memaknai erti kebersamaan di dalam ahli kumpulannya. Dia sesekali turut serta semasa menyanyikan lagu utama drama namun suaranya sengaja ditenggelam timbulkan. Tersekat dengan tonaliti nada suara yang masih disembunyikan. Bukan sumbang tetapi hampir tidak kedengaran langsung.

GAMBAR HIASAN
#7 hari menuju ke pementasan drama.
Akina sangat bersemangat bersama kumpulan koir kali ini. Hasil ciptaan lirik lagunya telah dipadankan dengan gubahan melodi yang sungguh indah. Melodi instrumen alat-alat muzik tradisional yang diolah tambahkan dengan elemen muzik moden telah menjadikan variasi lagu baharu itu sangat baik. Sesuai dengan suasana pementasan pentas. Dia kelihatan muncul di beberapa sudut persiapan pentas. Sesekali kelibatnya muncul di persiapan akhir penyediaan kostum. Sesekali di bahagian latar hiasan pentas. Sesekali bersama pasukan koir. Skrip watak utamanya semakin dimainkan.
#6 hari menuju ke pementasan drama
Persiapan-persiapan pementasan sedang dijalankan. Namun persiapan diri Akina di dalam memulihkan hubungan komunikasi dengan ibunya turut dilaksanakan. Dari kecil Akina tidak dibenarkan berjumpa dengan orang tidak dikenali. Malah membuka pintu rumah sekalipun tidak dibenarkan semasa ketiadaan ibunya. Sentiasa waspada dengan orang yang tidak dikenali. Ayahnya sendiri tidak pernah bertanyakan khabar malah berusaha menjenguk Akina. Akina dibesarkan dalam keadaan berseorangan. Dunia ibunya penuh kesibukan. Selesai dengan tugas utama, ibunya mengambil upah menjual beberapa produk untuk mendapatkan wang lebihan. Rumah yang ditinggalkan perlu dibayar. Kos sara hidup di bandaraya juga perlu di ambil kira.
#5 hari menuju ke pementasan drama.
“Pembohongan itu adalah satu kesilapan bela diri. Jika berkali-kali dilakukan maka ia bukan lagi kesilapan tetapi ia adalah satu wajah sebenar yang menyangkal erti nilai kebenaran.” Kebenaran kata-kata ibunya inilah yang dipaku keras ke dalam ingatan Akina.
#4 hari menuju ke pementasan drama.
Dia seorang pendiam yang beretika. Tidak semua jenis manusia pendiam adalah jenis yang introvert sepenuhnya. Dia memilih jalan untuk kepentingan emosi peribadi dirinya. Namun menolak untuk bersikap jahat. Anika tidak menyalahkan masyarakat sebenarnya. Sangat jarang menemui mana-mana orang pendiam ini adalah tidak baik. Peratusan tingkah personalitinya hanya kecil sahaja yang masih mementingkan diri. Lihatlah perlaksanan latihan yang telah dijalankan telah menjayakan beberapa sesi latihan.
#3 hari menuju ke pementasan drama.
Dia sudah memecahkan selaput putih perisai mindanya dari dalam. Komunikasi dirinya mulai stabil. Emosinya baik walaupun masih dalam proses rawatan. Sokongan rakan-rakan seperjuangan sangat perlu. Masyarakat jangan sesekali cuba menjatuhkannya. Lebih baik membantunya untuk terus hidup dan bernafas dengan selesa. Tempoh rawatannya semakin dikurangkan oleh doktor pakar. Sesuai dengan perkembangannya dari masa ke semasa. Alam persekolahannya amat berbeza sekali dengan kehidupan di universiti. Kehidupan remajanya penuh dengan haru biru mangsa buli.
#2 hari menuju ke pementasan drama
Selama ini bukan berniatnya untuk menjauhkan diri. Dia begitu kecewa dengan beberapa manusia yang langsung tidak mempunyai mata hati. Tidak menghormati privasi. Menyebarkan berita palsu mengenai keluarganya. Memperbesarkan status wanita janda. Mempersendakankan kewujudan anak yang membawa nasib malang. Jika boleh, para pengutuk ini ingin terus menjadi pemberita yang tidak berbayar. Terkenal dalam etika yang tidak bermoral. Akina sebenarnya lama menderita. Dia selalu hilang kepercayaan diri. Dia bertunjangkan akal murungnya yang berpanjangan. Dia dan ibunya pernah beberapa kali berpindah rumah. Dia pernah sesekali mengimpikan untuk tidak hadir ke dunia ini. Bagi yang tidak mengenalinya. Bukan senang untuk membuka rahsia peribadinya. Hanya nilai kepercayaan yang sangat tinggi mampu memenangi hatinya. Dia masih seperti biasa dengan luaran yang menarik tetapi dalaman isi hatinya masih bergelora mencari identiti diri.
Akirnya Akina sendiri mengakui dirinya di persembahan akhir drama iaitu di hadapan semua orang, “Jika sebiji telur itu pecah kerana faktor dari luar, maka kehidupannya berakhir. Tetapi jika sebiji telur itu telah pecah dari dalam, maka kehidupannya baru bermula atau mempunyai harapan baharu.”
Suara Akina pada malam ini mampu menggembirakan semua orang. Bahkan dirinya sendiri. Suara emosinya itu perlu dipecahkankan dengan cara baik, seiring hati yang baik dan sewaras akal yang baik. Akina pada awalnya kehilangan suara mengalami depresi masa lampau. Barahnya itu berpanjangan. Pada malam ini, sumpahan yang memeranjakan dirinya berjaya membantunya keluar dari tempurung telur yang diciptakan oleh dirinya sendiri. Saya sebagai rakan sebiliknya menadahkan tangan tanda kesyukuran. Pementasan drama semester ini begitu cemerlang memukau semua orang. Akina menangis tanda kegembiraan. Kami berpelukan tanda persahabatan yang akan membawakan hadiah kebaikan kepada semua orang.
***
FRANCO MORROW ANAK BALAI lahir di Sibu, Sarawak pada tahun 1978 dan kini menetap di Kota Kinabalu Sabah. Beliau bertugas sebagai seorang guru Matematik di SK pekan Telipok. Beliau pernah mendapat bimbingan melalui bengkel penulisan anjuran DBP cawangan Sabah. Karya beliau pernah tersiar di beberapa surat khabar tempatan Sabah dan Majalah DBP Sabah. Pernah mengikut beberapa bengkel penulisan, perkampungan sastera dan aktiviti penggiat seni dan kemasyarakatanyang lain. Antaranya iaitu Program Garisan Landasan Sabah, Program Kasih Sri Pritchard anjuran Persatuan Seni Visual Sabah(PSVS) dan Program Jalinan Kasih DBP-Penjara Kepayan. Menjadi ahli Jom Sastera Sabah,MOMOGUNSIA dan PSVS. Menjadi fasilitator bagi program kembara sastera anjuran Jom Sastera Sabah. Terlibat dengan beberapa antologi tempatan di Malaysia. Meminati genre puisi dan cerpen.