Puisi RaR RB

RAJA Abdul Rahman bin Raja Basok dilahirkan di Muar Johor. Beliau menggunakan nama pena Rar RB, Hj. Raj, Hj. RAR. Mula menulis sejak tahun 1984 hingga 2004 dalam genre puisi. Kembali semula ke gelanggang penulisan pada tahun 2016 dalam genre puisi, cerpen dan novel. Antara karya yang diterbitkan ialah Kumpulan Cerpen Yalah Mak (2021),Kumpulan Puisi Wayang Kehidupan (2021),Novel Maya (2021),Kumpulan Puisi Bicara Hati Luka (2019),Kumpulan Puisi Bukan Tasbih Terakhir (2019), Novel Aku Bukan Raja (2019). Beliau menerima  Anugerah Sastera Johor 2019 kategori cerpen eceren.

 

CERITA EMBUN

Tika pagi asyik kulihat

embun di laman rumahku

di atas daun meliuk bawah

di tangkai pohon hijau

di sebalik bunga menguntum

jernih dan bersih

titis ke tanah enggan berkumpul

jatuh bersama cintaku

setiap kata kubisik padamu

ada hiba belenggu diriku.

 

Aku ingin seperti embun

muncul setiap pagi

berjanji pada sang mentari

membuka tirai cinta tulus

demi embun menyentuh luka

segudang duka terkesan di hati

izinkan aku menjadi kuat

untukku insaf

embun anugerah Ilahi.

Rar RB

KKTSN, Tanjung Agas

 

 

HIKAYAT PANTAI

Pantai ini menyaksikan

hikayat cinta tidak kesampaian

hilang di debur ombak bergemuruh

rasa diserap pasir putih

rindu berguling terhempas di batu

sambil bayu menerpa mengejekku

kita anyamkan kenangan di hati

ketika mentari semakin lelah

menutup tirai di ufuk barat

kita berpegangan tangan erat

seakan tidak mahu terpisah

bagai ombak mendakap pasir

kuhadap pada wajah senja

saat itu kusedari rupanya kau

datang ketika masa ditentukan

pulanglah ke tempat asalmu

biar aku menunggu dalam lesu

di tepi pantai penuh hikayat.

Rar RB

Marina Bay, Muar Bandar Diraja

 

 

RIMBA MERIMBUN

Rimba merimbun anugerah Ilahi

redup naungan pohon meninggi

asyik mendengar nyanyian unggas

sahutan siulan menyentak hati

sana sini bunga merekah

meronta berkembang hiasi alam

aneka warna harum semerbak

batu berlumut hijau pesona

duduk di sini terpaku melihat

rasa dingin tempias air

celahan batu air menderu

nyamannya menghirup udara

merdu alunan tiupan bayu

bergoyang pepohon sedar terkejut

margasatwa keluar mencari rezeki

hendap senyap memburu mangsa

di alur sungai di sebalik pohon.

 

Hilang keresahan mencengkam diri

rimba menjemput bersih kusutan

luas menghampar hijau berseri

kabut berasap menghalang mentari

tetap tersenyum berarak lalu

pesona indahnya alam rimba

tenang merimbun bertapak di hati

kupeluk damai dalam diriku.

Rar RB

Gunung Ledang, Tangkak

 

 

 

HIJAU DAUN WARNAI ALAM

Tirai pagi membuka hari

kicauan burung memberi tanda

kubuka jendela angin menerpa

hijau sekeliling saujana dipandang

dalam sedar aku akui

pentingnya kau ada di bumi

daun menghijau miliki nyawa

tidak sehebat bernama manusia

tapi pemegang amanah oksigen

untuk hidup seisi alam.

 

Hijaumu lambang kesuburan

daunmu petanda kehidupan

biarlah kau menguasai bumi

berpucuklah selebat mungkin

kerana hijaumu disanjung tinggi

mengharmoni lestari alam

untuk bernafas teruskan hidup

hijau itu aman dipandang mata

keindahan tiada tanding taranya

jaga menjagai anugerah dari-Nya.

Rar RB

Parit Karang, Tanjung Gading

scroll to top