Puisi360 Pilihan Minggu Ini

NOOR IZAM BIN SAMIN dilahirkan pada 10 Mei 1966 di Muar Johor. Genre penulisan ialah puisi. Hasil karya pernah tersiar di Mingguan Malaysia, Sinar, Harian Ekspress, New Sabah Times, Utusan Borneo, Suara Sarawak, Buku Antologi Bersama dan Buku Cenderahati UiTM / Buletin. Kini bekerja sebagai Pembantu Pustakawan  di Perpustakaan, UiTM, Cawangan Melaka, Kampus Jasin. Moto penulisan ialah ” Menulis sebagai ibadah”

GULAI BAUNG
Gulai Baung air tangan bonda
menari-nari di gerbang mata
menyelinap asap di layar minda
harum bersebar segar nyata

Gulai Baung hidangan digemari
berulang nikmati bertambah nasi
sejak kecil sehinggalah kini
walau kemana kumencari-cari

Gulai Baung memujuk hati meraung
penawar gundah mengukir ceria menggulung
mengubat rinduku bonda menggunung
semarak ingatan tiada tertanggung

Gulai Baung masakan isteri
setanding air tangan bonda dikasihi
penuhi hajat sungguh disyukuri
hidup bahagia berkasih abadi

  • NOOR IZAM BIN SAMIN
    Perpustakaan, UiTM, Kampus Jasin

 

 

RAHSIA BUKU TEBAL
Pengetahuan masih dangkal
selami ke dasar buku tebal
pungut nilam teman berjuang
mengukir hayat masa terancang

Selami dasar buku tebal
bina menara cita kebal
biar ditampar badai kental
tiada peduli berulang gagal

Menggilap karang cekal
membersih kerang kental
membilas kupang tekad
mengilat tiram hasrat

Setelah menyusuri kembaraan
ke dasar kandungan buku tebal
sucikan jiwa biar berharga mahal
tiada berkira membijaksana akal

  • NOOR IZAM BIN SAMIN
    Perpustakaan, UiTM, Kampus Jasin

 

BERDAMAI
Berlari di pantai kehidupan permai
hiasi rumah peribadi tiada berkecai
bayu setia lembut membelai
daun nyiur mesra melambai
sepakat sambil berehat santai

Andai ombak jelma membadai
mengikis pinggir emosi berdamai
usah dibiar benci berbuai
sisih setiakawan berkecai

Benih muhibah disemai
dicipta-Nya akal pandai
hasrat cekal tercapai
air mata lara tiada berderai
damai berbuah sama dituai

  • NOOR IZAM BIN SAMIN
    Perpustakaan, UiTM, Kampus Jasin

 

SITI NURUL ASYIKIN BINTI BASTIN kini menetap di Kampung Manalan Klias Kecil Beaufort. Lahir 10 Mei 1998, di Klias Kecil Beaufort.

TIADA LAGI SYAIR PUJANGGA

Tiada lagi syair pujangga
cinta puitis lagu alam
telah tumpah lahar kehancuran
rembatan peluru buta menggilai dari segenap arah
ledakan bom bak halilintar membelah bumi!
meranap kedamaian yang tersisa
membenam tawa si kecil dalam persembunyian diri
menghancur lumat warga-warga tanpa belas.

Acapkali
anjing penjajah menyelongkar kejam
merah banjir telah tumpah ke jantung bumi
mimpi ngeri kematian demi kematian tidak terbela.

Sedang
dunia hanya mampu melontar kritikan menghentikan peperangan
sedikitpun tidak mengoncangkan naluri kemanusiaan rejam zionis
bahkan
dengan megah mendabik kuasa kospolitasi!
dia segalanya.

  • Siti Nurul Asyikin binti Bastin,
    Klias Kecil, Sabah,
    2021.

DI DALAM SEPI ITU

Di dalam sepi itu
ada kalanya memberikan kita
ruang ketenangan sekerat
diam merenung permasalahan hidup
menyusun akal penyelesaian
pada ujian dan takdir yang membelenggu.

Di dalam sepi itu
menyedarkan kita
akan neraka sebuah kehidupan
menyelam ke dasar
tunjang perhitungan peribadi
mengajak anda berfikir
mengapa kita dihidupkan.

Kerana sepi mencengkam naluri keinsafan
kerana sepi membentangkan ruang kekosongan
kaku dan bisu
namun yang pasti
di dalam sepi itu
pastinya banyak mengundang
persoalan-persoalan tentang kehidupan.

  • Siti Nurul Asyikin Binti Bastin
    Klias Kecil, Sabah.
    2021.

 

SAHABAT YANG KURINDU
(Kudedikasikan sajak ini buat sahabatku IKA)
Indahnya bila kukenang
tawa dan nangis hari pertama ke sekolah
lalu bersapa dengan mu kita bertukar senyum
dalam salam kenal tersipu malu

Masa berlalu… setia sahabat tersimpul kemas
suka dan duka kita harungi bersama
kemana jua pasti berdua
bezanya budaya… bezanya agama… bezanya bangsa
bukan penghalang persahabatan semakin utuh

Tersenyum bila kukenang
mengepal iri di hati takala kau tertawa ria bersama teman kita yang lain
kuingin hanya ku seorang sahabat mu
lalu dalam sedar laut fikirku memujuk sahabat untuk semua.

Kini.. segalanya tinggal kenangan
rupanya dalam tawa ada kesakitan yang kau sembunyikan
kau pergi akhirnya.. tanpa sempatku melihatmu dipenghujung perpisahan..
mutiara kasih gugur di hati mengiringi kepermergian mu jauh dariku
hanya kenangan menjadi ingatan
namamu sentiasa dalam doaku
kekal selamanya.. buat sahabat yang kurindui…

  • Siti Nurul Asyikin binti Bastin
    Klias Kecil, Sabah, 2021.

 

 

scroll to top