Pulang

” Keanehan yang berlaku tidak merantai kaki Pak Haji untuk terus melangkah. Dirinya terheret ke sebuah istana emas di tepi sungai yang sudah membeku separuh. Beningnya air yang mengalir seketika melekakan.” 

Oleh: ZULAIHAH KARIM

“INI … anakku Amin..?”

Senja itu seseorang datang menghulurkan sekeping foto. Sukar menerima kenyataan, Pak Haji mengulang-ulang tanya “Ini… anakku Amin..?” seperti orang bingung, sebelum dia jatuh terhenyak. Tubuh kekar yang terbiasa mengangkat bertandan-tandan pisang itu sekonyong-konyong jadi layuh. Sekeping foto Amin itu sekaligus merenggut tenang dari hati tuanya.

– GAMBAR HIASAN

Malam sudah lama melabuhkan tirai, namun lenanya tidak pernah kejap. Hampir dini hari, mata Pak Haji masih segar-bugar. Titik hujan mula menembak atap zink rumah bertalu-talu. Mendengar dentuman guntur memekik, Pak Haji lekas bangkit.

– GAMBAR HIASAN

Pukulan angin mengganas, menendang kuat jendela tidak dihiraukan. Bungkusan berisi pakaian dan pisang yang menguning separuh tandan sudah diikat kemas. Usai solat subuh, Pak Haji segera memulakan perjalanan.

“Selamat datang ke syurgaloka, sahara turunnya bidadari.”

Seorang lelaki muda menyapa Pak Haji. Antakesuma pemuda itu terbuai-buai dihembus monsun musim panas. Manik-manik peluh memercik di dahi.

“Tuan mahu yang mana?”

Pak Haji mengerling sekilas ke arah yang ditunjukkan, ke arah mereka yang berdiri di tepi-tepi jalan. Berpakaian, tetapi hampir kesemua bahagian tubuh terpampang.

“Bukan, aku sebenarnya mencari pawang penyembuh penyakit.”

Lelaki muda itu kemudian menunjuk pula ke arah kaki bukit. Pak Haji pun melalui lorong-lorong sempit, pintu dan tingkap rumah-rumah terkatup rapat, tetapi suara-suara orang ketawa halus mencucuk gegendang telinganya.

“Saya dengar pawang boleh menyembuhkan penyakit.”

“Oh, aku hanyalah saudagar cinta. Tapi kalau mahu aku boleh mengawet nafsumu.”

Pak Haji menggeleng kecewa lalu segera berangkat dari situ.

– GAMBAR HIASAN

“Negeri apakah ini?” Dalam kesuraman, Pak Haji menyapa seorang wanita yang berpapasan dengannya. Daun-daun pokok mapel yang luruh setelah musim panas kelihatan seperti permaidani terhampar.

“Inilah mintakat makmur, rakyatnya panjang umur,” bibirnya terkulum-kulum menelan air liur. “Engkau pun singgah di sini untuk hidup berabad sepertiku?” Wanita itu ketawa berdekit. Giginya sebatang pun tiada.

“Bukan, saya mencari pawang untuk menyembuhkan penyakit.”

Pak Haji melangkah ke arah warung yang diunjukkan wanita itu. Dari pantulan dinding kaca, tahulah Pak Haji pakaiannya bertukar lagi. Bayu dingin menghembus batang tubuhnya.

Di dalam warung, dia melihat seorang lelaki uzur sedang bersantai dan ketawa sendiri. Sambil tongkat di tangan kanan mengimbangkan tubuh bongkok, sambil tangan kiri menyua cawan ke mulut, setiap kali itulah kopi tumpah setengah ke lantai.

“Benarkah pawang boleh menyembuhkan penyakit?”

“Oh, aku hanyalah lelaki lanjut usia. Tapi kalau mahu aku boleh memanjangkan hayat kau, selama yang kau mahu,” ujarnya terketar-ketar.

Pak Haji segera meninggalkan warung itu. Dia gerun berlama-lamaan di negeri yang penduduknya hidup, tidak mati-mati.

Solstis musim sejuk menyambutnya dengan emping salju yang jatuh dari langit. Dalam kebingungan, Pak Haji mendakap kejap tubuh melawan kedinginan yang luar biasa ini. Tidak pula sedar tubuhnya sudah berbalut baju tebal berbulu.

Sayup-sayup, kelihatan beberapa buah mahligai dihujung pemandangan.

“Pemilik mahligai emas itu asalnya pengemis. Dia menjual hatinya kepada pawang lalu membeli mahligai itu.”

Kemudian kanak-kanak tunapakaian itupun ghaib seperti disambar angin.

Keanehan yang berlaku tidak merantai kaki Pak Haji untuk terus melangkah. Dirinya terheret ke sebuah istana emas di tepi sungai yang sudah membeku separuh. Beningnya air yang mengalir seketika melekakan.

– GAMBAR HIASAN

“Bolehkah pawang sembuhkan penyakit?”

“Maaf, aku hanyalah pengemis. Tapi kalau kau mahu emas, aku boleh bantu.”

Dia tidak datang sejauh ini untuk itu. Jawapan pawang itu mengecewakannya. Bungkusan yang dikendong terlepas dari bahu. Dalam kebuntuan itu, Pak Haji teringat dia belum sembahyang, mungkinkah sebab itu Tuhan belum menunjukkan jalan (segera dia mendongak ke langit kelam. Sudah isyakkah? Atau sudahpun kembali subuh?). Pak Haji sudah bingung menebak waktu.

Foto Amin ditatap, lalu langkah menapak membawa segenggam harapan tersisa. Sampailah Pak Haji akhirnya di penghujung daratan. Sejauh mata memandang, dia tidak lagi nampak tanah tempat berpijak. Pawang-pawang tadi ternyata berdusta. Jurai-jurai air mata menitik seperti tasbih yang tiada penghujung. Pak Haji benar-benar sedih, sebagai ayah, dia gagal menyelamatkan Amin.

Dalam pandangan matanya yang berbalam-balam itu, Pak Haji terlihat seorang wanita berselubung putih berdiri tidak jauh darinya. Wajahnya terlindung. Pakaiannya meliuk-liuk menari ditiup hembusan angin. Langit jingga mengisi latar.

“Mari, kita ke negeriku.”

Tidak semena-mena Pak Haji sudah berada di atas perahu. Kini alam berkanvaskan bulan penuh pula. Pantulan bulatnya kelihatan di dada air. Perahu beroleng-oleng lembut setiap kali daun dayung mengocak air.

“Itu negeri musim semi. Negeri berhimpunnya segala jenis bunga. Ada racun pembunuh, ada juga madu penyembuh.”

“Jadi, pawang boleh sembuhkan penyakit?” Suasana bungkam seketika. Hanya irama kocakan air menjawab pertanyaan Pak Haji.

Gapura yang berkilau dibias cahaya rembulan mula kelihatan. Pak Haji melangkah keluar dari perahu yang ditambat di tunggul bakau, mengikut jejak wanita tadi. Hidungnya mula menangkap aroma bunga-bungaan. Barangkali dari ujana berdekatan. Ada bau jasmin, bau melur, bau kemuning namun bau kenangalah yang paling tajam.

“Pawang boleh menyembuhkan penyakit?” Pak Haji mengulang tanya.

“Aku bukan pawang, jauh sekali mengambil tugas Tuhan menyembuhkan penyakit. Namun aku gembira sekali andai dapat membantu menyelesaikan gundahmu.”

Pak Haji lekas menghulur sekeping foto.

“Apakah penyakit yang dihidapi perawan jelita ini?”

“Itu sebenarnya anak lelakiku, Amin.”

“Penyakit ini belum pernah kudengar.”

“Aku bermimpi tubuhnya terbakar. Sarung wanita yang dipakainya mencair. Isi dagingnya tertanggal. Ketika aku cuba mengutip dan menampal daging itu kembali ke tubuhnya, tanganku pula disambar api hitam. Kemudian dengan sendirinya sarung itu tumbuh menyalut, kemudian mencair, kemudian menyalut lagi. Lolongan Amin menyesakkan dadaku.”

Wanita berkelubung itu bangun kemudian menghilang di balik kabus nipis.

“Setiap penyakit ada penawarnya. Kecuali mati.” Wanita itu kembali dengan sebuah kitab usang di tangan.

“Dia harus dibawa bertemuku, tetapi ..,” wanita itu membuka kerudung lalu kenampakanlah wajahnya. Pak Haji terkesima, namun bibirnya seperti dikunci.

“Seperti mana perjalanan menuju ke sini tadi, dia harus melepasi semua ujian itu dengan sabar.” Mata wanita itu berkaca-kaca, mengandung emosi yang pelbagai. “Ujian nafsu, umur dan kemewahan yang nikmatnya cuma sementara.”

Wanita itu menghampiri Pak Haji. Wajah berkedut Pak Haji dielus lembut.

“Setelah itu, abang bawalah Amin ziarahi pusara saya. Barangkali apabila terkenangkan bondanya yang kasihan ini, dia memaafkan silap didikan kita. Dia sudah terjatuh ke dalam lubang yang dalam, kelam. Tanggungjawab kita berikan penawar ini untuk menarik dia kembali kepada fitrah.”

Pak Haji kemudian bangkit lalu memusatkan tekad.

“Mah, selagi aku hidup, aku akan bawa Amin pulang.”

 

****Zulaihah Karim atau nama penuhnya Siti Zulaihah binti Abd Karim dilahirkan pada 5 Oktober 1991 di Kedah. Pernah mendapat bimbingan melalui bengkel/kelas penulisan bersama Puan Ummu Hani Abu Hassan, Seoul, 2014,Zabidi Mohamed, Kuala Lumpur, 2015, Ahmad Zaki Abu Bakar, Alor Star, 2016,Zamri Mohamad, Bandar Baru Bangi, 2017,Nisah Haron, Bandar Baru Bangi, 2018, Siti Zainon Ismail, Bandar Baru Bangi, 2018, S.M.Zakir, Kota Bharu, 2020,Salina Ibrahim, Kota Bharu, 2020, Sharif Shaary, Alor Star, 2020,Joe Kas, Alor Star, 2020,Uthaya Shankar, Google Meet, 2020, Abdullah Hussaini, Google Meet, 2020, Zaki Haji Abdul Rahim, Zoom, 2021 dan Nusa Center-DBP, Bengkel Mencari Sasterawan 2021
Karya-karya yang tersiar/menang anugerah ialah Perempuan Merah, Tunas Cipta Jun 2018;Yang Berhormat Imam Muda, Tunas Cipta Jan 2019;Aku Wakafkan Ikhlas, Tunas Cipta Aug 2020;Urusan Seri Paduka Baginda, Tunas Cipta Nov 2020;Warkah Dari Bentayan, Naib Johan Sayembara LHDNM-DBP 2020 dan Sebabak Kita, Berita Harian 25 Apr 2021

 

scroll to top