Sininggazanak usang

Oleh JEMMY MARKUS

KERIUTAN engsel membongkar sepi yang telah lama terbungkam setelah pintu yang bersetentang denganku, ditolak perlahan-lahan. Ngilu sungguh kurasakan seolah-olah batang tubuhku sedang dikikir-kikir. Siapakah gerangan penolak pintu itu?

Sunyi seketika. Mungkin penolak dari luar itu teragak-agak menjengah ke dalam ruang yang sentiasa gelap ini? Aku hanya perlu menanti sehingga pintu itu ditolak seluas-luasnya; sudah pasti, angin akan berpusu-pusu menerjah masuk.

Sudah lama kunantikan sang angin, sedikit sebanyak habuk-habuk yang tertampal di batang tubuhku ini akan meninggalkan aku. Mungkin hari ini juga panahan cahaya matahari bakal mencecah ke permukaan batang tubuhku. Tidak pada aku saja, dinding-dinding dalaman yang sudah mereput ini juga bakal disentuhnya.

Di sini, berdiam dalam ruang ini, aku sudah jenuh mendengar keluhan teman-teman senasibku. Ada di kalangan mereka mengadu terkena hujan kerana atap sudah banyak berlubang-lubang. Tempat yang sebegini usang, sudah tentu batang tubuhku ini dijarah usia. Tidak dapat kujelaskan rasa pedih yang menyerang apabila si perosak datang menggigit setiap inci batang tubuhku.

Shhhhh…” Satu desisan terseruak dari balik pintu yang kukira hanya dua jengkal ngangaannya, seperti suara lelaki. “Saya takutlah, terlalu gelap dalam tu.” Berdesas-desus mereka berbisik. Seperti di luar sana, suara lelaki dan perempuan melatari suasana sepi. Ternyata mereka berasa takut untuk melangkah masuk.

Tidak payahlah masuk. Ada momok mungkin di dalam, kita panggil bapa dulu,” balas suara perempuan.

Mungkin mereka itu adalah cucu-cicit penjagaku. Yang aku tahu, penjagaku itu bernama Situot. Dia mempunyai lima orang anak; tiga lelaki dan dua perempuan. Seringkali aku melihat mereka anak-beranak mengerjakan sawah dahulu. Adakalanya, seorang wanita tua datang membuat upacara amal ke bendangan padi.

Wanita itulah yang melakukan upacara pemacakan aku di tebing aliran sawah dahulu. Akan tetapi, apabila aliran itu dibesarkan menjadi parit, aku dipindahkan ke ruang ini. Kata penjagaku, mereka bimbang andai aku akan dihanyutkan air apabila banjir besar berlaku.

Pintu ditolak lagi. Kehadiran angin menyapa lembut batang tubuhku. Kini, sipi-sipi kulihat dua orang budak berdiri di ambang pintu. Wajah mereka tidak mampu kurejam kerana mereka sedang membelakangiku menghadap sinaran matahari dari luar.

Buk!” Bingkai gambar di belakang pintu itu serta-merta jatuh. Mungkin pakunya telah reput atau tali penggantungnya sudah rapuh. Si bingkai juga selalu mengadu resah andai dia jatuh ke lantai.

Hantu!!!” pekik dua budak tersebut. Mereka serta-merta cabut lari.

Pintu berdentum kuat. Aku tersentap. Ruang ini kembali gelap. Teman-temanku berdesis marah dek kejutan itu.

Sini rupanya kau!”

Aku tersentak mendengar teguran itu. Kemudian, aku mencari-cari sumber suara itu.

Angin! Baru aku merasa tiupanmu.”

Biasalah fitrah alam, aku mengembara seantero dunia tahu. Tapi sekarang terperangkap pula di sini.”

Angin menyentuh kulit mukaku, debu-debu tebal melayang-layang. “Lama kita tidak berjumpa kan. Kasihan pula kau diperap bertahun-tahun lama di sini.”

Ya, Angin. Aku ingin melihat dunia seperti dulu; rumput, padi, belalang, burung…. Bilalah mereka akan kembalikan aku ke tempat asal.”

Aku mengeluh kecil. Keluhanku bukan sahaja kepada Angin, malah kami yang sudah lama mendiami tempat ini juga kerap kali mengadu demikian.

Eh, mana ada padi seperti dulu, semuanya sudah diradu.”

Aku terkesima. Benarkah Angin?! Bukankah kawasan padi itu sangat luas? Adakah penjagaku tidak menanam padi lagi? Apa mereka akan makan kalau sawah itu tidak dikerjakan lagi?

Sementelahan mencongak jawapan sendiri kepada andaian yang berlegar-legar ini, turut tersisip untukku bertanya tentang budak berdua itu tadi. Aku ingin bertanya kepada Angin, tetapi, soalan ini mungkin tidak akan dijawab, kerana Angin sering saja menggembara.

Hemmm…nampaknya, kau lebih sesuai tinggal di muzium, macam patung purba Shigir di Russia tu yang disimpan dalam muzium sejarah negara itu. Kononnya, patung itu adalah patung yang tertua di dunia. Hebat kan manusia, mereka sanggup lakukan apa saja demi mengkaji patung itu walau beribu-ribu tahun tertimbus dalam tanah.

Iya? Siapakah Shigir tu?”

Muka patung itu telah diukir menyerupai manusia oleh orang-orang Shigir. Hingga hari ini, ukiran yang diukir pada permukaan patung itu masih misteri lagi, ada pun kajian, itu cuma teori manusia zaman moden saja. Aku sempat melihat bagaimana serpihan-serpihan patung itu ditemui pada tahun 1894 di Ural Mountain, sebuah daerah di Russia.”

Wah! Aku bagai teruja dengan kata-kata Angin.

Kau pula, bagaimana? Adakah kau sama seperti patung Shigir yang dipenuhi dengan ukiran mesej-mesej tertentu?” Angin mengajukan soalan kepadaku.

Aku hanyalah patung adat yang dipanggil SININGGAZANAK. Tuan tanah ini seorang lelaki tanpa keturunan, jika wasiat KOIMAAN dia tidak dinyatakan kepada sesiapa hartanya diberikan, segala barang pusaka dan tanah ini harus dikembalikan kepada adik-beradik tuan tanah mengikut Adat Kampung. Sebagaimana yang kau lihat, tanah ini dijaga oleh penjagaku Situot, dia adalah adik kepada tuan tanah ini. Aku masih ingat upacara pemacakanku di tepi aliran sawah sebelum kedatangan British ke sini.”

Selang beberapa jeda, Angin berkata kembali. “Aku pernah nampak di utara Sumatera iaitu Pulau Samosir, orang-orang Batak mengukir patung yang menyerupai manusia, namanya SIGALE-GALE. Aku pernah lihat patung ni dimainkan ketika perkabungan, pertunjukan itu seperti wayang kulit. Aku dengar mereka kata, patung itu harus dimainkan apabila orang yang meninggal itu tidak punya keturunan.”

Sigale-gale ini lebih mirip dengan nasib saya ya, Angin?”

Ya, lebih kurang begitu, tetapi kau hanya terpacak di tengah sawah, manakala Sigale-gale itu, aku lihat hanya disimpan saja.”

Mereka sudah ditakdirkan begitu, tetapi aku–” Aku ingin mengeluh kepada Angin bahawa aku tidak punya apa-apa fungsi setelah diperam dalam pondok ini, namun detakan kaki di luar, niatku ini bubar. Pintu terkuak semula, Angin serta merta keluar tinggalkan aku.

Di depan pintu, berdiri seorang lelaki berlengan panjang serta memakai seluar panjang, lebih besar daripada dua budak sebentar tadi. Aku tidak dapat merejam wajahnya kerana muncung topinya disendengkan ke depan. Dia menyuluh seluruh ruang yang sederhana luas ini.

Randy!…..” Lelaki itu memekik, mungkin dia memanggil budak lelaki yang berdiri di ambang pintu itu tadi. Aku tertanya-tanya, siapakah mereka? Adakah lelaki ini salah seorang cucu penjagaku?

Mari tolong bapa kumpulkan benda-benda ini ke longgokan sana,” kata lelaki itu sambil mengengsot ke arahku. Jari telunjuknya dikuitkan ke setiap inci daerah mukaku.

Patung apa pula ni?” bisiknya sendirian. Aku pasti, selama ini dia sama sekali tidak tahu akan keberadaanku di sini, mana mungkin kudengar pertanyaan itu. Lelaki ini sudah tentu bukan dari kalangan saudara-mara penjagaku.

Teman-temanku kini perlahan-lahan diangkut budak yang dipanggil Randy itu. Aku tidak pasti apa yang bakal mereka lakukan terhadapku. Adakah benar kata-kata Angin bahawa aku ini layak berada di muzium untuk tatapan orang seperti patung yang dia nyatakan tadi? Atau disimpan menjadi khazanah seperti patung Sigale-gale itu.

Perlahan-lahan aku dijinjing keluar. Kini aku melihat cerah. Panahan matahari merenggut kulit permukaanku yang telah lama berkubang dalam bilik suram itu.

Eh, ini patung apa bapa? Tangan kirinya sudah patah,” kata budak perempuan yang kulihat bersama budak lelaki itu tadi.

Entahlah, nampaknya pemilik tanah ini dulu tidak hiraukan lagi barang-barang lama dalam pondok tu. Bapa ingat barang ini tidak berguna bagi kita,” balas lelaki yang sedang menjinjingku.

Aduh! Sakitnya! Terasa tubuhku bagai ditendang-tendang apabila terhempas ke atas longgokan kayu-kayan yang berselerak di atas tanah. Lagi menyakitkan, apabila kedua-dua belah kakiku terpisah saat aku dicampakkan. Hujung kayu yang dulunya terbenam di dalam tanah turut patah-mematah.

Tuan! Tuan! Aku mengerang sakit. Namun fitrah diriku membataskan kemampuanku untuk bersuara. Seandainya mulut yang telah diukir ini mampu bergerak, itu pasti satu keajaiban. Mereka pasti terkejut, tetapi aku hanyalah patung tuntutan adat bagi masyarakat di Kampung Ganang ini dulu.

Kau tidak telefon bekas tuan tanah tanyakan barang-barang dalam pondok tu?” Kini, suara wanita mengisi suasana.

Jika mereka masih perlukan benda-benda ini, mustahil mereka akan tinggalkan dalam pondok usang tu,” tingkah lelaki yang membimbitku tadi.

Aku mendengar saja mereka berhujah. Si isteri merasa was-was manakala si suami ingin merobohkan pondok lama itu serta membakar segala barang-barang yang tidak berguna. Sementara itu, aku terlihat rumah yang menjadi kediaman penjagaku dulujuga telah berubah menjadi sebuah banglo besar. Manakala tempat aku dipacakkan dulu kini menjadi sebuah longkang besar, dan di seberang longkang besar itu pula kudengar auman kereta meluncur laju serta bangunan bertingkat-tingkat. Sungguh berbeza dari masa silam. Selama terperam dalam pondok itu, banyak sekali perubahan yang berlaku. Aku tidak sempat melihat ia membangun satu-persatu, malahan, penjagaku tidak pernah datang menjengah ke dalam pondok itu. Aku seperti tidak berharga.

Semua barang-barang lama, bapa. Memang sudah tidak boleh diguna lagi,” celah budak lelaki itu lagi.

Kumpulkan semua barang-barang, kita kena bakar semuanya, tingkah lelaki dewasa itu.

Bakar?! Aku terkesiap. Aku akan dibakar! Mana penjagaku? Aku sepatutnya dipacak atas tanah ini bukannya dibakar! Andai ada keajaiban yang berlaku, aku mahu melarikan diri saat simbahan bahan pembakar itu mengguyuri batang tubuhku. Tuan, tuan, tuan, tolonglah aku!

Lelaki dewasa itu mula mencucuh api. Aku mula merasa bahangnya. Api menjalar-jalar sekitar longgokan kayu-kayan yang menghimpit batang tubuhku ini. Mungkin kerana kurang berpuas hati, bahan pembakar itu disimbah lagi dan api kian marak, perlahan-lahan menjilatku. Inikah yang dikatakan pemeliharaan tamadun budaya?! Tuan penjagaku sudah tidak pedulikanku lagi!

Andai air mata ini dapat keluarkan sisa hampa ini, aku akan menangis sepuas-puasnya. Oh Angin, aku tidak seperti patung di Russia itu, beribu tahun terpuruk dalam timbusan tanah, manusia sanggup mengorek dan mengkajinya walau sukar bagaimanapun. Aku juga bukan senasib patung masyarakat Batak yang kau katakan itu. Mereka berdua disimpan rapi, manakala aku hanya tinggal nama, patung SININGGAZANAK Moling yang usang dijilat api.

Api kian mengganas. Kini, semangatku melayang-layang ke udara bersama kepulan asap; pergi dan hilang kemudian. Batang tubuhku akan menjadi abu dan dibuang begitu sahaja. Selamat tinggal dunia!

 

GLOSARI

Sininggazanak – patung yang menyerupai bentuk manusia, diperbuat daripada kayu dan dipacakkan di tengah sawah bagi merujuk tuan tanah yang tidak mempunyai keturunan untuk mewarisi harta pusaka tersebut.

Koimaan – wasiat yang ditinggalkan dalam bentuk kata perintah dari si mati kepada pewaris pusakanya.

 

scroll to top