Oleh HENRY BATING
GAMBAR-gambar Huguan Siou I Donald Stephens @ Tun Fuad (1920-76) menjadi khazanah penting warisan generasi Kadazandusun.
Gambar-gambar Donald Stephens selalunya tampil berpakaian tradisi Kadazandusun. Sigar yang dikenakan adalah dari tenunan Rungus yang direka bentuk menjadi ‘Siga Penampang’.

DONALD sentiasa mengenakan sigar tenunan Rungus.
Baik dalam upacara rasmi kenegaraan mahupun kebudayaan, Donald selalu mengenakan pakaian tradisi Kadazandusun.
Baik upacara rasmi di luar negara mahupun di dalam negeri, pakaian tradisi tidak pernah lekang dari penampilan Donald Stephens.
Dalam dua upacara rasmi paling penting dalam hidup Donald dan masyarakat Kadazandusun, kedua-duanya menampilkan Donald berpakaian tradisi Kadazandusun. Dua upacara itu adalah:
1. Perisytiharan Pembentukan Malaysia pada tahun 1963, dan
2. Pemeriksaan Perbarisan Angkatan Tentera Australia pada tahun 1967.
Ketika Majlis Perisytiharan Pembentukan Malaysia di Padang Merdeka Kota Kinabalu pada 16 September 1963, Donald tampil dengan penuh semangat dan menjunjung jatidiri dengan mengenakan pakaian tradisi Kadazandusun.
Bersama dalam majlis penuh istiadat itu ialah Tun Datuk Haji Mustapha bin Datu Harun (Allayarham) dan Tun Abdul Razak bin Hussein (Allayarham).
Ketika menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia pada tahun 1967, Donald diberikan penghormatan memeriksa perbarisan Angatan Tentera Australia.
Ketika membuat pemeriksaan kehormat perbarisan, Donald turut mengenakan pakaian tradisi penuh Kadazandusun.
Walhal dirinya berada jauh di seberang dan tiada orang Kadazandusun yang menyaksikan perbarisan berkenaan ketika itu.

PERISYTIHARAN MALAYSIA … Donald mengenakan pakaian penuh tradisi Kadazandusun ketika membacakan perisytiharan pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963. Turut kelihatan Tun Abdul Razak bin Hussein (kanan) dan Tun Mustapha.
Dua senario tersebut memberikan renungan yang berguna kepada generasi Kadazandusun.
Faktanya, Donald mengenakan pakaian tradisi Kadazandusun baik di dalam negeri mahupun di luar negara kerana menjunjung tanggungjawabnya sebagai HUGUAN SIOU.
Gambar-gambar tersebut dengan sendirinya menggambarkan wawasan Donald untuk mengangkat jatidiri, maruah dan martabat masyarakat Kadazandusun yang dipimpinnya.
Pemikiran dan penampilan Donald selama hayatnya itu perlu dihayati.