Kemaafan yang terindah

Oleh Safura Azzahraa

 

“Nisa, maafkan abang.”

Ayat yang sering diulang-ulang tanpa jemu. Namun tetap hampa. Tiada yang menyahut. Orang yang dinanti tak kunjung tiba. Hampa, kecewa dan kesal bertubi-tubi membanjiri jiwanya.

Nafasnya tercungap-cungap, matanya melilau mencari wajah seseorang yang pernah dikenali suatu ketika dahulu, sementara hatinya resah dalam mengharap kehadirannya. Sekujur tubuh terbaring di katil bujang sudut ruang tamu. Suasana sepi seketika setelah selesai bacaan surah yassin seramai 40 orang. Tetamu mula mengundurkan diri, yang tinggal hanya keluarga terdekat.

Dia terpandang wajah sugul seorang wanita di hujung katilnya.

“Ibu, mana Nisa? Rijal nak minta ampun dengan dia, Rijal banyak berdosa dengan dia.”

“Nisa tak ada kat sini, dia jauh kat seberang laut,” sahut wanita yang digelar ibu sambil menyapu si air mata. Memandang sayu wajah  Rijal yang pernah menjadi suami kepada anak perempuannya.

Panggilan ibu masih melekat walaupun dia tidak ada kena mengena lagi dengan wanita tersebut. Si ibu pula hadir menziarah  setelah mendapat perkhabaran tentang penderitaan lelaki itu. Hati ibu sungguh lembut dan mulia, tiada dendam kesumat.

Annisa wanita berkerjaya yang mempunyai penampilan sederhana, menerima tawaran untuk bekerja di kedutaan Indonesia. Dia bertekad meninggalkan bumi Malaysia tercinta.

Tiada siapa menyangka senyuman yang manis  di raut wajah nan ayu menyimpan luka yang parah di lubuk hati. Dia ingin melupakan segala kepahitan masa lalu. Penghijrahan ini merupakan langkah pertamanya untuk tidak berpaling lagi pada kisah semalam.

Kesibukan bandaraya Jakarta diharapkan dapat meredakan kesedihan yang melingkari tangkai hatinya. Dia tidak mahu ambil tahu lagi di mana dan apa yang berlaku kepada seorang lelaki yang pernah hadir sebagai suami dalam hidupnya. Rijaluddin yang pernah dikahwininya adalah jejaka pilihan keluarga.

Hanya seminggu mereka hidup bahagia sebagai pasangan suami isteri. Kemudian pulang ke Kuala Lumpur. Setelah kehidupan mereka jauh dari pandangan ibu bapa, barulah pecah tembelang siapa sebenarnya lelaki itu.

Dia suka berfoya-foya , memilih hidup seperti orang bujang walaupun sudah berkahwin.

“Kau jangan ambil tahu pasal aku, apa aku buat dan ke mana aku pergi!” lantang sekali amarannya.

Walaupun Annisa cuba memujuknya namun tidak diendahkannnya.

“Kau jangan memandai beritahu keluarga kat kampung pasal kita.”

Amaran itu tersimpan kukuh, tidak berdaya ditentang kerana aib mesti dijaga. Pulang lewat malam dan kadang-kadang tidak pulang langsung. Prestasi kerjanya semakin merosot, beberapa kali menerima surat peringatan daripada pejabatnya.

Perbalahan sering terjadi, tiada  kata-kata lembut dan belaian manja seorang suami. Airmata menjadi teman yang akrab. Jika ditegur, pasti penampar singgah di pipi gebunya. Hari-hari yang dilalui penuh duka lara, tiada bunga-bunga bahagia seperti pasangan pengantin baharu yang lain.

Jauh sekali  bulan madu seperti yang diimpikan selama ini. Terasa sangat pedih melalui alam rumahtangga, tidak seperti yang dibayangkan sebelum ini. Impiannya punah, hancur luluh, hatinya tiada siapa yang tahu, hanya pada Allah tempat mengadu. Benarlah kata orang perkahwinan itu satu perjudian, ada kalah dan menang.

“Banyakkan bersabar Nisa,kau kena kuat, ujian dari Allah datang berbagai cara, setiap orang tidak sama dugaannya.” Nasihat rakan sekerjanya, Maryam.

Ketika itu dia kerap mengambil cuti sakit kerana emosi tidak stabil. Ditambah lagi keadaan dirinya yang baru disahkan hamil. Saat begitu perhatian daripada seorang suami amat didambakan namun Annisa terpaksa mengharunginya seorang diri.  Sungguh  sadis.

Keluarganya di kampung tidak tahu perangai sebenar Rijaluddin kerana dia sangat bijak berlakon, di kampung dia berlagak alim.

“Rijal calon suami yang baik buat Nisa,” pujuk ibunya ketika pertama kali diperkenalkan.

Tanpa terduga kehidupan di kota metropolitan telah merubah perwatakan dan kelakuan seorang lelaki bernama Rijaluddin lantaran mudah terpengaruh dengan rakan dan persekitaran serta tekanan kerja.Walau pun dia seorang yang terpelajar namun iman dan  jiwanya rapuh berdepan dengan kehidupan yang mencabar.

Kemuncaknya di suatu malam, saat Annisa membuka  daun pintu rumahnya, bau minuman haram menusuk ke hidung.

”Abang minum…” Belum sempat bertanya lebih lanjut, Rijaluddin telah menendang perut Annisa. Dia cuba melawan namun badannya sangat lemah. Tanpa rasa bersalah, dia berlalu begitu sahaja.

Akibatnya Annisa mengalami pendarahan.  Dalam menahan kesakitan, dia masih boleh memandu kereta sendiri ke hospital berhampiran. Meredah kegelapan malam ditemani air mata.

“Maaf puan, kami harap puan bertenang dan bersabar, kami tak dapat selamatkan kandungan puan.” Suara doktor memecah kesunyian malam.

Bergetar jantung Annisa, dunia terasa kelam. Bayi yang diharapkan menjadi penyambung hubungan mereka suami isteri telah tiada lagi.

Semalaman Annisa menangisi apa yang terjadi, tiba-tiba rasa benci dan dendam   meluap-luap terhadap suami sudah tidak terbendung lagi. Ingin rasanya dia menumbuk muka dan menendang Rijaluddin. Dia meraung menyatakan kebenciannya terhadap lelaki itu. Tubuhnya semakin longlai.

“Maafkanlah dia.” Suara ibu penuh tulus masih ternginga-nginga di corong telinganya.

“Masa ibu melawat dia semalam, seluruh badan dan matanya  sudah berubah menjadi kekuningan,“ bicara ibu lagi.

“Ibu,tak semudah itu untuk  Nissa maafkan dia, hati ini hancur berkecai,” bentak Annisa.

“Betul nak, ibu sangat memahami. Tetapi Nissa, dia sekarang di ambang maut, kemaafan dari Nissa amat diharapkan, sedangkan Nabi ampunkan umatnya, biarlah dia pergi dengan tenang,” nasihat ibu sentiasa berhemah.

Hati Annisa bulat ingin menamatkan ikatan perkahwinan mereka. Setelah berbincang dengan keluarga, Annisa menuntut fasakh di mahkamah.  Hampir dua tahun dia naik turun mahkamah, akhirnya tuntutan fasakh berjaya.

Anissa ingin melupakan segala kisah pilunya, ingin bangit berlari. Angin sejuk waktu malam di bandar Jakarta  tiba-tiba tergugat dengan deringan telefon bimbitnya.

“Assalamualaikum Nisa.”

“Macam pernah dengar  suara itu” bisik hati kecilnya. Selepas menjawab salam, dia membiarkan sahaja lontaran suara itu berkumandang walaupun ada debaran di hatinya.

“Akak nak maklum, Rijal sekarang sedang nazak, barah hati tahap empat,” tangis kelam di hujung suara. Lidah  Annisa kelu tidak terkata. “Nisa, maafkanlah dia, matanya takkan tertutup selagi tiada maaf dari Nisa,” suara Kak Hajar bersama tangisan berpanjangan sehingga terputus talian.

Hajar perempuan yang lemah-lembut adalah kakak sulung kepada Rijaluddin, menjadi tempat bergantung dan bermanja sejak kecil setelah kematian ibu kandungnya.

Annisa berperang dengan emosinya.

“Aaaaaah…biar saja dia mati, itulah hukum karma buatnya, dia memang patut matipun , kejam, pembunuh anakku!”

“Astaghfirullahalaziim…Ya Allah, bantulah aku menghadapi situasi ini, aku tersepit antara dendam dan simpati.”

Wajah ibu dan kak Hajar silih berganti, suara rayuan mereka mengetuk dinding egoisnya.

Hembusan bayu petang yang mendamaikan Annisa setelah penat bekerja seharian dijentik kejutan tatkala menerima pesanan ringkas daripada ibunya  “Rijal telah pergi mengadap llahi seusai ibu menitipkan kata maaf daripada Nisa. Sedekahkan al fatihah untuknya.”

Annisa merenung jauh ke langit, gumpalan awan seakan mengerti gelodak jiwanya namun tiada setitik pun manik-manik jernih yang gugur. Hidup perlu diteruskan. Biarkan dedaun kesedihan berguguran bersama angin lalu untuk membina  semula akar kedamaian.

 

SAFURA AZZAHRAA adalah nama pena Siti Safura Rahim. Dilahirkan  di Kampung Kubang Bemban Pasir Mas, Kelantan. Bertugas sebagai guru di sebuah sekolah dalam daerah Pasir Mas. Mula melibatkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 2019. Beberapa buah antologi anjuran Gabungan Penulis Muda negeri Kelantan (GEMA) telah diterbitkan. Juga terlibat dengan penulisan story telling dan cerpen di bawah bimbingan  Bonda Nor,Sri Diah, SM Zakir dan Salina Ibrahim.  Di bawah kelolaan Haji Mukhtar Mustafa pula terlibat dengan beberapa buah antologi terbitan Kembara Sastera berbagai genre iaitu cerpen, puisi, pantun, sonian,haiku,tanka, sonigraf dan memoir diri.

scroll to top