‘Kita Adalah Manusia Pendosa’ – Karya Simon Sumin Dugok

SIMON SUMIN DUGOK dilahirkan pada 1969, Di Kampung Kayau Papar. Pernah bertugas sebagai wartawan akhbar mingguan di beberapa buah akhbar Di Sabah. Karya berupa artikel budaya pernah terbit di majalah ETNIK, DBPCS. Karya terbaharu termuat dalam antologi Puisi bersama, KESATERIA NUSA dan ATOUNA EL .TOUFOULE, terbitan SYFE. Diselanggarakan oleh Nursyafiqah Binti Roslan. Kini merupakan ahli Momogunsia.

KITA ADALAH MANUSIA PENDOSA

Sujudlah kembali kepada Pencipta;
kerana tiada yang maha hebat kini,
merewang di mana-mana
segenggam serbuk ujian
Tuhan tebarkan
membikin hela hembus nafas
dikisari gusar
giliran cuma di ubun-ubun
tanpa hitungan amal terhimpun

Bersedia atau tidak
kita tiada pilihan tentang mati
sebagai manusia pendosa
kain-kain kafan sedang berbisik
siapa bakal ‘ditidurkan’ selanjutnya

Simon Dugok
Kg Kayau Papar
Jun 2021

 

APABILA TUHAN BERKARYA

Apabila manusia berkarya
mencipta tuhan-tuhan
menjelma menjadi ‘Tuhan’
Tuhan pasti tersentuh,

Ingat,
dan apabila Tuhan berkarya
kita umpama noktah bertindih
menanti giliran untuk ‘ditidurkan’

Atau Tuhan mampu saja berkarya
di kanvas terakhir
menumpahkan sehabisnya warna terakhir
ke serata alam.

Simon Dugok
Kg Kayau Papar
Ogos 2021

scroll to top