Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN
KOTA KINABALU : Program ‘Membilang Kinabalu’ yang merupakan wacana ilmu diyakini dapat dijadikan platform pembugaran sastera dan budaya Sabah yang kurang diberi perhatian oleh generasi baharu.
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, dengan adanya program seumpama ini, ianya dapat memberi motivasi kepada penggiat sastera dan budaya di Sabah yang sedia ada.
“Manakala anak-anak muda, golongan pelapis, para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi, IPTS dapat mengetahui para pejuang sastera, budaya di Sabah dalam era selepas merdeka hingga kini,” katanya semasa merasmikan webinar ‘Membilang Kinabalu’ siri ke-2 anjuran bersama Persatuan Penulis Budiman Malaysia (Budiman)dan Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah.
Program kali ini, mengkhusus kepada perbincangan tentang bidang teater di Sabah dengan judul ‘Menantang Cabaran Sebelum Rebah’ disertai oleh 65 orang peserta secara maya.
“Sekurang-kurangnya para aktivis sastera, budaya termasuk teater di Sabah dapat menilai semula kegemilangan yang pernah dicapai dan langkah-langkah wajar yang harus diperjuangkan selepas ini agar kegemilangan itu tidak pudar ditelan zaman,” katanya.
Menurut Arifin, Penerapan nilai kecintaan kepada khazanah budaya bangsa adalah amat penting disuburkan kerana aktiviti kesusasteraan, budaya seperti skrip drama dan teater yang dipentaskan dapat melontarkan pemikiran yang mengesankan.
“Pemikiran yang saya maksudkan di sini ialah ke arah pembentukan moral yang baik untuk mewujudkan insan yang berakhlak dan beradab.
“Pemikiran yang baik yang dapat dihasilkan oleh pengkarya, dapat membentuk insaniah yang diharapkan dapat mendokong kemajuan peradaban agama,bangsa dan negaranya,”jelasnya.
Beliau berkata,Sabah masih memerlukan dukungan seluruh warga termasuk aktivis sastera dan budaya untuk membantu kerajaan menanamkan nilai-nilai moral terbaik dalam masyarakat di negeri ini.
Sehubungan itu, menurutnya ‘Membilang Kinabalu’ diharap dapat memberi impak terbaik mengisi keperluan negeri Sabah bagi melahirkan masyarakat yang bersatu padu dan dapat menanamkan nilai patriotisme yang tinggi.

PENCINTA BUKU…Arifin seorang pencinta buku.
“Saya mengharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diberi dukungan untuk membantu menjayakan apa juga kegiatan yang memberi impak terbaik dalam pembangunan negeri Sabah khususnya dalam konteks memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat,” ujarnya.
Hadir sama dalam program yang dilaksanakan secara maya itu ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Aminah Awang Basar,Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia,Professor Dr.Abdul Halim Ali dan Presiden Persatuan Sastera dan Budaya Saabah(PSBS),Norawi Haji Kata.