Protes Seorang Qubir

Karya MUKHTAR MUSTAFA

KEPUTUSAN Qubir muktamad. Dia pasti akan meninggalkan perkampungan ini. Dia tidak sanggup lagi berhadapan dengan berbagai peraturan dan syarat. Dia tidak sanggup lagi mendengar berbagai cerita dan khabar yang menjengkelkan. Dia sudah bosan dan cemuh. Segala-galanya mengarut. Segala-galanya merugikan. Segala-galanya menyempitkan fikiran dan pandangan.

Lebih setahun dia dan penduduk kampung hidup dalam ketakutan. Lebih setahun juga mereka semua hidup dalam tanda tanya. Lebih setahun dia mencari punca serangan penyakit ini. Ada yang berpendapat punca penyakit ini kerana sentuhan. Ada berpendapat berpunca dari selsema dan batuk. Ada yang memberitahu kerana bersalaman. Ada yang memberitahu kerana berhimpun secara ramai. Justeru semua diarah mengamalkan penjarakkan sosial.

Qubir benci semua itu. Qubir berasa rimas hidup dalam keadaan terkurung. Qubir lemas dengan pelbagai berita yang diterima. Qubir ingin kebebasan. Bebas seperti sediakala. Bebas keluar rumah baik waktu malam atau siang. Apakah semua berita itu benar? Setiap hari beribu-ribu orang telah dijangkiti. Setiap hari beribu-ribu orang dimasukkan ke hospital. Beratus-ratus orang dirawat di Unit Rawatan Rapi. Dan setiap hari juga ada beratus kes kematian dilaporkan.

Tidak adakah ubat yang boleh menyembuhkan penyakit itu? Bukankah semua penyakit di dunia ini ada ubat? Bukankah terdapat beratus-ratus doktor pakar yang bijak-bijak di dunia. Kenapa mereka tidak mampu menyembuhkan penyakit yang tidak nampak ini? Kenapa mereka tidak boleh mencipta ubat, atau mereka sendiripun takut kepada penyakit ini?

Qubir terus memprotes. Antara percaya dan tidak. Kenapa tiba-tiba sekolah ditutup? Ramai murid-murid ketinggalan dalam pelajaran. Murid dan guru kian ramai dijangkiti. Penghuni dan pegawai penjara juga terkena. Dan yang lebih mendukacitakan doktor dan jururawat yang berkerja merawat pesakit juga terkena jangkitan.

Perkhabaran terkini lebih menyeksa jiwa Qubir, vaksin untuk suntikan telah tiba. Tiba dengan kawalan ketat sejak dari lapangan terbang sehinggalah ke setor penyimpanan. Pelbagai telahan, tohmahan dan andaian telah tersebar.

Kononnya vaksin ini tidak selamat. Kononnya vaksin yang telah digunakan di luar negara boleh menyebabkan kematian. Atau setidak-tidaknya vaksin ini boleh membekukan darah. Boleh mengalami kecacatan dan pelbagai lagi telahan.

Kerana khabar-khabar negatif seperti itu, sudah ramai yang tidak mahu mendaftar untuk menerima suntikan. Lebih teruknya bila ada pula berita, bahawa bila tidak mahu suntikan mereka tidak dibenarkan untuk ke Tanah Suci Mekah atau melancong keluar negeri. Semua itu membingungkan Qubir.

Keesokan hari, selepas subuh, dan dalam samar fajar, tanpa memaklumkan kepada sesiapa, Qubir pun meninggalkan rumahnya, Berbekalkan seutas jala, dua kilo beras, lima kilo garam, kapak, sebiji periok dan beberapa helai pakaian, Qubir pun meninggalakan Kampung Kuala Sejuntai, kampung kelahirannya. Tempat tujuan Qubir ialah daerah pedalaman Olak Jeram. Olak Jeram adalah kawasan pertemuan dua anak sungai iaitu Sungai Olak dan Sungai Jeram.

Walaupun jauh, Qubir memilih daerah ini. Dia meninggalkan segala kemewahan di rumah. Dia meninggalkan telefon bimbitnya. Dia meninggalkan segala berita dunia. Dia meninggalkan ayah dan ibu. Dia meninggalkan adik beradik, keluarga dan sahabat. Dia meninggalkan kecelaruan yang sedang melanda dunia.

Di Olak Jeram dia hanya akan berkawan dengan alam. Berkawan dengan flora dan fauna. Dia akan bertemankan dengan desir angin, riak air, kicau burung dan kesunyian serta kesepian malam.

Dia memilih daerah yang memiliki banyak kedamaian. Daerah yang memiliki air terjun. Daerah yang memiliki air sungai yang jernih. Banyak batu-batu. Banyak ikan-ikan. Banyak binatang hutan yang boleh dijadikan makanan. Di sini ada ikan kelah. Dia sini ada pelandok, ada napuh dan ada landak. Pendek kata Qubir tidak akan lapar berada di Olak Jeram. Pengalaman lima tahun dulu ketika berkampung di situ bersama rombongan pemancing menjadikan dia memilih Olak Jeram.

Sebaik dia sampai di Olak Jeram, dia mendirikan dangau sementara untuk teduh dari embun. Berasaskan pokok bayas,empat batang tiang dibangunkan betul-betul di celah-celah batu di tebing sungai. Dia memilih tempat yang terang dan selamat. Dia mencari kayu-kayu dan ranting kering. Dia memasang unggun api. Pertama untuk menjauhi binatang buas dan kedua untuk menghilang rasa sejuk hembusan angin di pedalaman. Pada malam pertama dia tidak begitu lena tidur. Rasa takut dan sepi tiba-tiba datang, Tidak ada deruan kenderaan. Tidak ada siren bomba dan polis.

Tidak ada hilai ketawa ahli keluarga. Tetapi menjelang pagi, akhir dia terlena.
Kerja hariannya ialah mencari ikan. Dia menjala dan menjala. Hasil tangkapan disiang dan dibersihkan. Kemudian ikan-ikan dilumur garam dan dijemur kering. Ada ketika dia masuk ke tengah hutan untuk memburu. Dia memasang jerat dan perangkap. Dia memasang siding. Hasil yang diperolehi agak lumayan. Setelah disembelih, dilapah dan dibersihkan. daging napuh, landak dan pelanduk dilumur garam dan dijemur sampai kering.

Pemakanan Qubir berlainan 100 kali ganda berbanding di rumah. Aktiviti Qubir juga begitu. Qubir bukan lagi setiap petang berada di kedai kopi haji Qurdan atau melepak di wakaf tepi kubur. Di Olak Jeram Qubir berminat meneroka hutan. Dia mencari buah-buah seperti salak, kelubi, berangan, petai, terap, keranji, durian bukit dan pisang hutan. Kesemua itu dijadikan makanan.

Di pedalaman ini Qubir dapat merasakan pucuk miding, paku, cendawan, rebung buluh, umbok bayas yang fresh. Dia telah melupai tomyam campur, sup kaki, ayam goreng halia hailan ikan masin.

Kesemua hasil tangkapan yang betul-betul kering dibungkus menggunakan upih nibong atau upih kabong. Niat Qubir hanya satu, kesemua daging kering itu akan dibawa pulang ke kampung. Tentu ayah dan ibu menggemari daging kering yang jarang ditemui.

***

Setelah enam bulan mencari ketenangan jiwa, Qubir memutuskan untuk kembali ke desa kelahiran. Dia akan meninggalkan keindahan Olak Jeram.

Setelah menyiapkan bekalan, terutama ikan dan daging kering, Qubir pun melangkah meninggalkan dangau kecil. Dia ingin mempastikan seawal subuh esok, dia sudah berada di rumah. Mudah-mudahan ayah dan ibu serta adik beradik dalam keadaan selamat. Mudah-mudahan penyakit ganjil itu tidak menyerang keluarganya.

Ketika mentari mula naik, Qubir memijak kaki ke kampung halaman. Suasana kampung pagi Jumaat itu sunyi dan sepi. Tidak banyak kenderaan yang lalu Lalang. Sebaik dia memberi salam, ayah muncul di pintu. Tercegat lelaki tujuh puluhan itu dalam kehairanan.

“Qubir?” semacam ada kejutan. Ibu dan adik beradiknya menerpa keluar.
“Qubir?” Ibu dan adik-adik Qubir terkejut.
Qubir tercegat kaku. Dia kehairanan.
“Kau selamat Qubir? Kau tidak mati kerana Covid?”

“Semua orang kampung kita sudah menerima dua suntik vaksin kecuali abang. Jadi, abang tidak boleh naik ke rumah kita sebelum menerima suntikan,” Qursinar, adik bongsu Qubir bersuara.
Qubir jadi terpaku. Dia semacam hilang akal. Dia mula membayangkan semula ketenangan dan keindahan Olak Jeram.

 

MUKHTAR MUSTAFA dilahirkan pada 10.12.1955, di Kampung Bakat, Gual Periok. Pasir Mas, Kelantan. Mula menulis sekitar tahun 1975 genre Puisi, Cerpen, Drama Radio.

Antalogi cerpen yang pertama Wau Bulan Teraju Tiga terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 1980 dengan Cerpen Keazaman. Manakala lebih 50 buah drama radio tersiar di stesen-stesen RTM Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan. Telah terlibat dalam 30 antalogi puisi sejak 1975 hingga 2020.

Sekarang sedang giat dalam menyiapkan Antalogi Cerpen Terpasung dan Siri Memoir Diri Guru Menenun Zaman.

Pernah bertugas sebagai pemberita di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan akhbar rasmi Kerajaan Negeri, SINAR KELANTAN sekitar tahun 1978 – 1990.

scroll to top