Puisi360 Pilihan Minggu Ini

IBNU ARRAZY, nama pena bagi Norumzi bin Ismail, lahir di Pasir Mas, Kelantan. Beliau pernah bertugas sebagai guru di Johor Bahru dan Kulai. Kini bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, Johor. Puisi-puisi pernah disiarkan akhbar-akhbar di Malaysia.

 

 

PASTI KITA AKAN PERGI

 

Perjalanan makin singkat

rumah tradisi jauh ditinggalkan

menuju ke rumah abadi.

 

Siapa kita untuk mengelak

sedangkan angin menderu

menyapa kesegaran pagi

dan kita harus menerima

segala pembalasan

baik atau jahat yang dikerjakan

di bumi persinggahan ini.

 

Kembali itu pasti

detik itu akan singgah

meskipun kita

tidak mengundang

atau belum bersedia

menerimanya.

 

  • Ibnu Arrazy, Kulai, Johor

 

MEMETIK BUNGA KENANGAN

 

Di jendela kesunyian itu

dia memetik bunga kenangan

yang membenih wangian cinta

segar membugar rindu

di halaman bahagia.

 

Di kala dahan usia

kian mereput di pohon takdir

dia menghitung ranting lelah

membilang dedaun kering

yang melayang rebah

terhimpun dalam tanah abadi.

 

Setiap kali angin melibas

hatinya berbisik

alangkah bahagia

andai angin berputar arah

ke dunia segar bertunas dahalu.

 

  • Ibnu Arrazy, Kulai, Johor

 

MALAM SENTIASA HADIR

 

Malam tersungkur di riba

dengkuran bertaburan

tak pernah kita mengira

tapi kita terlanjur rapat.

 

Kita mengupas malam

kulitnya disangkut

di kelopak mata.

 

Air mata malam

sering kali kita timba

menyejuk duka.

 

  • Ibnu Arrazy, Kulai, Johor

 

 

AMIR HAMZAH MOHD WAZIR lahir 8 November 1957 di Perak.Karya-karyanya berupa puisi dan cerpen tersiar di media arus perdana. Beliau juga menghasilkan Novel bertajuk Angin Korbu dan Julia.

 

 

MASA

 

tidak pernah kita tahu

sama ada dia meninggalkan kita

atau kita meninggalkan dia

tapi terasa ia pantas berlalu

sombong tidak pernah menyapa

bagai meratah kehidupan yang ada

lalu

kitalah si pengutip sejarah masa lalu

dengan situasi

semakin tidak berdaya

 

  • Amirhamzah, 27/2/2021, Ipoh Perak

 

 

KELKATU

 

Kelkatu

di bawah

mentari pagi

tiada siapa yang peduli

ketika cahayamu di telan cahaya

ketika tubuhmu

terbujur layu

kepakmu

tidak segagah malam tadi

 

kelkatu kembalilah ke habitatmu

di hujung muara sana

Sungai Kampung Dew

mi ketam yang enak.

 

  • Amirhamzah, Ipoh Perak

 

 

AKU DAN ISTERI KAMI SAMA BERMIMPI 

 

Malam semakin larut

kami suami isteri tinggal berdua

tidur pun berdua

awal isteriku tidur kini

mungkin awal juga mimpinya

mimpinya mungkin indah

harap mimpi bertemu gajah

yang habitatnya habis diredah

oleh tangan-tangan  merah

dan kudoakan patah

aku pula semalam bermimpi

mimpi harimau membeli-belah di pasar

yang habitatnya habis juga diredah

oleh tangan-tangan merah dan kudoakan jua patah

kini aku masih belum juga tidur

asyik terkenang pokok kariku yang kena redah

tapi kali ini aku yang salah

tidak menegur si tangan merah yang memusnah.

 

  • Amirhamzah, Ipoh Perak

 

scroll to top