Puisi360 Pilihan Minggu Ini – Karya Adyra Az-Zahra

ADYRA AZ-ZAHRA atau nama sebenarnya Hasiah binti Yusof berasal dari Kelantan tetapi kini menetap di Klang Selangor.Mula berjinak-jinak menulis  sekitar tahun 2016 dan sempat bersama-sama Persatuan Penulis Pasir Puteh Kelantan(Puspa) bawah bimbingan Cikgu Ab.Aziz. Karya-karyanya pernah tersiar di Akhbar-akhbar tempatan iaitu Mingguan Malaysia,Berita Minggu,Dewan Budaya dan Tamadum Islam. Karya-karyanya juha pernah diterbitkan dalam antologi bersama rakan-rakan penulis  lain.

 

SEPTEMBER

(i)
Ingin kutuliskan
aksara rasa
ke helaian September
setelah Ogos berpulang

(ii)
Dakwat tertumpah
berbekas
tidak hapus

(iii)
Seberkas rasa
yang memudar ini
bagai terbuang
di bumantara.

Karya
ADYRA AZ-ZAHRA

 

KELUHAN ANAK-ANAK WATAN

Sekian hari mengumpul lelah
dibawah sinaran mentari terus segar memamah waktu menyinari alam maya
Detik-detik sepi menanggung gelisah penghuninya adalah nelayan petani penoreh getah dan
gelandangan di celah kota-kota besar

Mentari itu tetap menyinari namun
bagi kami seperti ini tetap merasai
keperitan kerana kehampaan tetap
berpanjangan

Hati menangis tiada sesiapa yang
tahu kelabu di musim luruh memang
sebati kerana sumber pendapatan
bagai di hujung tanduk semakin tiris

Apakah seharusnya begini seandainya pertemuan dijadikan
sebagai kesimpulan hanya dipandang sayu-sayu oleh mereka
yang lebih arif

Adakah kami sebagai anak-anak
watan menjadi pengemis di daerah
ini tanpa ada restu pembelaan menangis dalam kesempitan

Karya
ADYRA AZ-ZAHRA
KLANG SELANGOR
1 MAC 2021

 

CERITERA  SEPTEMBER

Aku Sembilan belas September
kembali menjenguk
seperti lazimnya
di tahun yang berlalu

Laksana sebuah catatan
yang siap ternaskah
cuma kembali menyelak
agar tidak dipinggiri
atau dikuburi tanpa nisan

Tidak usah berjela candanya
cukup sekadar rai hadirnya
yang senantiasa ranum
biar diinjak waktu

Sembilan belas September
sebuah ceritera yang tak habis
untuk ku baca atau pun  tulis

Karya,
ADYRA AZ-ZAHRA
KLANG SELANGOR
SEPTEMBER 19 2021

scroll to top