Puisi360 Pilihan Minggu Ini

JOVINIA JOUNIN  atau nama penanya Jovie J, lahir 11 Mei 1995 di Kironggu Inanam. Lulusan Sarjana Muda dengan kepujian (Seni Kreatif) UMS. Bekerja di salah sebuah syarikat pelancongan. Menjadikan penulisan  sebagai sebuah hobi, terapi dan platform untuk menginspirasi dan menyampaikan mesej masyarakat tempatan tentang nilai sebuah seni dalam kehidupan. Karyanya sudah pernah disiarkan di akhbar tempatan Sabah, Majalah Tunas Cipta dan Majalah E-Wadah.

 

JAWAPAN WAKTU

Lara semalam sudah berlalu

hari ini hidup menguji dewasa

misteri perjalanan pelbagai konkrit

sarat membekal belenggu inti pati

Budi cuba mengemudi

memahami sirat emosi

doaku selalu bertambah umur

mengecapi recehan dari buku kehidupan

yang selalu mengarahkan ketabahan

Mendung kan lari

dan cerah selalu berpihak

tenagaku harus selalu berlimpah

mengayunkan langkah seminit kemudian.

 

SENYUMAN WAJAH

Pada seni dadamu kurindu

kulit wajahmu yang sudah jauh mengenal waktu

menggalur segala jawapan

mendewasakan aku dalam pena hati

memahat nama di persada sendiri

Seperti indahnya sapaan bunga

menyambut mekar di taman yang baru

ada cahaya neon yang menerangi

jiwa-jiwa yang seangkatan maju

Cetusan dari ilhammu sang pejuang

rendah diri selalu menyanjungi lautan hati

sungguh burung selalu ingin bertandang kepadamu

sayangmu selalu memeluk

menyampai segunung semangat

Seni hatimu mengisi budi

yang kini menumpang sebagai cahaya neon

di dada setiap anakmu.

 

KESATUAN DALAM RUMAH YANG BERBEZA

Norma baharu telah menghidupkan keasingan

memenjarakan sosial dari rusuh pandemik

yang tinggal cuma senyuman warga maya

yang menyinggah salam perhubungan

dan rindu di alam siber

Dengan hati yang berbekal semangat rindu

mengirim aksara yang mengeratkan

rasa kesatuan walau tidak sebumbung

membebat lara insani

membasuh debu kekalutan ngeri

yang menyelirat di setiap relung nafas

Walau hurungan pandemik dalam merdeka

akan terus mengibarkan semangat juang

mengisahkan lipatan sejarah nafas perjuangan

yang masih belum berakhir

memulihkan keadaan waktu

buat kiriman rasa selamat

dan kebebasan di hati rakyat generasi.

 

 

scroll to top