Sukarelawan Tidak Didendang

Karya MUKHTAR MUSTAFA

CADANGAN Aidil memilih Bukit Jejus sebagai tapak perkhemahan tahunan dipersetujui oleh semua ahli Persatuan Kembara Muda Taman Saujana. Tidak ada sebarang bantahan. Malah Ferry, Asil, Selly dan Noni memberi sokongan penuh pada cadangan Aidil.

“Bukit Jejus tempat yang amat cantik. Dapat melihat sunset. Banyak aktiviti yang kita dapat laksanakan.” Ferry memperkukuhkan sokonganya.

Sebaik sahaja keputusan sebulat suara dicapai, pembahagian tugas disusun. Aidil selaku ketua perkhemahan, tampil ke hadapan dewan membentangkan kertas cadangan gerak kerja.

“Rombongan kita seramai 15 orang akan bertolak pada hari Khamis ini dengan empat buah kenderaan pacuan empat roda dan salah satu darinya kita khususkan untuk mengisi peralatan perkhemahan.” Aidil memulakan taklimat.

“Peralatan memasak adalah di bawah tanggungjawab Ferry selaku Setia Usaha perkhemahan.”

“Bahan-bahan makanan untuk empat hari tiga malam akan diuruskan oleh Selly dan Noni merangkap Bendahari dan Penolong Bendahari.”

“Saya berharap kita dapat memikul tanggungjawab masing-masing dan pada jam 10 pagi hari Khamis kita semua berhimpun di dewan ini. Manfaatkanlah segala pengalaman lalu, supaya perkhemahan kali ini akan lebih bermakna.” Aidil menamatkan taklimatnya pada hari itu.

Sebagaimana yang dijanjikan, jam 10.30 pagi hari Khamis, dalam hujan renyai-renyai empat buah kenderaan pacuan empat roda yang membawa 15 orang ahli rombongan bertolak ke Bukit Jejus yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Taman Saujana.

Aidil yang berada dalam kenderaan paling hadapan bersama Denny yakin bahawa ahli rombongan yang belum lagi pergi ke Bukit Jejus akan berpuas hati dengan pemilihan tempat itu. Bagi Aiman, Ferry, Asil, Selly dan Noni yang telah membuat lawatan kali pertama ke Bukit Jejus yang terletak di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan Negeri memang berpuas hati. Kelulusan yang diperolehi dari Jabatan Perhutanan Negeri amat mengujakan.

Kira-kira jam satu tengah hari rombongan mereka sampai di kawasan perkampungan di kaki Bukit Jejus. Terdapat kira-kira 30 buah rumah berada di kaki bukit.

Pemanduan mendaki menuju ke tempat perkhemahan sedikit mencabar kerana laluan licin dan berbatu. Bagaimanapun tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Mereka sampai ke tapak perkhemahan dengan selamat.

Selesai makan tengah hari dan solat zohor di bangunan sedia ada, kerja-kerja memunggah turun peralatan perkhemahan bermula. Sebagaimana pembahagian tugas, lapan orang terlibat dengan pemasangan khemah, lima orang terlibat menyediakan makan malam. Manakala Aidil menyiapkan atur cara aktiviti untuk di sesuaikan pada malam nanti kerana keadaan cuaca kurang mengizinkan.

Hari pertama perkhemahan telah berlalu. Tetapi pada hari kedua cuaca amat tidak mengizinkan. Hujan turun tidak berhenti-henti. Sebahagian hari itu dihabiskan dengan hanya berada di dalam khemah dan di bangunan khas. Aktiviti mendaki puncak Bukit Jejus yang telah dirancang lebih awal terpaksa dibatalkan. Mereka mengambil keputusan untuk dilaksanakan pada keesokan hari.

Seharian hari itu Aidil banyak termenung. Dia mula teringat pesanan papa dan mamanya.

“Tak sesuai kau orang nak berkhemah musim ini. Musim ini musim tengkujuh. Kawasan berbukit begitu tentunya banyak menerima hujan.”

Tapi Aidil berkeras. Dia tetap meneruskan perancanganya.

“Hanya bulan ini saja yang kami free papa.”

Menjelang maghrib hujan makin lebat. Selesai makan malam secara ala kadar, mereka bermesyuarat di bangunan khas. Keputusan muktamad yang mereka ambil adalah membatalkan perkhemahan jika hujan terus turun keesokkan harinya. Semua bersetuju dengan cadangan Aidil. Keputusan itu dibuat demi keselamatan mereka bersama.

Sebaik sahaja mereka memasuki khemah untuk tidur, tiba-tiba ketenangan malam itu dikejutkan dengan kebisingan bunyi injin bot berkuasa tinggi. Mereka semua terkejut. Masing-masing menyalakan lampu di khemah.

Seketika kemudian bunyi injin bot terhenti. Berganti pula dengan bunyi riuh suara manusia dari bawah tapak perkhemahan. Terdapat banyak cahaya yang berkilau menuju ke arah mereka.

Aidil kemudian mengarahkan anggota perkhemahan berhimpun di bangunan khas. Sebaik semuanya telah berada di hadapan bangunan tersebut, bayangan beberapa susuk tubuh yang masing-masing membawa lampu suluh menuju ke arah mereka.

“Assalamualaikum. Kami dari Pasukan Bomba dan Penyelamat daerah ini. Untuk makluman tuan-puan seramai 69 orang dari sepuluh keluarga yang tinggal di perkampungan kaki bukit ini telah ditenggelami banjir. Kami akan memindahkan mereka ke sini bila-bila masa. Harap awak semua faham”

Aidil dan rakan-rakan hanya mendengar maklumat dari pegawai Bomba dan Penyelamat itu. Mereka berdiri kaku tanpa berkata walau pun sepatah. Mereka trauma dan terkejut.

“Jadi kami…?” suara Aidil tersekat-sekat.

“Kami amat menghargai jika kamu semua dapat membantu kami menguruskan tempat tinggal untuk kanak-kanak dan warga emas. Gunakan bangunan berbumbung ini sebagai tempat pemindahan sementara.” suara pegawai itu garau dan tegas.

Aidil berpaling ke arah rakan-rakanya meminta persetujuan.

“Kami setuju.” bergema suara ahli Persatuan Kembara Muda Taman Saujana memecah kesunyian malam.

Tepat jam 12.00 tengah malam, silaturahim antara mereka dan lima orang anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat.

Saat itulah bermula tugas baru yang tidak langsung tersenarai dalam jadual perkhemahan mereka!

Tidak lama selepas itu sebuah demi sebuah bot Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia membawa mangsa banjir. Mereka kemudian bersama-sama mendirikan khemah sebagai tempat perlindungan sementara untuk mangsa banjir.

Pengalaman semasa menyertai KESATRIA di pusat pengajian tinggi dahulu digunakan sepenuhnya oleh ahli Persatuan Kembara Muda Taman Saujana. Mereka berganding bahu membantu mangsa-mangsa banjir.

Menjelang subuh, urusan pemindahan mangsa-mangsa banjir telah selesai. Kesemua 69 orang mangsa banjir sudah pun berada di Bukit Jejus, sebagai pusat pemindahan sementara. Manakala Selly, Noni, Eles, Bibi dan berapa orang lagi ahli perkhemahan perempuan yang tidak terlibat dengan pemasangan khemah, sedang bertungkus lumus menyediakan makanan untuk mangsa banjir.

Ketika bertugas di bilik gerakan pagi itu, Aidil menerima panggilan telefon dari mamanya.

“Mama tengok berita di televisyen. Banjir besar melanda perkampungan Bukit Jejus, Bagaimana keadaan Aidil dan ahli rombongan?” Aidil tersenyum sendirian mendengar pertanyaan mamanya itu.

“Alhamdulillah, kami semua selamat mama. Tempat perkhemahan kami sudah bertukar menjadi pusat pemindahan banjir sementara. Kami tidak lagi buat sebarang aktiviti. Kami sekarang menjadi petugas banjir. Kami hanya boleh balik setelah banjir sudah surut sepenuhnya dan semua mangsa banjir sudah balik ke rumah masing-masing.”

“Semua makanan yang kami bawa juga telah menjadi makanan mangsa banjir. Kami pun makan nasi kawah mama.”
Selesai saja bercakap dengan mamanya, Aidil menanggalkan jadual aktiviti perkhemahan yang tertampal di dinding. Dia melipat rapi dan memasukkannya ke dalam fail.

Yang terpampang di dinding ketika itu hanyalah jadual bertugas para sukarelawan.

 

MUKHTAR MUSTAFA dilahirkan pada 10.12.1955, di Kampung Bakat, Gual Periok. Pasir Mas, Kelantan. Mula menulis sekitar tahun 1975 genre Puisi, Cerpen, Drama Radio.

Antalogi cerpen yang pertama Wau Bulan Teraju Tiga terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka pada tahun 1980 dengan Cerpen Keazaman. Manakala lebih 50 buah drama radio tersiar di stesen-stesen RTM Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan. Telah terlibat dalam 30 antalogi puisi sejak 1975 hingga 2020.

Sekarang sedang giat dalam menyiapkan Antalogi Cerpen Terpasung dan Siri Memoir Diri Guru Menenun Zaman.

Pernah bertugas sebagai pemberita di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan akhbar rasmi Kerajaan Negeri, SINAR KELANTAN sekitar tahun 1978 – 1990.

scroll to top