Tanggung Jawab – Karya: R.Disma

Isteriku geram, kereta arwah suaminya terabai nun jauh di KK dalam keadaan uzur. Selama ini dia menyangka kereta pusaka suaminya itu diletakkan dalam garage oleh cucu kesayangannya, seperti mana  yang cucunya maklumkan dia.

Bohongan cucu bertuahnya itu kedapatan ekornya apabila kereta itu terlihat oleh kami sedang ‘parking’ di bawah sepohon kayu, di kawasan letak kereta sebuah hotel.

Kami menghampiri kereta malang itu. Sedih sungguh hati dan mata isteriku dan anak-anak tiriku melihat keadaan kereta pusaka itu berdaki lumut badannya. Daun-daun kayu mati gugur menimpa cermin depan dan atapnya.

Sungguh kasihan kereta itu bagai bangkai tidak bernyawa diperlaku begitu oleh cucu isteriku, yang tiada rasa tanggung jawab langsung kepadanya.

Semasa kenderaan itu sihat wal afiat ianya diguna pakai dalam pelbagai tujuan oleh cucu isteriku. Dialah kenderaan terpenting dalam hidup penganggurannya, melaksanakan segala aktivitinya. Diguna ke hulu ke hilir oleh si Pemandu.

Masa itu si Pemandu hanya berkerja sebagai pemain bola sepak yang tidak tentu pendapatannya. Dia berwang ketika lepas sesebuah perlawanan rasmi dibayar badan bola sepak yang mengupahnya. Jika tiada perlawanan rasmi maka tiadalah wang saku atau dompetnya berisi.

Hatta pengisi minyak kereta itu pun tiada. Bila ada kerosakan cucu bertuah ini akan meminta wang ongkos daripada Opahnya. Dia hanya tahu pakai sahaja. Alangkah bertuahnya hidup cucu yang dimanjakan isteriku sejak lahir ini. Tidak pernah ditegur marah oleh Opah atau ibu kandungnya.

Segala tingkah laku baik atau buruk tiada siapa menegur dan menasihati. Begitulah kelaziman sifat keluarga isteriku ini. Mereka kecut berterus terang jika ada kesilapan laku ahli keluarga. Mengumpat dan cakap belakang lebih diamalkan kepada pelaku salah ahli keluarga.

Sebab itu naik minyaklah ahli keluarga yang tidak bertanggung jawab atas kesalahan dan kesilapan yang berlaku. Aku yang sudah hampir lima tahun memasuki keluarga ini cuba sedaya upaya memperbaiki sikap tabiat buruk itu.

Mula-mula aku lakukan secara berhemah dengan mengikut rentak mereka demi menjaga hati dan menyelami sikap sebenar mereka. Namun aku gagal. Sebab sikap itu sudah berakar umbi dalam kehidupan dan minda mereka masing-masing.

Tugas mengubah sikap dan budaya tabiat manusia ini memang amat sukar kita lakukan dalam jangka masa yang singkat. Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. juga mengambil masa yang amat panjang mendidik dan membimbing kaum Quraish menjadi insan yang mulia.

Tibanya di rumah kami di hujung minggu cucu ini diladeni isteriku persis menatang minyak yang penuh. Bak anak intan berlian yang tinggi nilainya. Layanan yang diberikan isteriku tidak seperti dia melayan anak kandungnya.

Aku pun merasa pelik dan naik hairan. Anak ini kononnya dia jaga sejak lahir sehingga usianya dua belas tahun.

Sudah menjadi lumrah dan sifatnya anak yang kita asuh dengan kasih sayang yang lebih dan mengatasi kasih sayang segala akan membutakan mata hati anak itu melihat kehidupan insan sebenar.

Kehidupan yang berpaksikan kepada nilai-nilai murni dan sopan santun serta akhlak yang mulia di mata masyarakat manusia dan Maha Pencipta.

Filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjodol Anakku Sazali sepatutnya diteladani para ibu bapa untuk tidak meletakkan kasih sayang di tempat yang salah, seperti yang berlaku kepada Sazali yang diberi kemanjaan di atas kemewahan bapanya.

Akhirnya anak itu bertindak di luar batasan kemanusian yang akhirnya menyalahkan bapanya dengan apa yang dia lakukan ketika meningkat dewasa. Cucu Opah ini belumlah lagi seperti Sazali dalam filem itu. Dia tidak melakukan jenayah curi dan melepak tak tentu arah.

Namun sikapnya yang tidak boleh ditegur nasihat itu yang menghinakan dirinya. Dia tidak menyedari sikapnya membiarkan kenderaan Naza yang banyak membantu dia dalam hidupnya daripada menumpang kenderaan grab atau naik kereta bertambang, apabila pulang ke kampung dan berurusan dengan majikan persatuan bola sepaknya, adalah salah.

Dia lupa itu semua apabila dia sudah berkerja dan miliki wang saku setiap hujung bulan. Kenderaan itu jatuh sakit ketika dia masih pengangguran. Kacang lupakan kulit! Kenderaan itu adalah peninggalan suami isteriku. Arwah meninggalkan enam orang anak perempuan dan empat orang lelaki.

Seorang daripada anak lelaki arwah yang berkerja tidak punya kenderaan untuk membantunya ke tempat kerja. Sepatutnya kenderaan Naza ini diberikan kepada anak lelaki bungsu ini yang lebih berhak.

Namun isteriku yang tersangat sayang kepada cucu seorang ini memberikan kenderaan ini kepadanya untuk dijaga dan diguna pakai.

“Kalau abanglah menjadi ayang, kereta itu abang serahkan kepada Kadir yang punya pekerjaan tetap. Pengisi minyak kereta tidak payah ayang beri. Dia ada gaji. Apa lagi kalau ada kerosakan dia mampu memperbaikinya dengan wang gajinya sendiri.” Aku menarik nafas.

“Insuran dan cukai jalan juga dialah yang tanggung semua. Biar dia bertanggung jawab kepada kenderaan pusaka arwah bapanya itu. Bukan macam cucu kesayangan ayang sekarang ini. Dia hanya tahu pandu pakai kereta itu. Ada kerosakan, dia telefon Ayang minta duit.” Aku menelan air liurku sebelum meneruskan leterku.

“Membaharui insuran dan road tax kereta pun dia telefon ayang minta duit? Bertuah dan senangnya cucu kesayangan ayang itu? Hidup mengalahkan anak saudagar kaya!” Panjang lebar aku meleteri isteriku yang hanya mampu diam mendengar leteranku malam itu. Mungkin dia juga bersetuju dengan leteranku itu.

Aku merespon rungutannya kepada kereta arwah suaminya yang diabaikan cucu kesayangannya, di bawah pokok kayu itu, berembun, berhujan dan berpanas di sana, tanpa selimut dan tanpa penjagaan rapi seperti menyuci lumut yang mendaki dibadannya.

Aku tidak berpuas hati dengan leteranku hanya isteriku yang mendengarnya. Aku mahu cucu kesayangannya itu disedarkan daripada kealpaannya, bertanggung jawab kepada kereta pusaka itu. Lantas aku hantar pesanan suara kepadanya.

Aku tekankan rasa tanggung jawabnya kepada kenderaan pusaka itu untuk mengumpul wang pembaik pulih. Dan membalas kasih sayang Opah kepadanya dengan membolehkan kereta itu berjalan semula di jalan raya atas kos daripada dia.

Dia yang memakai dan mengguna kenderaan itu sejak arwah atoknya kembali ke rahmatullah. Pakcik-pakcik dan makcik-makciknya yang lebih berhak kempunan memiliki kereta pusaka itu sebab Opah serahkan kepada dia.

Kusangkakan teguran dan nasihat baik yang aku berikan, dia terima dengan hati terbuka dan dada yang lapang. Tetapi disebaliknya dia tanya aku siapa, yang suka campur hal dia. Konon dia lebih faham dan tahu apa itu tanggung jawab?

Kuperli dia dengan mengulangi perkataanku yang kereta itu dia abaikan bagai ‘bangkai anjing’ di bawah pokok kayu itu, berembun, berpanas dan berhujan, serta berlumut badannya tanpa dicuci, itukah namanya dia bertanggung jawab? Dia tetap dengan kedegilan hati mudanya yang mudah melenting.

Setiap hujahku dalam pesanan suara itu aku akhiri dengan pohonan maaf agar hatinya tidak terguris. Namun dia dengan hati iblisnya tidak sesekali pun mohon maaf atas lentingan suaranya yang kurang sopan dan kurang adab itu.

Sebagai orang tua aku terpaksa terima dengan sabar dan berharap suatu hari dia akan menyedari kesilapannya.

Pakcik-pakcik dan makcik-makciknya yang berhati insan menyebelahi aku. Demikian dengan isteriku. Namun ada juga makciknya yang sekepala dengannya, yang pernah aku tegur dan nasihati dahulu atas sebab meninggalkan suami duduk sendirian di rumah selama seminggu.

Suaminya berkerja mencari nafkah untuk keluarga. Sedangkan dia sebagai isteri berpoya-poya dengan kawan akrab perempuannya di kampong.

Kubiarkan cucu tiriku dengan egonya. Macamana pun natijah daripada pesanan suaraku yang bernas itu membolehkan dia bertindak menghantar kereta terabai itu ke halaman rumah isteriku. Setiba di halaman rumah kami, kereta pusaka itu aku dan isteriku cuci badannya yang berdaki itu dengan sabun.

” Biarkan cucumu itu kumpul duit dulu untuk membaik pulih kereta pusaka arwah suamimu itu…” Ujarku lepas kami menyelimutinya dengan kanvas.

Kasihan dan malang sungguh nasib si Naza Pusaka. Hanya aku dan isteriku memperduli dia. Anak-anak isteriku yang ada di kawasan dia diletakkan, tidak pun mengambil tahu nasibnya. Kanvas yang kami selimutkan dia, jika terbuka dek ditiup angin, mata-mata anak tiriku yang melihatnya bogel, tidak pun diselimutkan kembali oleh mereka.

Aku merasa pelik kenapa mereka tergamak membiarkan begitu. Sedangkan aku yang hanya merupakan bapa tiri kepada mereka dan tidak punya kepentingan mutlak kepada kenderaan itu, merasa simpati tidak sanggup membiarkan kereta pusaka arwah suami isteriku itu terbiar dipanah mentari panas terik dan disirami embun dan hujan.

Aku tidak ada kepentingan kepada kereta pusaka itu sebab aku memiliki tiga buah kenderaan sendiri, hasil belian wang aku masa bekerja dulu. Hanya dua kenderaan yang aku dan anakku pakai. Sebuah lagi parking dalam garage rumahku, dalam keadaan baik. Boleh dipakai bila-bila sahaja. Insuran dan cukai jalannya hidup. Tidak seperti si Naza pusaka itu.

Jelas di mata hatiku mereka semua tiada rasa tanggung jawab kepada harta pusaka peninggalan arwah bapa mereka.

“Kasihan kau Naza tua…!”

 

R.Disma atau nama sebenarnya Hj Mukadis bin Hj Majid dilahirkan di  Kg Kiandut, Pitas Sabah. Beliau mendapat pendidikan awal di Govt Primary School Kudat dari Darjah 1 hingga VI dar tahun 1964 hingga 1968 kemudian melanjutkan pendidikan hingga Form V MCE 1974 di Govt Secondary School Kudat. Selepas itu beliau berkhidmat sebagai Ketua Kerani di Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah 1976 hingga 1996, Office Supervisor di Borneo Samudera Sdn Bhd (BSSB) dari tahun 1996-2012.Mula menulis sejak di bangku sekolah menengah. Karyanya pernah tersiar di Majalah Perintis 1972-1974, RTM Sabah 1975, Daily Express, New Sabah Times, Utusan Borneo, Sabah360online.com.Pernah memenangi beberapa peraduan menulis seperti Peraduan Menulis Cerpen  & Puisi Anjuran Sabah Times, BAHASA dan SEDCO Sabah 2012/2013.Kini  beliau menetap di Taman KDC Kota Marudu.

 

 

 

 

 

 

scroll to top