30 Pemain Labuan Hadiri Sesi Pemilihan Piala Presiden Sabah FC

Sophian (lima kanan) dan Mohd Raiful (lima kiri) bersama Jelius (empat kiri), Burhan (tiga kiri) dan Matlan (enam kiri),

LABUAN: Seramai 30 pemain bola sepak di Wilayah Persekutuan Labuan telah menghadiri sesi pemilihan skuad Piala Presiden Sabah FC (Bawah 21) yang diadakan di Padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan pada Ahad lalu.

Sesi pemilihan Zon Labuan itu dikendalikan Ketua Jurulatih Piala Presiden Sabah FC, Jelius Ating yang dibantu oleh penolong jurulatih, Burhan Ajui dan jurulatih penjaga gol, Jasrin Jabidin dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) peringkat Daerah serta Scouting Team, Matlan Marjan.

Jelius berkata pada peringkat awalnya sesi latihan itu hanya melibatkan daerah di Sabah iaitu Zon Tawau, Sandakan Beaufort, Keningau, Ranau, Kudat dan Kota Kinabalu yang sepatutnya berakhir pada 6 Januari lalu.

Bagaimanapun katanya, atas permintaan Presiden LAFA, Sophian Said supaya sesi pemilihan skuad Piala Presiden Sabah FC turut diperluaskan ke Labuan, maka pihaknya bersetuju mengadakan sesi pemilihan terakhir di Zon Labuan untuk melihat anak muda Labuan bawah 21 tahun yang berpotensi untuk diserapkan ke sesi latihan pemilihan awal Skuad Piala Presiden Sabah FC.

Pemain muda Labuan yang menyertai sesi pemilihan Piala Presiden Sabah FC (Bawah 21) 2022.

Beliau berkata, seramai 60 pemain yang layak akan dipilih untuk menyertai sesi pra pemilihan yang akan diadakan di Kota Kinabalu pada minggu depan.

“Mereka yang layak untuk menghadiri sesi pemilihan itu bukan sahaja akan bersaing sesama sendiri tetapi juga terpaksa bersaing dengan pemain sedia ada (Bawah 19 tahun) untuk mendapat tempat dan hanya 25 pemain sahaja akan dipilih untuk mewakili Skuad Bola Sepak Piala Presiden Sabah FC musim 2022,”katanya.

Sesi pemilihan Zon Labuan berjaya diadakan hasil usaha Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Labuan.

Turut hadir pada sesi pemilihan itu, Presiden LAFA, Sophian Said dan Penolong Pengarah JBS Labuan, Mohd Raiful Madarun.

scroll to top