Azizulhasni, Shah Firdaus Teruskan Cabaran Dalam Acara Pecut

TOKYO: Pelumba berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya mengatasi lawan masing-masing pada perlumbaan Repechage 1/16 bagi melayakkan diri ke Pusingan Ketiga 1/8 acara pecut lelaki di Olimpik Tokyo kelmarin.

Azizulhasni, yang sebelum itu tewas kepada Nocholas Paul dari Trinidad and Tobago pada Saringan 4 Pusingan kedua 1/16, terlalu pantas buat pelumba Kanada Nick Wammes dalam Saringan 4 Perlumbaan Repechage 1/16.

Sementara Muhammad Shah Firdaus juga tigak mempersia-siakan peluang keduanya pada acara itu selepas menang bergaya ke atas pelumba Poland Patryck Rajkowski pada Saringan 3 Perlumbaan Repechage 1/16.

Sebelum itu, perlumbaan terpaksa diadakan semula selepas pelumba Poland itu terjatuh selepas berlanggar dengan Muhammad Shah Firdaus pada pusingan pertama perlumbaan tiga pusingan itu.

Terdahulu pada Pusingan Kedua 1/16, Muhammad Shah Firdaus tewas kepada pelumba Great Britain Jack Carlin.

Cabaran sukar menunggu Azizulhasni pada Saringan 1 Pusingan Ketiga 1/8 kerana pemenang pingat gangsa di Rio 2016 itu akan bertemu pelumba dari Belanda Jeffrey Hoogland, yang memecahkan rekod Olimpik dengan catatan 9.215 saat, pada pusingan kelayakan awal hari ini.

Muhammad Shah Firdaus pula berpeluang untuk membalas kekalahannya kepada Harrie Lavreysen pada Pusingan Pertama 1/32 hari ini, kerana kedua-dua mereka akan bertemu semula pada Saringan 2, Pusingan Ketiga, hari ini.-Bernama.

scroll to top