KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto tuntut pemain bangkit raih mata penuh semua baki tiga perlawanan Liga Supernya bermula menentang UiTM FC di Stadium Shah Alam, esok.
Sabah FC sudah tidak mampu memburu sasaranya untuk berada di kedudukan lima pasukan teratas musim ini.
Bagaimanapun, mereka ada tanggungjawab untuk sekurang-kurangnya mengekalkan kedudukannya di tangga ketujuh sekarang iaitu kedudukan yang boleh dipastikannya sendiri dengan syarat menang semua bagi perlawanannya.
Sabah FC kini ditangga ketujuh dengan 19 mata tetapi hanya satu mata di atas PJ City FC di tangga kelapan dan dijarakkan dua mata dengan Melaka United FC serta Sri Pahang.
Di zon penyingkiran ialah Perak FC (13 mata) dan UiTM FC (enam mata).
Carta liga membabitkan 12 pasukan itu didahului juara bertahan JDT (48 mata) diikuti Terengganu (37 mata), Kedah (35 mata), Penang FC (34 mata), Selangor (32 mata) dan KL City (27 mata).
Kedudukan terkini itu menyaksikan Sabah FC perlu empat mata saja untuk sahkan statusnya kekal dalam saingan Liga Super musim depan.
Sehubungan dengan itu, Kurniawan berharap anak-anak buahnya bangkit mempamerkan kualiti sebenar mereka sekali gus menamatkan kebuntuan kemenangan yang gagal dijelmakannya tujuh perlawanan berturut-turut sebelum ini.
Terakhir, mereka tewas 0-3 di tangan Penang FC di halaman sendiri minggu lalu.
Kurniawan berkata, ia kekalahan yang mengecewakan tetapi percaya pemain masih mampu bangkit.
Menyifatkan kekalahan kepada Penang FC di laman sendiri minggu lalu sangat menyakitkan dan beliau bertanggungjawab atas kekalahan itu.
“Saya percaya dengan kemampuan dan kualiti para pemain dan `last game’ pun sebenarnya `ball possesion’ kita menang hanya memang kita belum bisa `score’ dan mengalami kekalahan.
“Jadi saya berharap para pemain terus bangkit menambah motivasi dan semangat serta tetap dengan `fighting spirit’ mereka dan yang paling penting bagaimana mereka bisa bermain tanpa sebarang tekanan walaupun kita memerlukan point penting di tiga perlawanan terakhir dan berharap para pemain bisa bermain dengan kemampuan sebenar mereka,” tegasnya.
Kurniawan berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas sesi latihan pada Khamis di Kota Kinabalu.
“InsyaAllah, saya mohon doanya dari semua penyokong agar Sabah FC bisa memaksimalkan tiga perlawanan terakhir kita,” kata Kurniawan.
Beliau selalu menekankan kepada para pemain bahawa mereka harus bisa menentukan nasib kelab sendiri tanpa harus bergantung dengan pasukan lawan.
“Mudah-mudahan para pemain satu hati untuk bisa tampil maksimal dan meraih hasil yang maksimal,” katanya.
Selepas aksi menentang UiTM FC, The Rhinos akan kembali ke Stadium Likas pada Ahad (5 Sept) bertemu Selangor FC sebelum menamatkan saingan Liga Super musim ini menentang Perak FC di Stadium Ipoh, Perak pada 12 September nanti.