Barisan panel pemilih sedia jalankan tugas

David (duduk tengah) hadir pada mesyuarat dan taklimat panel pemilih Piala Belia dan Piala Presiden yang bakal berlangsung 6 hingga 14 Januari ini.

KOTA KINABALU: Barisan panel jurulatih sudah dilantik bagi menjalankan sesi pemilihan pemain bagi pasukan Piala Presiden dan Piala Belia untuk saingan musim 2023.

Sesi pemilihan selama lapan hari yang bermula 6 hingga 14 Januari itu akan dikendalikan di lapan zon seluruh negeri ini.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), David Wisom berkata, senarai jurulatih yang dilantik adalah dalam kalangan jurulatih yang berkelayakan.

Katanya, antara yang dilantik adalah bekas jurulatih pasukan Sabah seperti Jelius Ating, Justin Ganai, Burhan Ajui, Matlan Marjan, Dzulfaizal Ag Anak, Zallius Robert, Ledy Malantang dan Jasrih Jabirin.

“Pemain yang dipilih untuk kali ini bukan saja untuk dua kejohanan tahun hadapan tetapi sebahagian daripada perancangan jangka masa panjang SAFA.

“Jurulatih yang dipilih juga adalah terdiri daripada mereka yang berkelayakan dan mampu mempersiapkan pasukan untuk bersaing dan seterusnya membangunkqn mutu bola sepak di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat dan taklimat akhir panel pemilih bagi sesi pemilihan pemain bawah 18 dan 20 tahun di Pejabat SAFA, di sini.

Turut hadir, Penolong Setiausaha Agung, Azman Mastar; Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Shamsuddin Mohd Shah dan Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat.

David berkata, antara daerah yang bakal diadakan ialah Beaufort, Keningau, Tawau, Sandakan, Telupid, Kota Marudu dan Tuaran serta Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, David berkata, setiap pemain yang berminat untuk menyertai sesi pemilihan ini boleh mendaftar secara atas talian.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi https://forms.gle/LhrjMsquYycmcwVz6 untuk pendaftaran Piala Belia bawah 18 tahun.

“Manakala pemain untuk Piala Presiden boleh disalurkan ke https://forms.gle/LhrjMsquYycmcwVz6,” katanya.

Sementara itu, bekas jurulatih Sabah, Jelius Ating berkata, setiap pemain yang berminat untuk menyertai sesi pemilihan ini digalakkan supaya melakukan persiapan awal.

Katanya, ia bagi memastikan prestasi dan disiplin pemain berada pada tahap terbaik sepanjang sesi pemilihan berkenaan.

 

 

scroll to top