Bidikan Istimewa Mampu Dijelmakan Nur Suryani Di Tokyo

KUALA LUMPUR: Di sebalik tempoh persediaan yang singkat, kemampuan penembak wanita negara Nur Suryani Mohamed Taibi untuk mencipta kejutan melakar keputusan sensasi pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak boleh dipersoal.

Ia disebabkan atlet berusia 38 tahun itu berjaya melepasi rekod kebangsaan acara 50 meter (m) rifle tiga posisi wanita miliknya iaitu 1172 mata selepas mengumpul 1182 mata dalam sesi latihan terakhir di sini sebelum berangkat ke Tokyo, namun rekod itu tidak diiktiraf kerana tidak memenuhi kriteria.

Namun, apa yang mengagumkan apabila Nur Suryani berjaya melakukan catatan itu dalam tempoh lima minggu sejak mula mengangkat ‘senjatanya’ selepas disahkan layak beraksi di Tokyo, malah beliau juga tidak menyertai sebarang kejohanan sejak Mac tahun lalu susulan penularan pandemik COVID-19.

Jurulatih kebangsaan Mohd Yusri Jusoh tidak menolak kemungkinan sesuatu yang istimewa mampu dijelmakan Nur Suryani di Lapang Sasar Menembak Asaka pada 31 Julai ini.

“Nak buat perkara luar biasa agak sukar tetapi berdasarkan prestasi sebelum pergi (ke Tokyo), standard itu sudah ada cumanya sekarang bergantung dari segi perasaan menghadapi kejohanan sahaja,” katanya kepada Bernama, hari ini.

“Jika dia (Nur Suryani) boleh bawa momentum dan prestasi seperti di Kuala Lumpur, dia akan buat sesuatu yang menarik,” tambah Mohd Yusri yang mengharapkan anak buahnya dapat terus mengawal emosi dan tekanan dengan baik.

Pada masa sama, beliau berkata Nur Suryani semakin menyesuaikan diri dengan suasana serta keadaan cuaca yang panas dan berangin di lapang sasar menembak selepas diberikan masa yang cukup menguji venue pertandingan selama tiga hari berturut-turut sejak Isnin lepas.

Menurut beliau, selain perlu menyesuaikan diri melepaskan bidikan dalam keadaan cuaca panas mencecah 34 darjah celcius, Nur Suryani turut perlu ‘membaca’ kelajuan pergerakan angin di venue untuk memudahkannya pada hari pertandingan.

Dengan hanya akan kembali menjalani latihan di venue pertandingan bermula 28-30 Julai ini, Mohd Yusri berkata tempoh itu akan digunakan semaksimumnya untuk memahami keperluan sebenar semasa hari pertandingan demi memastikan Nur Suryani berada pada tahap terbaik ketika melakukan bidikan.

“Bukan masa untuk cerita pasal taktikal dan teknikal lagi dah, yang penting perasaan dan mental dia, dalam temasya sukan besar macam ini kita mahukan dia tenang, kita kawal emosi dia, jaga persekitaran dia,” jelasnya.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini menjadi penampilan kedua Nur Suryani di temasya sukan berprestij itu selepas mencuri tumpuan peminat sukan global pada Sukan Olimpik 2012 di London, apabila bertanding meskipun sedang sarat mengandung lapan bulan.

Mempunyai reputasi baik dalam negara, beliau turut banyak mengharumkan nama Malaysia menerusi pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa, antaranya merangkul pingat perak dan gangsa Sukan Asia 2014, pingat gangsa Sukan Komanwel 2014 dan beberapa siri kejayaan dalam penyertaan di Sukan SEA.- Bernama.

scroll to top