Bola sepak persahabatan pupuk semangat setiakawan dan perpaduan

KENANGAN ... Kedua-dua pasukan merakamkan gambar sebelum perlawanan.

TUARAN: Pasukan Belia Kelab Perumahan Laya-Laya Tuaran mejuarai Piala Sumbangsih bola sepak persahabatan setelah menumpaskan Pasukan Veteran Perumahan Laya-Laya 2-0.

Mereka membawa pulang piala pusingan dan piala rebutan dalam perlawanan yang berlangsung di padang Kelab Perumahan Laya-Laya, di sini.

PASUKAN VETERAN PERUMAHAN LAYA LAYA merakamkan gambar bersama Ag.Ismail (berdiri tengah) sebelum sepak mula.

Dalam pada itu, penasihat pasukan Kelab Bola Sepak Perumahan Laya-Laya, Ag.Ismail Haji Abu Bakar yang ditemui berkata, aktiviti ini diadaka setiap 6 bulan sekali.

Katanya, penganjuran bola sepak persahabatan ini bertujuan untuk meningkatkan mutu permainan kedua-dua pasukan dan mengeratkan tali silaturahim.

“Perlawanan sebelum ini menyaksikan pasukan Veteran Laya-Laya muncul juara dengan jaringan 6-4 pada bulan Disember 2021,” katanya.

SANTAI … Ag.Ismail bersama Azman (tengah) dan Datu Jumrie B. Datu Junaidi.

Ismail merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih kepada para penyumbang hadiah antaranya, Salleh Ali.

“Terima kasih juga kepada pihak pengurusan terdiri dari Azman Ismail, Badrul Abdullah, Datu Jumrie Datu Junaidi dan Sahidun Rashid (jurulatih) yang sentiasa berganding bahu dalam menjayakan program ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Salleh ketika ditemui berkata aktiviti sebegini boleh dijadikan sebagai platform dalam membentuk permuafakatan dan perpaduan.

Katanya, aktiviti sebegini memperlihatkan satu pendekatan yang baik dalam bidang kemasyarakatan khususnya di kalangan warga Perumahan Laya-Laya serta masyarakat setempat.

PEMAIN TERBAIK … Ag.Ismail menyampaikan anugerah Pemain Terbaik kepada Nusin Kiki.

“Program ini juga mercu kepada perpaduan dalam membina titian silaturahim tanpa mengira bangsa, agama dan suku kaum,” ujarnya.

Nusin Kiki yang cemerlang sepanjang perlawanan diumumkan ‘Pemain Terbaik’ .

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ag. Ismail Hj. Abu Bakar.

scroll to top