Dua murid SMK Pantai raih kejayaan Taekwondo Antarabangsa

GBR1 – Pengetua SMK Pantai, Ismail Abdullah bersama Rosyam Qusyairi (kiri) dan Mohammad Farish bersama pingat yang dimenangi.

LABUAN: Dua orang murid SMK Pantai telah meraih kejayaan membanggakan dalam Kejohanan Taekwondo Peringkat Antarabangsa pada akhir tahun 2022.

Murid Tingkatan 4 SMK Pantai, Rosyam Qusyairi Aspar telah memperolehi satu pingat emas dalam Kejohanan AOT Cup 3rd Open International Taekwondo Championship 2022  yang berlangsung di Ryan International School, Bengaluru India pada 28-20 Disember 2022.

Kejohanan tersebut disertai oleh 7 buah negara iaitu India, Malaysia, Ethiopia, Ghana, Amerika Syarikat, Nepal dan Bangladesh.

Rosyam merupakan peserta tunggal dari Wilayah Persekutuan Labuan bersama 10 orang peserta lain yang mewakili Malaysia bertanding di bawah Kelab Taekwondo MTH (WTF).

Sementara itu, seorang lagi murid Tingkatan 4 SMK Pantai, Mohammad Farish Shamir Kasmir, telah berjaya memenangi pingat perak dalam Kejohanan 2nd Korea Ambassador Cup yang berlangsung di Negara Brunei Darussalam.

Di kejohanan yang disertai oleh Malaysia, Korea dan Negara Brunei Darussalam. Mohammad Farish Shamir juga menyertai kejohanan tersebut di bawah Kelab Taekwondo MTH (WTF),

Pengetua SMK Pantai, Ismail Abdullah berharap pencapaian kedua-dua murid ini akan meningkatkan semangat mereka untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada tahun ini.

Pada masa sama, Ismail berharap kejayaan yang membanggakan itu akan memupuk minat murid-murid lain untuk terlibat dalam aktiviti Taekwondo.

“Pihak sekolah akan terus memberi galakan dan sokongan kepada murid-murid selaras dengan slogan “SMK Pantai Mengangkat Martabat Murid” dan salah satu Fokus Kerja 2023 SMK Pantai iaitu “Pengantarabangsaan,”katanya.

Ismail tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan, tahmiah dan terima kasih kepada ibu bapa, jurulatih dan guru-guru yang terbabit.

scroll to top