Fredoline-Charlie sumbang emas acara recurve untuk Sabah

KUALA LUMPUR: Pasangan pemanah para Sabah, Fredoline Modius dan Charlie Jikulis mempamerkan panahan bergaya untuk muncul juara acara recurve lelaki berpasukan temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022, pada Ahad.

Pada aksi di Padang Turf Majlis Sukan Negara (MSN) itu, Fredoline-Charlie menewaskan pasangan memanah Terengganu, Muhammad Azaruddin Mat-Wan Muhammad Subkisarhan Wan Abdul Rahim dengan keputusan 6-0.

Keputusan itu sekali gus memperbaiki pingat gangsa dimenangi kedua-dua atlet para itu semasa menyertai acara sama di Para Sukma 2018, Perak.

Berkongsikan kegembiraan itu, Charlie, 30, dari Papar tidak menyangka usaha keras bersama Fredoline, 36, dari Tambunan yang membentuk gandingan sejak 2018 itu akhirnya membuahkan kejayaan pingat emas.

“Sebelum ini semasa bertanding acara berpasukan kami antara yang mempunyai prestasi tinggi jadi daripada situ kami mula bergandingan.

Apa pun saya rasa gembira dan tidak sangka dengan kejayaan ini biarpun menjalani latihan yang kurang tapi itulah kami rasa sangat bersyukur,” kata Charlie kepada pemberita.

Terdahulu pada saingan hari terakhir Para Sukma 2022, rakan senegerinya itu (Fredoline) turut menghadiahkan pingat emas buat Kontinjen Sabah selepas masing-masing bertemu di pentas akhir acara recurve individu lelaki yang menyaksikan dia tewas dengan keputusan 2-6.-BERNAMA.

scroll to top