LABUAN: Semangat kesukanan yang tinggi dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan menjadi mercu kejayaan pelaksanaan Fun Run Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) Tahun 2022 yang telah diadakan di Padang Majal, Kampung Pohon Batu, Sabtu lalu.
Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam yang menjalankan tugas Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Kamariah Salim berkata, Fun Run JPWPL merupakan salah satu daripada aktiviti Karnival Sukan Jabatan Pendidikan Labuan yang telah dilaksanakan sejak 26 November yang lalu.
Katanya, antara aktiviti yang telah dilaksanakan ialah Pertandingan Bola Sepak, Bola Jaring, Bola Tampar, Badminton dan Golf.
“Aktiviti ini selaras dengan usaha kerajaan mengambil langkah yang bersepadu ke arah mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara yang bersukan bukan sahaja di sekolah bahkan di peringkat jabatan sekaligus dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang cergas, aktif dan produktif,”katanya.

Para peserta tidak melepaskan peluang bergambar bersama Mohammad Firli Firzuan (tiga kanan) yang memenang hadiah utama cabutan bertuah iaitu basikal lipat.
Kamariah berkata seawal pukul 6.30 pagi para peserta telah berhimpun di tapak perhimpunan untuk sama-sama melakukan aktiviti senam aerobik yang diketuai oleh Zin Tony.
Pelepasan peserta Fun Run telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Yahya Ahmad Puteh yang mewakili Pengarah JPWPL, Yusup Mohamad.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam menjalankan tugas Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Kamariah Salim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas menjalankan tugas Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Noraini Sahbudin dan Ketua Penolong Pengarah Unit Bakat Murid, Samsul Mandisin.
Hadir sama, Penyelaras Program, Joe Hilmi, Pegawai Teknikal Fun Run, Aznan Abidin, Guru Besar, pegawai jabatan, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid.
Walaupun hujan, ianya tidak menghalang kira-kira 300 peserta menjayakan larian sejauh 5 kilometer itu.
Mereka terdiri daripada warga pendidikan, guru, anggota kumpulan pelaksana dan murid.

SUASANA program itu.
Penyampaian hadiah cabutan bertuah telah menyemarakkan lagi kemeriahan Fun Run biarpun dalam suasana hujan.
Hadiah utama berupa basikal lipat telah dimenangi oleh Pegawai SSTP, Mohammad Firli Firzuan.
Kamariah mengucapkan terima kasih kepada AJK Penganjur dan semua peserta yang menjayakan Fun Run Jabatan Pendidikan Labuan 2022.