KOTA KINABALU: Kelab Taekwondo Han Loong yang baru ditubuhkan akan membuat penampilan pertama pada edisi ketujuh Kejohanan Taekwondo Terbuka dan Remaja Peringkat Negeri Sabah 2022.
Kejohanan anjuran Persatuan Taekwondo Bersatu Sabah (UTSA) itu dijadualkan berlangsung di Dewan Sri Putatan pada 29 September hingga 2 Oktober 2022.
Kelab Han Loong dalam kenyataannya hari ini memberitahu bahawa mereka akan menghantar 84 peserta ke kejohanan itu.
“Oleh kerana ini adalah penampilan pertama kami pada kejohanan ini, kami tidak meletakkan sebarang sasaran pingat.
“Sebarang pingat adalah bonus…kami akan cuba buat yang terbaik.
“Kami berterima kasih kepada komitmen semua pihak. Terima kasih juga kepada Nicole Chaw yang telah menaja baju kepada pasukan kami ke kejohanan ini,” kata kenyataan itu.
Kelab Taekwondo Han Loong ditubuhkan pada 2020 tetapi tidak dapat bergerak aktif ketika itu disebabkan pandemik COVID-19.
Mereka hanya mula aktif tahun ini termasuk dengan menyertai kejohanan taekwondo antarabangsa di Kuala Lumpur bulan lalu di mana mereka menang satu pingat emas, tiga perak dan enam gangsa.