Itali Buru Kejuaraan Euro 2020

CEDERA: Spinazzola di angkat ke pengusung akibat kecederaan pada perlawanan Euro 2020 di antara Belgium dan Itali di Arena Allianz di Munich, baru-baru ini. — Gambar AFP

MUNICH: Lorenzo Insigne berkata Itali akan memburu kejuaraan Euro 2020 untuk memberikan penghargaan kepada pemain pertahanan kiri, Leonardo Spinazzola, yang terpaksa meninggalkan kejohanan selepas mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika Itali menewaskan Belgium di suku akhir pada Jumaat lalu.

Spinazzola, 28, diusung keluar dari padang pada minit ke-79 dan dijangka perlu berehat beberapa bulan untuk memulihkan kecederaannya.

“Ia satu kehilangan besar bagi kami. Sekarang kami cuba melangkah sejauh yang kami mampu – untuk beliau. Beliau adalah sangat penting untuk pasukan ini,” kata Insigne, yang menjaringkan gol kedua ketika menewaskan Belgium 2-1 di Munich.

“Kami akan cuba melakukan segala-galanya untuk melangkah ke final untuk beliau,” tambah Insigne menjelang perlawanan separuh akhir menentang Sepanyol di Wembley pada Selasa depan.

Satu rakaman video menunjukkan pasukan Itali memberi sorakan sokongan kepada Spinazzola ketika menaiki penerbangan meninggalkan Munich, tular di media sosial.

“Kami bersimpati dengan ‘Spina’, beliau tidak selayaknya pulang awal,” kata jurulatih Itali, Roberto Mancini.

“Beliau bermain dengan hebat sekali, salah seorang pemain terbaik di Euro. Ia menyedihkan dan kami mengharapkan yang terbaik untuk beliau.”

Penyokong Itali kini mengimpikan untuk melihat juara dunia empat kali itu memenangi Kejohanan Eropah  buat kali pertama sejak 1968, dengan Sepanyol menjadi halangan pertama mereka di separuh akhir.

“Sekarang kami terus bermimpi, tetapi kami tidak terlalu yakin,” kata pemain pertahanan, Leonardo Bonucci.

“Kami memulakan Euro dengan satu impian, biarlah ia menjadi impian ketika ini.

“Kami mempunyai satu perlawanan menentang Sepanyol, pasukan  yang tidak kelihatan menyerlah tetapi sudah mulai bangkit. Ia pastinya satu perlawanan yang hebat.”

Keyakinan cukup tinggi dalam skuad Itali selepas melanjutkan tempoh tanpa kalah sebanyak 32 perlawanan berturut-turut, satu rekod kebangsaan.

Ketika Insigne adalah pemain terbaik perlawanan menentang Belgium, penjaga golnya, Gianluigi Donnarumma juga beraksi cemerlang apabila menepis dua cubaan Romelu Lukaku.

“Ini adalah pertandingan penting yang pertama bagi saya dan sasarannya ialah untuk melangkah sejauh yang kami mampu,” kata Donnarumma.

“Mari berharap kami boleh mencapai impian semua orang. Kami adalah kumpulan pemain hebat yang tidak mengalah.”

Prestasi Donnarumma malah menarik perhatian bekas penjaga gol bintang Belgium, Jean-Marie Pfaff.

“Itali juga mempunyai seorang penjaga gol hebat – Donnarumma memastikan kemenangan pasukannya dengan menyelamatkan dua atau tiga cubaan berbahaya,” kata Pfaff, 67.

“Itali selayaknya menang, mereka menunjukkannya dari awal bahawa mereka mahu menang dan berusaha gigih.” — AFP

scroll to top