JDT benam PJ City 4-0, Selangor seri 1-1 dengan Sabah FC di gelanggang sendiri

PENYERANG JDT, Arif Aiman berjaya melepasi pemain pertahanan PJ City pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Juara lapan kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan lagi kedudukan teratas Liga Super, selepas membenam Petaling Jaya (PJ) City FC 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam Selasa.

Serangan bertali arus skuad Harimau Selatan sejak permulaan perlawanan, menyaksikan gol pendahuluan hadir menerusi penyerang import dari Brazil, Bergson da Silva pada minit ke-23.

Selang tiga minit kemudian, JDT terus meningkatkan jurang apabila sepakan percuma Fernando Martin Forestieri menepati sasaran pada minit ke-26.

Bersambung babak kedua, pemain sensasi JDT, Bergson sekali lagi membolosi gawang PJ City FC pada minit ke-65.

Lima minit sebelum wisel penamat, skuad kendalian Benjamin Mora terus menambah derita buat pasukan pelawat apabila Fernando sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-85.

Sementara itu, Selangor FC gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri, apabila sekadar seri 1-1 menentang Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Skuad Gergasi Merah memulakan perlawanan dengan baik menerusi jaringan minit ketiga daripada penyerang sensasi dari Brazil, Herlison Caion yang melengkapkan hantaran daripada pemain muda Mukhari Ajmal Mahadi.

Namun, Sabah berjaya menyamakan kedudukan pada babak kedua apabila pemain sayapnya, Saddil Ramdani berjaya mengawal bola dengan kemas serta mengelirukan pasukan pertahanan Selangor sebelum menyudahkan gol melalui ledakan padu pada minit ke-53.

Keputusan perlawanan menyaksikan JDT kekal di tangga teratas dengan 22 mata selepas lapan perlawanan, diikuti Sabah dengan 19 mata daripada sembilan perlawanan, manakala Selangor (12 mata) dan PJ City (sembilan mata)  masing-masing berada di kedudukan keenam dan kesembilan.

KEDUDUKAN LIGA SUPER

P M S K J B Mata

Johor DT 8 7 1 0 24 4 22

Sabah 9 6 1 2 16 8 19

Negeri Sembilan 10 5 4 1 14 7 19

Kedah 9 4 2 3 13 17 14

KL City 10 4 1 5 16 18 13

Selangor 8 3 3 2 21 15 12

Sarawak United 11 3 1 7 11 26 10

Terengganu 6 3 0 3 8 7 9

PJ City 9 2 3 4 12 18 9

Melaka United 8 2 2 4 8 11 8

Sri Pahang 10 2 2 6 12 18 8

Penang 10 1 4 5 12 18 7

– BERNAMA

scroll to top