Jelius Mulakan Tugas Bersama Sabah FC

KEMBALI ... Jelius bersama staf kejurulatihan Sabah FC selepas sesi latihan di padang sintetik, kelmarin.

KOTA KINABALU: Bekas ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating  memulakan tugas bersama Sabah FC kelmarin selepas mendapat panggilan sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, beliau hadir dengan tugas baru selaku penolong pengurus pasukan sebagaimana yang diumumkan pengurus pasukan, Marzuki Nasir pada Isnin.

JELIUS ATING.

Ia adalah perkembangan terkini skuad Sabah FC selepas merehatkan ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto susulan prestasi hambar pasukan gagal mencatat sebarang kemenangan lapan perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Super.

Tugas ketua jurulatih kini digalas penolong jurulatih, Burhan Ajui di samping panggilan semula Jelius.

Jelius  dilihat bersama pemain-pemain Sabah FC menjalani latihan di padang sintetik Kompleks Sukan Likas yang turut disertai staf kejurulatihan, kelmarin.

Turut bersama ialah jurulatih Sabah FC III (Piala Presiden) di mana difahamkan beliau turut ditugaskan membantu staf kejurulatihan berikutan pembatalan kejohanan Piala Presiden dan Piala Belia tahun ini.

Kehadiran Jelius disambut baik para pemain dan disifatkan sebagai satu suntikan baru untuk membolehkan jurulatih dapat memulihkan situasi Sabah FC ketika ini.

Sambil itu, Sabah FC  juga memanggil tiga lagi pemain skuad Piala Presiden iaitu bekas pemain skuad bawah 19 kebangsaan, Gerald Gadit, 22,  pemain skuad Sukma 2018, Mohd Hizaz Lokman, 21, dan Naaim Firdaus Stibin, 22.

Gerald merupakan bekas pelajar Sekolah Sukan Negeri, SMK Datuk Peter Mojuntin dan Hizaz adalah bekas pelajar Sekolah Sukan Negeri Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian dan mereka dipanggil menyertai latihan pasukan senior pada awal musim.

Ketiga-tiga mereka adalah antara tujuh pemain dari skuad Piala Presiden yang dipanggil menyertai skuad Sabah FC. Empat yang lain ialah Mohd Hanafi Tokyo Hasim, Sahrizan Saidin, Nureizkhan Isa Jaafar dan Harith Naem.

Sabah FC kini berbaki tiga perlawanan Liga Super sebelum meneruskan cabaran dalam saingan Piala Malaysia.

Mengenai panggilan semula sertai Sabah FC, Jelius menyatakan kesediaan untuk membantu pasukan berkenaan sekali pun sudah berada di penghujung saingan liga.

“Atas kepercayaan pihak pengurusan, saya akan cuba membantu pasukan ini,” katanya.

LATIHAN … Sebahagian pemain FC yang mengikuti latihan di bawah pemerhatian Jelius.

Jurulatih yang berjaya membawa pasukan Sabah menjuarai Liga Perdana pada 2019 itu berkata, “Sabah FC adalah pasukan kita, sudah tentu saya akan sedia membantu.”

Bagaimanapun, katanya, beliau terpaksa membuka semula ‘kitab bolasepak’ memandangkan dia sudah beberapa bulan sejak awal musim tidak bersama dalam pasukan itu.

“Apa pun ia bukan satu masalah, tentu sekali saya akan sedia membantu kerana ini pasukan kita,” tegasnya.

scroll to top