KUALA LUMPUR: Atlet renang negara, Phee Jinq En menyatakan hasrat untuk menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa sebagai medan menguji kemampuan sebenar selain membutirkan kilauan pingat di Sukan SEA Kemboja, pada 5 hingga 17 Mei ini.
Menjadi satu-satunya atlet renang wanita yang layak secara merit ke temasya dwitahunan itu menerusi acara 50 meter (m) dan 100m kuak dada, beliau mengakui agak bimbang selepas sekadar menyertai satu kejohanan tahun ini iaitu Kejohanan Renang Terbuka Malaysia.
Pemenang pingat emas tiga edisi Sukan SEA itu tidak dapat menyembunyikan kekecewaan kerana kurang bersaing di pentas antarabangsa susulan kekurangan dana berkata, setiap atlet negara sepatutnya diberikan lebih banyak pendedahan di pentas lebih besar.
“Saya rasa kita perlu diberikan pendedahan di peringkat lebih tinggi seluruh dunia. Saya harap Majlis Sukan Negara (MSN) dapat beri sokongan kepada kami untuk menyertai pertandingan di luar negara.
“Contohnya, dari 2016 hingga 2021 saya menjalani latihan di Amerika Syarikat (AS), memang sentiasa terdedah dengan kejohanan besar sebab itu boleh mendapatkan hasil yang baik,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi kelmarin.
Jinq En berkata selepas tamat pengajian di AS dan pulang ke tanah air, beliau memerlukan hampir satu setengah tahun sebelum dapat menyesuaikan diri dengan latihan di Malaysia.
Anak buah Chris Martin itu berkongsi corak latihan di AS yang mempunyai kumpulan rakan seperlatihan untuk bersaing, sekali gus membantu menguatkan ketahanan mental dan fizikalnya untuk bangkit selepas kekalahan berbanding ketika ini beliau hanya menjalani latihan sendiri tanpa rakan latihan di Bukit Jalil.
Bagaimanapun, atlet berusia 26 tahun itu tetap positif bahawa beliau berada di landasan betul apabila mula menemukan rentak renangannya dan mampu layak secara merit ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Sukan SEA 2023 serta meraih pingat emas Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2023.
“Saya yakin berada dalam landasan betul walaupun catatan masa ketika ini masih belum layak ke Olimpik Paris 2024, namun saya tidak kecewa sebab ia satu peningkatan. Saya lebih baik berbanding tahun lepas dan apa yang saya perlukan adalah latihan lebih gigih lagi.
“Matlamat saya adalah untuk sentiasa melakukan masa peribadi terbaik supaya boleh memperbaharui rekod kebangsaan milik sendiri. Seperti juga di Hanoi, memang saya ada target podium (di Kemboja) jadi akan usaha sehabis baik,” katanya.
Jinq En adalah pemegang rekod kebangsaan bagi acara 50m kuak dada wanita yang dilakukan pada Sukan SEA 2019 iaitu 31.40saat (s) dan acara 100m kuak dada wanita yang dicipta di Sukan Olimpik 2021 iaitu 1 minit: 08.40s.
Pada Sukan SEA Hanoi 2022, Jinq En terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara 100m kuak dada wanita.-BERNAMA