KUALA LUMPUR: Demi kepentingan pembangunan sukan permotoran tanah air, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tetap komited meneruskan program pembangunan bakat dan pelumba tempatan.
KBS dalam kenyataan memaklumkan perkara itu, selaras dengan objektif asal pembentukan program sukan permotoran dua roda negara.
Menurut kenyataan KBS, berikutan keadaan industri permotoran yang terkesan dengan penularan pandemik COVID-19, KBS dan SIC kini sedang merangka pelan keseluruhan bagi barisan pelumba negara di kejohanan antarabangsa.
“Perbincangan lanjutan antara KBS dan SIC masih diteruskan, untuk mencari jalan terbaik dalam menentukan hala tuju yang sesuai untuk tahun-tahun akan datang. Sokongan daripada KBS dalam usaha ini tidak pernah terhenti.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, KBS dan SIC telah meningkatkan usaha pembangunan bakat daripada peringkat akar umbi, yang tidak hanya tertumpu kepada bantuan kewangan, tetapi lebih kepada penambahbaikan pembangunan dan perancangan masa depan,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama kenyataan itu menyatakan, adalah menjadi harapan KBS dan SIC supaya Malaysia dapat melahirkan lebih ramai bakat sukan permotoran yang kompetitif untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
KBS turut menyeru supaya seluruh rakyat khususnya peminat sukan tanah air, untuk terus memberikan sokongan padu kepada barisan pelumba negara untuk kekal fokus dan dapat memberikan yang terbaik dalam kejohanan disertai mereka.
Sementara itu, KBS mengambil maklum mengenai penamatan kerjasama antara SIC dan Petronas, membabitkan perkongsian hak dalam pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) pada penghujung saingan Kejuaraan Dunia Motosikal Grand Prix (MotoGP) musim 2021.
“KBS menghormati keputusan ini dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Petronas atas kerjasama dan sokongan padu yang diberikan selama ini, terhadap pembangunan sukan permotoran tanah air.
“KBS tetap percaya bahawa kerjasama strategik bersama Petronas masih boleh diadakan semula pada suatu masa kelak,” menurut kenyataan itu.
SIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan penamatan kerjasama itu, menyaksikan Petronas turut menamatkan kerjasama dengan Petronas Sprinta Racing dalam saingan Moto2 dan Moto3 sejak 2018, sebelum kerjasama berkenaan berkembang sehingga ke saingan MotoGP menerusi Petronas Yamaha Sepang Racing Team (PYSRT).-Bernama