KDA FC Raih Tiga Mata Tewaskan Penang FC Di Alor Setar

GOL ... Pemain Kedah Tchetche Hermain Brice Kipre merembat masuk bola ke gawang lawan selepas memperdayakan beberapa pemain pertahanan pasukan pelawat di kawasan luar kotak penalti.

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencatatkan kemenangan bergaya ke atas Penang FC dengan jaringan 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, di sini, kemarin.

Kedah yang tewas kepada Selangor FC 2-4 juga di Stadium Darul Aman Jumaat lepas, mempamerkan persembahan yang lebih bertenaga pada perlawanan kali ini apabila berjaya menjaringkan gol pertama seawal minit ke-16.

Gol pertama Kedah itu dijaringkan penyerang import, Tchetche Hermain Brice Kipre yang merembat masuk bola ke gawang lawan selepas memperdayakan beberapa pemain pertahanan pasukan pelawat di kawasan luar kotak penalti.

Kedah yang dalam misi memburu kemenangan terus menggandakan asakan dan berhasil memperolehi gol kedua pada minit ke-22 hasil rembatan deras kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar yang menerima hantaran lintang Kipre di sebelah kiri gol pasukan pelawat.

Kipre terus memberi tekanan kepada Penang FC apabila berjaya meledak gol ketiga pasukannya pada minit ke-38 selepas berjaya mengatasi halangan pemain pertahanan lawan.

Tersentak dengan jaringan itu, Penang FC yang tidak berputus asa cuba mencari rentak dengan mengasak kubu tuan rumah dan berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-43 menerusi David William Rowley yang menguis masuk bola ke gawang Kedah menewaskan penjaga gol Mohd Ifwat Akmal Che Kassim.

Bersambung babak kedua, Kedah lebih banyak menguasai permainan  dan berjaya menambah gol keempat menerusi Kpah Sean Sherman yang menerima bola lintang Mohd Rizal Mohd Ghazali pada minit ke-54.

Kedah yang dikendalikan ketua jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin Shahak berjaya mengekalkan kedudukan 4-1 sehingga tamat permainan sekaligus meraih tiga mata berharga.-Bernama.

scroll to top