Kesebelasan Utama Sabah FC Ditentukan Selepas Sesi Latihan – Kurniawan

KURNIAWAN

KOTA KINABALU: Kesebelasan utama pemain Sabah FC menentang Sri Pahang FC yang akan diturunkan malam esok (Rabu) di Stadium Likas akan diketahui selepas sesi latihan petang ini.

Pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto tidak menolak kemungkinan berlaku sedikit rombakan pemain terpaksa dilakukan memandangkan pertahanan, Rawilson Batuil tidak dapat diturunkan selepas menerima kad kuning pada perlawanan menentang PJ City FC Sabtu lalu.

Katanya, belum memutuskan status penjaga gol utama yang akan diturunkan memandangkan ayah Rozaimie Rohim baru meninggal dunia awal pagi tadi di Kuala Lumpur.

“Kita akan berbincang dengan jurulatih penjaga gol, siapa yang akan diturunkan pada aksi malam esok… Perlawanan menentang Sri Pahang FC sangat penting kerana kita sudah kehilangan tiga mata berharga ketika bertemu PJ City FC minggu lalu.

“Saya berharap semua pemain mampu kembali bangkit serta fokus untuk misi meraih kemenangan penting ketika beraksi di Stadium Likas malam esok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

“Kita akan tengok perkembangan semua pemain dalam latihan akhir petang ini… Mengenai kekosongan posisi Rawilson ini ia boleh diisi oleh beberapa pemain lain yang sudah tentunya memiliki prestasi serta komitmen 100 peratus,” katanya.

Beliau menggesa agar semua pemain fokus serta berusaha untuk mencapai kemenangan penting di gelanggang sendiri sekali gus berusaha untuk memperbaiki kedudukan Sabah FC dalam carta liga.

“Kita pohon agar semua penyokong Sabah FC terus memberikan sokongan meskipun kali ini beraksi tanpa kehadiran mereka di Stadium Likas Kota Kinabalu,” katanya.

KEDUDUKAN

P M S K J B Mata
Johor DT 14 10 3 1 31 7 33
Terengganu FC 14 9 3 2 25 12 30
Kedah DA FC 13 8 2 3 21 13 26
Penang FC 13 6 4 3 18 14 22
Selangor FC 14 5 5 4 23 21 20
KL City FC 15 4 7 4 18 15 19
PJ City FC 14 4 6 4 11 14 18
Sabah FC 14 4 4 6 17 18 16
Sri Pahang FC 14 3 4 7 17 23 13
Perak FC 15 3 4 8 14 26 13
Melaka United 14 3 6 5 16 20 12
UiTM FC 14 0 2 12 5 33 2

(Nota: Melaka United FC ditolak tiga mata disebabkan isu tunggakan gaji)

scroll to top