ROM: Jose Mourinho tiba di AS Roma pada Jumaat dengan disambut oleh beratus-ratus penyokong fanatik kelab atau ‘Giallorossi’.
Walaupun dengan cuaca panas di luar lapangan terbang Ciampino di ibu kota Itali, penyokong hadir menyambut kehadiran Mourinho dengan suasana pesta dan suar bagi memulakan era baharu kelab.
Jurulatih dari Portugal berusia 58 tahun itu pada awalnya mengumumkan kehadirannya menerusi muat naik video ke media sosial dengan berkata: “Penyokong AS Roma, saya mahu berkemas. Jumpa anda nanti.”
Mengibarkan skaf kelab, Mourinho secara ringkas bercakap di hadapan penyokong sebelum bergerak ke pusat latihan kelab di Trigoria buat kali pertama.
Mourinho kembali ke Itali, di mana beliau pergi sebagai wira pada 2010 selepas membimbing Inter Milan memenangi tiga kejuaraan – Serie A Itali, Piala Itali dan Liga Juara-Juara.
Beliau menandatangani kontrak tiga tahun selepas dipecat dari Tottenham Hotspur dua bulan lepas, meninggalkan sebuah kelab tanpa sebarang kejuaraan buat kali pertama sejak di awal kerjaya sebagai jurulatih di Portugal.
Belia bagaimanapun beliau sudah meningkat sebagai jurulatih sejak kali pertama di Itali pada 2008 hingga 2010.
“Saya lebih baik sekarang. Saya lebih serius. Saya fikir ini adalah tugas di mana pengalaman sangat penting,” kata Mourinho dalam satu temu bual untuk laman sesawang rasmi kelab.
“Sejak saya meninggalkan Itali, saya pergi ke Real Madrid, yang mana ia adalah satu pengalaman hebat dan saya mencapai impian saya memenangi kejuaraan di Itali, England dan Sepanyol.
“Ia satu tugas di mana anda hanya akan meningkat lebih bagus sehingga pada hari di mana anda hilang motivasi anda.”
Beliau menambah: “Satu perkara ialah untuk datang ke sebuah negara buat kali pertama di mana anda tiba pada kedudukan sifar dan anda mempunyai segala-galanya untuk dipelajari.
“Dalam kes saya, ia tidak begitu. Saya sudah mengenali Itali, saya mengenali budaya bola sepak Itali, saya tahu sesuatu tentang AS Roma ketika saya di Itali dan AS Roma memberikan saingan yang kuat kepada lawannya untuk kejuaraan.”
Mourinho sudah memenangi 25 kejuaraan sepanjang kerjayanya dan menyertai sebuah kelab yang belum memenangi kejuaraan Serie A sejak 2001.
Juara liga tiga kali itu, yang tanpa sebarang kejuaraan sejak 2008, menamatkan musim lepas di tangga ketujuh.
“Kami mahu menjadikan Roma satu kejayaan tetapi bukan satu kejayaan kecil… untuk meninggalkan legasi,” sambung Mourinho.
“Ia bukan sikap saya untuk menunggu terlalu lama untuk melihat senyuman kegembiraan. Saya mahu cuba mempercepatkan proses kejayaan dan saya berharap kami boleh memastikan ia berlaku secepat mungkin di sini.”
Selain dari kejuaraan bersama Inter Milan, Mourinho juga pernah memenangi dua kejuaraan Liga Portugal bersama FC Porto, tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea dan satu kejuaraan La Liga Sepanyol bersama Real Madrid pada 2012.
Beliau juga membimbing Manchester United memenangi Liga Europa pada 2017.
Di Rom, beliau menggantikan rakan senegaranya, Paulo Fonseca, yang meninggalkan kelab selepas dua musim.
Fonseca menggantikan Claudio Ranieri, yang membimbing seketika kelab selepas Eusebio Di Francesco dipecat pada Januari 2019.
Di Francesco membimbing kelab ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara pada 2018.
Mourinho berkata beliau tidak sabar untuk mengenali pemain tetapi juga mempunyai sasaran dalam pasaran perpindahan.
“Perkara pertama ialah menunggu beberapa hadiah,” tambah beliau.
“Saya berharap pengurusan mempunyai hadiah untuk saya kerana ia pastinya menarik, satu motivasi tambahan buat saya dan sudah tentu akan memberikan saya lebih banyak potensi untuk mengembangkan atau memulakan peningkatan dalam skuad,” kata beliau ketika merujuk kepada pemain baharu. — AFP