Klinik Bola Sepak UMS-Sprint terap kemahiran 32 murid SK Pekan 2 Ranau

Bola sepak 7-sebelah SK Pekan Ranau 2.

RANAU: Kemahiran yang diterapkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada 32 murid SK Pekan 2 melalui klinik bola sepak menyuntik semangat murid-murid berumur 10-12 tahun bersaing dalam perlawanan 7-sebelah.

Pengarah program Azriezam Abdul Jasmin berkata klinik bermoto ‘Ke Arah Negara Bersukan’ itu diharap dapat membantu murid-murid sekolah mengembangkan lagi bakat permainan bola sepak mereka.

Azriezam bersama Erwin (kanan) menyampaikan sijil kepada guru SK Pekan 2.

“Program ini diadakan khusus untuk memperluas faedah kepada semua peserta berusia awal remaja,” katanya.

Seramai 50 pelajar UMS-Sprint mengikuti program lapangan itu yang dikendalikan bersama Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar UMS di bawah Pensyarah Kursus Bola Sepak Seksyen 1 Erwin Rusfian.

Di bawah program itu, pelbagai kemahiran diterapkan yang meliputi pengenalan peraturan dan kesalahan bola sepak bertujuan memberi pengetahuan mendalam kepada peserta.

Pelajar UMS beri panduan kemahiran bola sepak.

Turut diberikan ialah kemahiran bermain bola sepak yang diterapkan melalui perlawanan pasukan 7-sebelah di kalangan peserta.

Kemuncak program ialah kuiz bola sepak dan penyampaian hadiah kepada pasukan dan pemain terbaik.

Erwin berharap klinik itu dapat memupuk pelbagai kemahiran serta nilai murni dalam permainan bola sepak.

Erwin seterusnya menghargai komitmen SK Pekan 2 mengadakan kerjasama dengan UMS mengendalikan Klinik Bola Sepak itu.

scroll to top