LAFA Rancang Program Pencarian Bakat Baharu Hujung Bulan Ini

TUKAR DOKUMEN ... Sophian (kiri) dan Mohammad Syahffie bertukar-tukar dokumen MoU dalam merealisasikan Jalinan Kerjasama Pembangunan Bola Sepak di Wilayah Persekutuan Labuan.

LABUAN: Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA) merancang akan mengadakan pelbagai program pencarian bakat baharu dalam kalangan penduduk tempatan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Presiden LAFA, Sophian Said berkata pihaknya dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan akan menggerakkan Program Pembangunan Bola Sepak Labuan sepanjang musim 2021-2022.

Tambah beliau, beberapa aktiviti dan kejohanan bola sepak telah dirancang yang akan bermula hujung bulan ini antaranya Klinik Bola Sepak Bawah 12 dan 15 tahun, Projek MARLIN Bawah 12, 15 dan 21 tahun serta Kejohanan Piala LAFA yang dijadual diadakan pada Mac 2022.

“LAFA sedang merancang beberapa program pencarian bakat baharu dalam kalangan murid sekolah dan belia di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kami mahu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mampu mewakili negeri dan negara satu hari nanti,”katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis kunjungan hormat dan ramah mesra LAFA bersama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) di pejabat JBS pada Sabtu lalu.

Sempena kunjungan hormat itu, LAFA telah menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan JBS dalam mewujudkan Program Jaringan Kerjasama Pembangunan Bola Sepak untuk kepentingan bersama.

Sementara itu, JBS Wilayah Persekutuan Labuan akan terus menjalinkan kerjasama dengan LAFA bagi pembangunan sukan bola sepak di wilayah ini.

Pengarah JBS Labuan, Mohammad Syahffie Haji Japril berkata, JBS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan LAFA bukan sahaja dalam memberikan pandangan dan berkongsi idea tetapi juga penyediaan kemudahan sukan bola sepak.

“JBS Labuan akan bekerjasama dengan LAFA dalam membangunkan sukan bola sepak yang selama ini menjadi latar belakang kepada pembangunan sukan di Wilayah Perssekutuan Labuan.

“Kami sangat mengalu-alukan LAFA sebagai rakan strategik bersama JBS untuk sama-sama mengembalikan kegemilangan bola sepak Labuan,”katanya.

Turut mengiringi Sophian ialah Setiausaha LAFA, Cikgu Roziman Sabtu dan Timbalan Setiausaha, Shah Rezduan Mohd Salleh.

scroll to top