Lajim Dilantik Penasihat Piala BMR

SAMPAIKAN: Azman menyampaikan dokumen berkaitan kejohanan Piala BMR kepada Lajim sambil diperhatikan David.

Oleh Vitalis G Bingkasan

KOTA KINBALU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dilantik sebagai penasihat Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Seri Bung Moktar Radian (Piala BMR).

Penolong Setiausaha Agung SAFA yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, Azman Mastar berkata, Lajim sudah pun menyatakan persetujuannya mengenai peranan yang diberikan kepadanya itu.

Katanya, selaku penasihat dan AMT SAFA, Lajim akan berperanan untuk memantau pengendalian pertandingan tersebut.

“Kita yakin kehadiran beliau yang juga Pengerusi  Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sudah tentu sangat membantu dan menyumbang buah fikiran bagi memastikan penganjuran kejohanan berjalan dengan baik,” katanya.

Azman berkata demikian selepas menyerahkan dokumen pertandingan Piala BMR itu kepada Lajim di pejabat SAFA, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom.

Menurut Azman, perlawanan akhir Piala BMR besar kemungkinan akan dapat diadakan bulan hadapan jika mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Kejohanan julung kali anjuran SAFA itu disertai lebih 30 pasukan daerah negeri ini yang dibahagikan kepada lapan zon.

Pertandingan peringkat zon telah berlangsung bermula April di mana tujuh zon telah selesai manakala Zon Pantai Timur Selatan masih tertangguh disebabkan krisis pandemik COVID-19.

Sementara itu, Lajim mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada SAFA atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menjadi penasihat kejohanan itu.

Katanya, kejohanan itu penting sebagai landasan mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam sukan bola sepak kerana ia adalah kejohanan untuk pemain berusia  bawah 18 tahun dari seluruh daerah.

Beliau berharap pertandingan itu dapat disambung semula sebaik sahaja mendapat kebenaran pihak kerajaan.

scroll to top