Oleh VITALIS G. BINGKASAN
KOTA KINABALU: Skuad Sabah FC percaya telah ada cukup bekalan dari persiapan hampir dua bulan saingan Liga Super berehat untuk diperagakan apabila meneruskan cabaran menentang PJ City FC di Stadium MBPJ malam esok (Sabtu).
Pengendali skuad bergelar The Rhinos itu, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, tempoh saingan berehat telah mereka manfaatkan sepenuhnya bagi memantapkan pasukan termasuk mengadakan dua perlawanan persahabatan JDT II di Johor pada 17 dan 19 Julai lalu.
Pada perlawanan persahabatan itu, The Rhinos menang 3-1 pertemuan pertama tetapi kecundang 0-2 pada pertemuan kedua.
Perlawanan pemanas badan terakhir itu memberi idea terbaik untuk Kurniawan membuat percaturan menghadapi PJ City.
Seperti biasa, Kurniawan tidak mendedahkan senarai pemain yang akan diturunkan tetapi menegaskan bahawa semua pemainnya berada di tahap terbaik termasuk dari segi kecergasan.
Keadaan pemain itu meyakinkan Kurniawan kemampuan skuadnya merealisasikan misi memburu mata penuh yang diperlukan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga musim ini.
“Saya melihat semua pemain sangat bersemangat dan dahagakan kemenangan untuk perlawanan malam esok dan mengharapkan semua yang dirancang mampu dilakukan sebaik mungkin oleh para pemain.
“Kita sudah bersiap sedia mencipta kemenangan esok. Ini janji kita kepada pihak pengurusan Sabah FC. Lagi pun kita sudah mempunyai tempoh rehat yang secukupnya dengan mengadakan beberapa siri perlawanan untuk menguji tahap keserasian pemain,” kata Kurniawan dalam kenyataan medianya hari ini.
Menurutnya, perlawanan esok juga peluang untuk The Rhinos menebus kekalahan 0-1 di tangan lawan sama di gelanggang sendiri di Stadium Likas pada pusingan pertama, 13 Mac lalu.
Gol tunggal kemenangan PJ City pada perlawanan itu dijaringkan Darren Lok.
Kurniawan berkata, kekalahan di gelanggang sendiri itu memberi kesan kepada pasukan dan sewajarnya ditebus dengan kemenangan juga.
Carta liga membabitkan 12 pasukan menyaksikan kedua-dua pasukan kini hanya dijarakkan satu mata di mana Sabah FC di kedudukan ketujuh dengan 16 mata manakala PJ City FC di tangga kelapan dengan 15 mata selepas 13 perlawanan.
Tiga pasukan bersaing sengit di kedudukan teratas kini didahului JDT dengan 30 mata diikuti Terengganu FC (27 mata) dan KDA FC (26 mata).
KEDUDUKAN
P M S K J B MT
1. JDT 13 9 3 1 28 6 30
2. T’ganu FC 13 8 3 2 20 12 27
3. KDA FC 13 8 2 3 21 13 26
4. Penang FC 13 6 4 3 18 14 22
5. Selangor FC 13 5 4 4 22 20 19
6. KL City FC 13 4 5 4 17 14 17
7. Sabah FC 13 4 4 5 17 17 16
8. PJ City FC 13 3 6 4 10 14 15
9. Sri Pahang FC 13 3 3 7 16 22 12
10. Perak FC 13 3 3 7 14 21 12
10. Melaka Utd FC 13 3 5 5 15 19 11
12. UiTM FC 13 0 2 11 4 30 2
***Melaka Utd FC ditolak tiga mata (Masalah kewangan)
Jadual perlawanan
24.7.2021
Sabah Fc lwn PJ City FC
KL City FC lwn Selangor FC
Terengganu FC lwn Perak FC
KDA FC lwn Penang FC
25.7.2021
JDT lwn UiTM FC
Sri Pahang FC lwn Melaka Utd FC