Mr Sabah, Mr Borneo Kejohanan Terbesar Atlet Sabah Tahun Ini 

JOANNES.

Oleh Vitalis G Bingkasan

KOTA KINABALU: Mr Sabah 2021 dan Mr Borneo 2021 adalah kejohanan bina badan terbesar atlet Sabah tahun ini selepas Mr Malaysia 2021 ditangguhkan.

Presiden Persatuan Bina Badan Sabah (SBBA), Joannes Staneslous berkata, Mr Sabah dijadualkan berlangsung pada 6 November manakala Mr Borneo yang yang biasanya melibatkan penyertaan atlet dari Borneo dijadualkan pada 19 Disember.

“Mr Sabah 2021 sepatutnya berlangsung pada 31 Julai tetapi terpaksa ditunda ekoran beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan kesan krisis wabak COVID-19 yang semakin memburuk beberapa minggu lalu sehingga menyebabkan banyak kawasan diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sehubungan dengan itu kami (SBBA) telah memutuskan untuk hanya mengadakannya pada 6 November dan disusuli dengan penganjuran Mr Borneo pada 19 Disember. Venue kejohanan akan diputuskan kemudian,” kata Joannes ketika dihubungi semalam.

“Dua kejohanan ini (Mr Sabah dan Mr Borneo) akan menjadi kejohanan terbesar buat atlet Sabah tahun ini kerana Mr Malaysia 2021 tidak akan diadakan tahun ini juga disebabkan krisis COVID-19,” tambah Joannes.

Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) dalam surat pemakluman kepada semua anggotanya memberitahu bahawa Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 yang sepatutnya berlangsung di Alor Setar, Kedah pada 17 hingga 19 September 2021 itu hanya akan dianjurkan pada tahun 2022.

Sambil itu, selain Mr Sabah dan Mr Borneo 2021, SBBA juga akan mengisi takwim aktvitinya penghujung tahun dengan penganjuran beberapa kursus.

SBBA akan menganjurkan Bengkel Kejurulatihan Pemakanan dan Latihan Sukan Bina Badan di Kota Marudu pada 10 Oktober.

Ia disusuli dengan penganjuran Kursus Ulangkaji Pengadil Sukan Bina Badan dan Fizikal pada 29 Oktober dan Kursus Spesifik Sukan Bina Badan Kebangsaan Tahap 2 pada 1-4 November, kedua-duanya akan diadakan di Pusat Generasi Y, Wisma UTC, di sini.

scroll to top