Pemain Muda Diturunkan Hadapi Baki Saingan Piala Malaysia – Kim Swee

ONG KIM SWEE

KOTA KINABALU: Sabah FC akan mempertaruhkan barisan pemain-pemain muda untuk menghadapi baki saingan Piala Malaysia 2021.

Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata para pemain muda perlu bersedia menggalas tugas selaku pemain utama jika diberikan peluang beraksi kelak.

Katanya beberapa pemain utama masih mengalami kecederaan yang dialami semasa perlawanan terdahulu dan sudah tentu posisi mereka akan diisi pemain-pemain muda sebagai kesebelasan utama.

“Mereka (pemain muda) harus bersedia mengambil kesempatan ini untuk menimba ilmu serta pengalaman bagi menghadapi persiapan perlawanan akan datang.

“Secara keseluruhan kita sangat berpuas hati dengan mutu persembahan yang ditunjukkan para pemain muda ketika aksi perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat lalu. Mereka telah menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Kim Swee berkata dalam saingan baki perlawanan Piala Malaysia ini nanti sudah tentu tempat kesebelasan utama menjadi rebutan mereka.

“Rebut peluang dengan mempamerkan aksi terbaik mereka. Secara keseluruhan  pemain-pemain muda yang ada sekarang dalam Sabah FC mempunyai potensi besar menjadi tumpuan pasukan lain termasuk boleh bermain dalam pasukan kebangsaan kelak,” katanya.

scroll to top