Pemain perlu ubah sikap, miliki komitmen tinggi dalam perlawanan

UBAH SIKAP ... Andrew berkata sesuatu kepada para pemain selepas sesi latihan sambil diperhatikan oleh Henri.

SANDAKAN: Ketua Jurulatih Bola Sepak Pasukan Libaran Andrew Majanggim mengingatkan para pemain yang terpilih mewakili Libaran ke Kejohanan Bola Sepak Piala Sabah 2022 Zon Pantai Timur Utara agar ubah sikap dan jangan sambil lewa semasa beraksi 90 minit perlawanan.

Bekas pemain Sabah itu berpendapat para pemain yang terpilih perlu memiliki komitmen tinggi untuk bersaing ketika beraksi setiap perlawanan.

Andrew berkata, pasukan Libaran telah beberapa hari menjalani latihan bagi memantapkan pasukan.

“Yang menjadi satu keutamaan untuk pasukan ini adalah kombinasi…dengan latihan bersama itu kurang tapi kita perlu memaksimakannya untuk kita dapat keserasian dan kombinasi yang terbaik untuk pasukan Libaran,” katanya ketika ditemui.

Beliau melihat para pemain menunjukkan sikap yang baik sepanjang latihan dijalankan.

“Cuma pemain kita perlu ubah sikap daripada tidak yakin dan sikap sambil lewa semasa beraksi di padang itu perlu ubah, sentiasa fokus dan sentiasa ambil kira mengenai situasi yang akan berubah pada bila-bila masa.

“Jadi kita perlu ubah daripada situasi perlawanan itu yang mana kita perlu laksanakan dalam latihan,” katanya.

Beliau berkata, apabila pemain berlatih serupa seperti dalam perlawanan, tahap tekanan dirasai pemain sama seperti dalam perlawanan sebenar.

“Jadi itu yang kita terapkan semasa menjalani latihan disamping keserasian untuk pasukan,” katanya.

Manakala, Pengurus Pasukan Libaran Abdul Malik Yussof menaruh keyakinan pasukan ini mampu melayakkan diri ke grand final berdasarkan komitmen pemain yang menginginkan kemenangan setiap perlawanan.

Malik berkata, tidak menjadi satu perkara mustahil tetapi para pemain perlu bersaing dengan baik dan tidak memandang rendah setiap pasukan yang bertanding.

MANTAP … Para pemain yang mewakili pasukan Libaran.

Pasukan Libaran turut dibantu oleh seorang penolong jurulatih yang juga bekas pemain Sabah Henri Giau.

Kejohanan Bola Sepak Piala Sabah 2022 Zon Pantai Timur Utara menyaksikan empat pasukan berentap melibatkan Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Libaran bermula pada 14 Mac hingga 16 Mac ini.

Pasukan yang menjuarai kejohanan ini akan mewakili Zon Pantai Timur Utara ke grand final kejohanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu bermula pada 23 Mac.

Penutupan perlawanan akhir kejohanan grand final berkenaan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang dijadualkan pada 27 Mac ini.

scroll to top