Perlawanan Persahabatan Kutip Derma Bantu Bekas Pemain

SUMBANGAN ... Rahman menyerahkan cek sumbangan kepada wakil persatuan bekas pemain Dr Zulfikar Ahmad dan disaksikan Naib Presiden SAFA Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

KOTA KINABALU: Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) mengambil inisiatif mengadakan perlawanan persahabatan amal bagi membantu bekas pemain, Azah Azrin yang berdepan masalah kesihatan.

Timbalan Presiden SAFA, Datuk Abdul Rahman Mohd Zakaria berkata, usaha itu bukan saja membantu meringankan beban tetapi juga sebagai penghargaan jasanya kepada bola sepak negeri.

Katanya, ini juga membuktikan ikatan hubungan silaturahim persahabatan antara pemain, pengurusan dan peminat tidak akan hilang begitu saja.

“Perlawanan amal ini diadakan khusus untuk kita mengutip derma bagi membantu bekas pemain negeri, Azah Azrin yang sedang sakit.

“Hasil sumbangan dan kutipan dana yang berjaya diperolehi malam ini diharap sedikit sebanyak dapat menampung kos perubatannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 daripada SAFA pada perlawanan persahabatan antara pasukan pengurusan SAFA menentang pasukan bekas pemain Sabah, di Stadium Likas, malam tadi.

Selain itu, sumbangan turut ditambah dengan wang tunai hasil kutipan daripada pemain dan pengurusan yang terlibat dalam perlawanan itu.

Sementara itu, beberapa bekas pemain Sabah yang ditemui turut menyuarakan penghargaan kepada usaha yang dilakukan SAFA.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, selepas hampir 25 tahun meninggalkan Sabah, beliau berpeluang bertemu semula dengan ramai rakan sepasukan ketika menjuarai Piala FA dan Liga Perdana pada era 90-an.

Katanya, usaha menganjurkan perlawanan ini cukup baik di mana ia mampu mengeratkan lagi persahabatan antara rakan sepasukan selain membantu mereka yang memerlukan.

“Saya dapat bertemu dengan rakan sepasukan seperti Charles Tindi, Ravichandran, Yap Wai Loon, Matlan Marjan, Matusin Bowie dan ramai lagi bekas pemain Sabah,” katanya.

Manakala bekas ketua pasukan dan penyerang kebangsaan Matlan Marjan berkata, walaupun letih tetapi perlawanan itu cukup mengujakan.

“Cukup teruja, saya rasa sudah lebih 20 tahun tidak pernah bergandingan dengan Scott Ollerenshaw dan kini kami dapat bermain bersama-sama dan mengimbau kenangan silam,” katanya.

Sementara itu, bekas pemain legenda negara, Datuk James Wong berkata, ini adalah cara mengekalkan hubungan akrab antara semua bekas pemain dan pengurusan SAFA.

Katanya, di samping bekas-bekas pemain Sabah juga dapat membantu mereka yang memerlukan menerusi kutipan derma sepanjang perlawanan berkenaan.

scroll to top