PERSIAP Penjara 1 johan Bowling Piala Pengerusi PERKEP Sandakan 2022

TAHNIAH: Wan Hurani menyampaikan hadiah kepada johan, pasukan PERSIAP Penjara 1, Sandakan.

SANDAKAN: Pasukan Persatuan Isteri, Anak-Anak dan Anggota Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP) Penjara 1 Sandakan yang memperoleh 1,490 jatuhan pin keseluruhan muncul johan pada Pertandingan Bowling Piala Pengerusi PERKEP Sandakan 2022 di Champ’ Bowl Sandakan, pada Jumaat.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh pasukan PERSIAP Penjara 2 dan pasukan Logistik IPD Sandakan.

Sementara pasukan paling ‘sporting’ dimenangi oleh pasukan JPJKK IPD Sandakan.

Hadiah kepada pemenang dan perasmian acara itu disempurnakan oleh Pengerusi PERKEP IPD Sandakan Wan Hurani Osman.

Sebanyak 13 pasukan menyertai pertandingan anjuran PERKEP Sandakan itu termasuk Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita (KESUMBA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sandakan, X-PEKKEP Sandakan, wakil dari jabatan-jabatan di IPD Sandakan antaranya Trafik, Balai, JPJKK, Narkotik/Bips, Jenayah, Komersil serta pasukan Sukerelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) dan pasukan Pengurusan/IKA IPD Sandakan.

Wan Hurani berkata, pertandingan yang diadakan ini juga merupakan kali kedua dianjurkan PERKEP Sandakan yang bertujuan merapatkan silaturahim antara ahli PERKEP dan rakan agensi dan persatuan yang lain serta mengumpul dana untuk sumbangan kebajikan.

Dalam perkembangan mengenai PERKEP Sandakan jelasnya, ia juga terus komited dalam membantu anggota keluarga polis yang memerlukan dan terjejas akibat pandemik COVID-19 menerusi lawatan kepada keluarga yang terlibat selain masyarakat yang memerlukan.

Katanya, PERKEP Sandakan juga akan terus menjadi tulang belakang dalam membantu pegawai dan anggota polis yang menjalankan tugas yang diamanahkan khasnya berhadapan pandemik dan dengan ini ia juga terus merapatkan lagi suasana kekeluargaan.

Dalam masa terdekat, antara perancangan PERKEP Sandakan yang seterusnya adalah membantu antara persiapan sambutan Hari Polis pada Mac ini dengan mengikut keadaan pandemik semasa.

PERKEP Malaysia ditubuhkan sejak 53 tahun lepas dan ia juga antara lain terlibat aktif dalam program kemasyarakatan.

scroll to top