KOTA KINABALU: Kehadiran semula beberapa tonggak utama yang tidak beraksi minggu lalu diharap mampu membantu ‘The Rhinos’ mengutip tiga mata berharga dalam perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Likas malam ini (Rabu).
Ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, amat penting untuk Sabah FC mendapatkan tiga mata penuh selepas gagal melakukannya dalam tiga perlawanan terakhir sejak saingan liga disambung semula setelah berehat hampir dua bulan.
“Perlawanan malam ini sangat penting kerana kita perlu meraih tiga mata penuh untuk mengukuhkan peluang serta memperbaiki kedudukan Sabah FC di tangga liga.
“Berita baik buat pasukan bila hampir semua pemain boleh beraksi kecuali penyerang import, Josip Ivancic yang cedera ketika aksi menentang Terengganu FC minggu lalu dan juga Park Taes’ Su yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Kota Kinabalu hari ini.
Kurniawan berkata ketika sesi latihan terakhir Skuad Badak semalam, beliau sudah mengenalpasti calon terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Josip yang lebih mesra dipanggil Yoyo oleh rakan sepasukannya.
“Kita mempunyai beberapa pemain yang tidak beraksi di Kuala Terengganu minggu lalu seperti Alto Linus dan Randy Baruh yang kini berada dalam tahap terbaik mereka untuk diturunkan dalam kesebelasan utama esok (malam ini),” katanya.
Menurut Kurniawan kehadiran mereka sudah tentu memberi impak positif buat pasukan.
Beliau berharap, apa yang dirancang dapat dilaksanakan malam ini sekali gus meraih tiga mata penuh dan mohon doa daripada penyokong dan peminat setia Sabah FC di seluruh negeri ini.
Pertemuan pusingan pertama antara Sabah FC dan KL City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur berkesudahan seri tanpa jaringan.