Sabah FC Tumpaskan JDT II

KOTA KINABALU: Sabah FC mempamerkan langkah positif apabila bangkit dari ketinggalan 1-0 untuk menang 3-1 ke atas JDT II di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Ia adalah perlawanan pemanas badan pertama skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu dalam tempoh rehat sebelum meneruskan  cabaran dalam saingan Liga Super pada 24 Julai ini.

Gawang Sabah FC bolos oleh jaringan Amirul Husaini Zamri  untuk meletakkan JDT II 1-0 di hadapan pada minit ke-16.

Sabah FC bagaimanapun memberi respon dengan jaringan penyamaan pertahanan tengah, Park Tae Su yang menyudahkan umpanan Saddil Ramdani pada minit ke-32 untuk kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan seri 1-1 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, penyerang import baru Sabah FC dari Croatia, Josip Ivancic (Yoyo) sertai senarai penjaring dengan menanduk masuk sepakan percuma Saddil untuk meletakkan pasukan 2-1 di hadapan pada minit ke-50.

Bobby Gonzales yang masuk menggantikan Yoyo di pertengahan babak kedua turut melakar nama sebagai penjaring gol dengan menyudahkan umpanan pemain muda, Mohamad Sahrizan Saidin pada minit ke-81 bagi mengesahkan kemenangan 3-1 Sabah FC.

Kedua-dua pasukan akan bertembung lagi di venue sama esok.

Kurniawan dalam kenyataannya berkata, kemenangan semalam hanya sebagai panduan  menghadapi perlawanan persahabatan seterusnya.

Beliau mahu pemain terus komited serta fokus melaksanakan apa yang telah dipraktikkan dalam latihan dan dipelajari pada perlawanan persahabatan itu.

“Jangan terlalu yakin..fokus kepada perlawanan persahabatan lain. Tempoh rehat selama dua bulan agak panjang.

“Namun kita yakin akan gunakan perlawanan persahabatan ini untuk mengukur kemampuan pemain-pemain kita disamping menguji keserasian dalam kalangan pemain lama dan baharu,” katanya.

Kurniawan berkata, memang ada beberapa kesilapan yang dilakukan semalam yang perlu diperbaiki dalam perlawanan akan datang.

“Pada separuh masa kedua kita nasihatkan ini hanya perlawanan persahabatan, sepatutnya tidak perlu ada tekanan dalam kalangan mereka. Terus fokus serta bermain dalam situasi yang biasa,” katanya.

Kurniawan berharap agar momentum persembahan ini akan dikekalkan menjelang perlawanan Liga Super menentang PJ City FC, 24 Julai ini sekali gus dapat mencapai keputusan baik kelak.

scroll to top